Oleh Aisyah A.
9 Mei 2023, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang baharu.

Pelantikan beliau menggantikan Pengerusi IKIM sebelum ini, iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan, yang meninggal dunia pada 23 Februari yang lalu.

Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pelantikan tersebut dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan berkuat kuasa bermula pada 8 Mei 2023.

Dalam ucapan ringkas Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty kepada pengurusan kanan IKIM, beliau beriltizam membawa IKIM ke tahap yang sewajarkan dalam bidang penyelidikan agar dapat dimanfaat oleh umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Pelantikan Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty sebagai pengerusi IKIM dijangka akan melonjakkan kecemerlangan IKIM sebagai institusi pemikir dan penyelidikan yang disegani di Malaysia dan peringkat antarabangsa memandangkan latar belakang pendidikan dan pengalaman beliau yang luas banyak berkaitan dengan bidang pendidikan, pemikiran, falsafah dan perbandingan agama.

Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty, berusia 74 tahun, memulakan pendidikan di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dari tahun 1970 hingga 1974. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di University of Temple, Amerika Syarikat dari 1978 hingga 1987 dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di UKM, selain bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 hingga 1999.

Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty kemudiannya memasuki bidang politik dan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 pada tahun 1999 di kawasan Parlimen Larut dan PRU ke-13 pada tahun 2013 di kawasan Parlimen Bagan Serai. Pada tahun 2015, beliau telah mengangkat sumpah sebagai Senator setelah dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.