21 April 2023, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Cerapan Rukyah Hilal Syawal 1444 Hijrah Bersamaan 2023 Masihi yang diadakan di Menara Pandang Masjid al-Hussain, Kuala Perlis pada petang semalam telah disempurnakan perasmiannya oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berangkat menyempurnakan perasmian Cerapan Rukyah Hilal Syawal 1444 Hijrah Bersamaan 2023 Masihi di Menara Pandang Masjid al-Hussain, Kuala Perlis.

Sejurus DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat tiba, baginda dipersembahkan dengan taklimat mengenai data Rukyah Hilal oleh Sr. Saf Zaffryin Mahadzir, iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis.

Selepas itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyaksikan barisan ahli jawatankuasa (AJK) Rukyah Hilal yang diketuai oleh Mufti Perlis, Profesor Dat0′ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menandatangani Pengesahan Rukyah Hilal Syawal 1444 Hijrah/2023 Masihi Negeri Perlis yang tidak kelihatan di tempat cerapan tersebut.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menyaksikan penandatanganan Pengesahan Rukyah Hilal Syawal 1444 Hijrah/2023 Masihi Negeri Perlis.

Baginda turut berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, isyak serta tarawih secara berjemaah bersama-sama para pembesar negeri serta sekalian anak jemaah yang hadir sebelum berangkat pulang.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menunaikan solat tarawih secara berjemaah bersama-sama para pembesar negeri.

Berdasarkan laporan daripada semua tempat cerapan selesai diterima, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad memaklumkan bahawa kedudukan hilal tidak memenuhi ketetapan imkanur-rukyah. Sehubungan dengan itu, 1 Syawah 1444 Hijrah ditetapkan pada Sabtu, 22 April 2023 sebagaimana yang diumumkan pada malam tadi setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Cerapan Rukyah Hilal Ramadan 1444 Hijrah Bersamaan 2023 Masihi di tempat yang sama, iaitu di Menara Pandang Masjid al-Hussain, Kuala Perlis yang merupakan satu daripada 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.