Oleh Firdaus Mul
22 Mac 2023, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Untuk memastikan amalan puasa kekal istiqamah hingga penghujung bulan Ramadan adalah melalui penambahan ilmu, tegas Pegawai Hal Ehwal Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Firdaus Subhi.

Pegawai Hal Ehwal Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Firdaus Subhi.

“Daripada ilmu kita dapat menyukai dan mencintai sesuatu. Begitulah juga dalam bab puasa, ilmu penting dan daripada ilmu itulah menambahkan kekuatan kita untuk berpuasa,” jelas beliau menerusi rancangan “Apa Khabar Malaysia” anjuran Bernama TV, baru-baru ini.

“Rasullulah SAW berkata yang bermaksud, ‘barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dalam keadaan benar-benar beriman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu, yang telah dilakukan olehnya.’

“Jaga puasa kita. Apabila kita berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi sebaliknya perlu juga menjaga mulut, telinga, dan pandangan mata kita, supaya puasa tersebut ada keberkatan yang diberikan oleh Allah SWT,” jelas beliau lagi.

Selain melakukan amalan fardu pada bulan Ramadan, Ustaz Firdaus juga menyarankan beberapa amalan lain yang boleh dilakukan, misalnya seperti bersedekah, membaca al-Quran, bangkit pada waktu malam dan menghidupkan malam tersebut dengan melakukan amal soleh, dan sebagainya.

Tegas beliau, “Apa-apa yang penting, jika amal-amal soleh kita jaga sepanjang bulan Ramadan, pahala berlipat kali ganda diberikan oleh Allah SWT.”

“Kebaikan yang akan kita peroleh bukan untuk dunia semata-mata, tetapi kita hendak himpunkan menjadi saham dan bekalan pada saat ketika kita bertemu dengan Allah SWT, mudah-mudahan Allah SWT menerima kita dan melayakkan kita masuk ke dalam syurga-Nya,” ujar beliau.

 

Kredit foto: Canva
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.