Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTarikh 16 Mei disambut sebagai Hari Guru, bagi menghargai khidmat dan bakti yang diabadikan oleh para guru. Guru ialah warga pendidik, pengajar dan pengasuh. Mereka berkorban seluruh jiwa dan raga, masa, wang dan tenaga demi kemajuan anak didik tanpa mengenal putus asa.
Guru umpama ibu bapa kedua, tanpa jemu mereka mencurahkan ilmu. Para guru tekun menitipkan nasihat, membimbing anak didik ke jalan yang benar agar anak didik menjadi insan berilmu, berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia. Para guru gigih berusaha membimbing anak didik agar menjadi khazanah berharga kepada negara bangsanya.
Islam meletakkan taraf yang tinggi terhadap nilai-nilai keilmuan dan perkara yang berkait dengannya, merangkumi orang yang menyampaikan ilmu dan penuntut ilmu. Martabat guru sangat tinggi dan mulia sesuai dengan ketinggian ilmu. Terkandung pelbagai ayat al-Quran juga hadis Baginda SAW yang menerangkan kemuliaan guru. Antaranya termasuklah firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah ayat 11:
Maksudnya: “… Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman antara kamu, dan orang yang diberi ilmu (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa-apa yang kamu lakukan.”
Guru insani bukan sahaja memiliki pengetahuan dan menguasai ilmu, malah memiliki sifat-sifat mulia seperti sabar, tekun, prihatin, hormat, serta daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi insan lain. Warga pendidik berperanan besar dalam usaha mencanai pemikiran warga agar terbina masyarakat yang bertamadun, berakhlak mulia, tinggi budi pekerti, berhemah, bermaruah, jujur, ikhlas, matang berfikir, menghargai keamanan dan kerukunan, serta bersifat patriotik kepada negara bangsanya.
Pendeta Zaaba menyifatkan ilmu sebagai asas terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran. Ilmu ialah asas utama dan landasan untuk mencapai kejayaan. Kemajuan dan tahap kebijaksanaan sesuatu bangsa terletak pada tahap penguasaan ilmu yang boleh dicapai melalui pendidikan yang berkualiti dan melalui khidmat bakti para guru yang berdedikasi.
Ilmu berlegar dalam orbit yang amat luas, singgah dan bermastautin daripada minda ke minda melalui perantaraan. Guru ialah insan berilmu yang berada dalam alam ilmu, berperanan sebagai perantara yang menyempurnakan amanah untuk menyampaikan, memanjangkan dan mengembangkan ilmu. Para guru merupakan pendidik, mengambil tanggungjawab membimbing manusia menemui sinar kebenaran melalui ilmu. Guru memenuhi peranan mengajar dan mendidik, turut berperanan sebagai pengasuh dan pembimbing, memberikan panduan dan teladan.
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan betapa besarnya peranan guru yang diibaratkan bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk jalan – menerangi laluan bersandarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan, sama ada di daratan mahupun di lautan. Apabila bintang tersebut terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah tujuan.
(Hadis riwayat Ahmad)
Para guru diasuh menjiwai semangat pendidik yang ikhlas, tekun dan bersungguh-sungguh, mengasuh dan membimbing anak-anak didik agar menjadi insan berilmu. Sebaik-baik kitab bagi seorang murid ialah gurunya; guru ialah pusat pendidikan, bertanggungjawab mencanai minda murid, membekalkan kompas agar muridnya berupaya menakhodai pelayaran hidup, memberikan inspirasi dan motivasi kepada anak-anak didik.
Guru yang hebat berupaya menerokai lapisan-lapisan potensi yang terkandung dalam diri setiap murid, dan mencungkil setiap bakat yang terselindung untuk memungkinkan anak-anak didik mencapai kejayaan dan mencipta kecemerlangan. Sesungguhnya guru berperanan amat penting mengilmukan insan. Dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Bahawa Allah SWT, malaikat-malaikat, isi langit dan bumi, sampai kepada semut di dalam lubang dan ikan di laut, semuanya berdoa kebajikan orang yang mengajarkan manusia.
Dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab mengilmukan anak didik, para guru berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Ada kalanya para guru diperlukan memikirkan ramuan dan pendekatan baharu ketika menghadapi masalah di luar jangkaan. Ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, ketika negara dan masyarakat menghargai jasa bakti para petugas barisan hadapan, negara dan masyarakat bagaikan terlepas pandang akan cabaran dan tugasan berat yang dihadapi oleh para guru.
Sebenarnya, guru juga berada dalam kalangan petugas barisan hadapan. Mereka diperlukan mendidik pelajar dalam keadaan yang belum pernah dilalui. Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terhenti, digantikan dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara maya.
Pada ketika itu, para guru tidak mempunyai latihan, tidak mendapat sepenuh bimbingan dan tidak berpeluang mendapat pendedahan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah. Namun begitu, tanpa memberi helah dan alasan, dalam masa yang singkat, para guru berusaha sedaya mungkin, menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu untuk menyempurnakan amanah dan tanggungjawab seorang pendidik.
Sebagai menghormati khidmat dan jasa bakti para guru, dapat dirumuskan bahawa:
Terima kasih, cikgu, yang telah berperanan sebagai ibu, bapa dan sahabat kepada kami dan anak-anak bangsa. Semoga khidmat bakti cikgu dikurniakan ganjaran di dunia dan di akhirat.
Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Ampunilah segala dosa guru-guru kami. Cucurilah rahmat-Mu kepada roh mereka yang berada di alam barzakh. Limpahkan keberkatan, kebaikan dan kesejahteraan terhadap guru yang sedang bertugas serta dikurniai mereka ketabahan untuk terus berbakti.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 12 Mei 2023, bertajuk “Guru Insani: Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun”)