21 April 2023, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaki Bukit – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan peruntukan sebanyak RM3.06 juta untuk Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman yang diagihkan melalui kariah-kariah masjid seluruh negeri Perlis sepanjang tahun 2023.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berkenan menyampaikan simbolik sumbangan RM3.06 juta.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan simbolik sumbangan berkenaan bersempena dengan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang diadakan di Masjid Nur Husna Wang Kelian pada petang tadi.

Sumbangan tersebut merupakan inisiatif MAIPs untuk mempertingkatkan lagi keselesaan golongan sasar selaras dengan Pelan Strategik MAIPs 20212025 yang sedang melalui fasa pengukuhannya.

MAIPs sentiasa menyedari akan tanggungjawabnya dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan bantuan melalui pengurusan agihan zakat yang sempurna dan mencapai sasarannya.

Penyerahan tersebut disampaikan oleh Pemangku Raja Perlis kepada Pengerusi Masjid Nurul Husna Wang Kelian, Ustaz Norhamizi Yaacob yang mewakili 102 kariah masjid di seluruh negeri Perlis.

Turut hadir semasa penyampaian simbolik peruntukan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Haji Najmuddin Abdul Karim.

Pada majlis berkenaan juga DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM200 ribu bagi aktiviti Bahagian Pendidikan JAIPs untuk pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan potensi guru serta pegawai di JAIPs yang diserahkan kepada Encik Najmuddin.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa menyampaikan sumbangan RM200 ribu bagi aktiviti Bahagian Pendidikan JAIPs.

Setelah selesai program tersebut, Pemangku Raja Perlis turut meluangkan masa meninjau sempadan Wang Kelian dan Wang Prachan Thailand dari sebelah Malaysia, Kompleks Arked Niaga Wang Kelian yang sedang dilaksanakan penaiktarafan Wang Kelian View Point dan juga Pekan Padang Besar.

YTM Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa meninjau sempadan Wang Kelian dan Wang Prachan Thailand dari sebelah Malaysia, Kompleks Arked Niaga Wang Kelian.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.