Oleh Suhaila Abdullah
13 Mac 2023, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam merupakan agama syumul yang berlandaskan wahyu Ilahi. Agama ini merangkumi segenap aspek kehidupan manusia dan memberikan panduan yang mendalam dan terperinci bukan sahaja berkaitan dengan amal ibadah malah mencakupi bidang agama, politik, sosial, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain.

Ajaran Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sebenarnya merupakan usaha dan pendekatan ke arah membawa manusia menuju ke tahap madani, iaitu masyarakat yang dari segi akidah dan spiritualnya merupakan masyarakat yang beriman kepada Allah SWT; dari segi peribadinya berakhlak mulia serta beradab sopan; dan dari segi pencapaian fizikal dan materialnya mencapai tahap kemajuan dan sentiasa progresif.

Jika diamati sirah Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah ke Yathrib, Baginda telah menggantikan nama bandar Yathrib kepada nama Madinah. Peristiwa ini sudah pasti mempunyai hikmah besar yang boleh diperhatikan sementelah tempat yang diberi nama Madinah itu telah berjaya direalisasikan oleh Rasulullah SAW sebagai tempat yang kehidupannya bercirikan perbandaran dan merupakan tempat agama Islam dihayati dan diamalkan secara meluas dalam kalangan masyarakatnya.

Istilah madani sebenarnya merupakan istilah daripada bahasa Arab yang terbit daripada akar kata din (agama). Daripada akar kata din pula timbul istilah madinah (bandar). Sehubungan dengan itu, istilah tamadun juga merupakan satu daripada istilah yang juga berpunca daripada akar kata din. Maka itu, istilah din mempunyai perkaitan dengan agama, bandar dan tamadun. Secara tidak langsung, hal ini membantu dalam menjelaskan bahawa dari perspektif Islam, manusia madani ialah manusia yang taat kepada perintah Allah SWT, mengikuti ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW, bertamadun serta beradab, dan menghayati serta mengamalkan ajaran Islam secara sepenuhnya dalam seluruh aspek kehidupan.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud,

Kamu (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik. (Surah Ali-‘Imran 3:110).

Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan tentang ciri masyarakat Islam yang beriman kepada Allah SWT, yang boleh dikaitkan dengan ciri masyarakat madani. Antara ciri lain yang disebutkan dalam ayat ini ialah masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat terbaik (khaira ummah) dan masyarakat yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab menganjurkan kebaikan dan menghalang kemungkaran (amar makruf nahi munkar). Secara tidak langsung, dalam melaksanakan tugas amar makruf nahi munkar ini, terdapat peranan dakwah yang perlu digemblengkan dalam sesebuah masyarakat ke arah pembentukan masyarakat madani.

Manusia madani berperanan membentuk sistem sosial, ekonomi dan politik yang berteraskan ajaran Islam.

Ringkasnya, konsep masyarakat madani dari perspektif Islam mesti berdasarkan al-Quran dan sunah serta dibina atas landasan ketakwaan kepada Allah SWT. Apabila kita memperkatakan tentang masyarakat madani, hal ini merujuk masyarakat yang bukan sekadar bertamadun tinggi dari segi pencapaian fizikal dan kebendaan semata-mata, tetapi yang lebih penting amat berkait dengan nilai keimanan, ketakwaan, ketinggian jiwa, darjat kemanusiaan, serta keinsanan yang melibatkan gandingan ilmu, iman dan amal.

Di samping itu, kepentingan mewujudkan masyarakat madani turut disokong oleh teori tokoh falsafah Islam seperti al-Farabi (870 − 950M), Ibn Miskawayh (936 − 1030M) dan Ibn Khaldun (1332 − 1406M). Al-Farabi membahaskan tentang ilmu madani yang boleh diertikan sebagai ilmu ketamadunan. Beliau melabelkan manusia sebagai haiwan madani (dalam maksud bahawa manusia ialah makhluk yang bertamadun, berperadaban, berakhlak mulia, halus dan beradab sopan). Sehubungan dengan hal tersebut, beliau turut membicarakan tentang falsafah kebahagiaan (al-sa‘adah) dan menjelaskan bahawa matlamat akhir dalam kehidupan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mencapai kebahagiaan yang sejati dan abadi.

Ibn Miskawayh pula berpandangan bahawa masyarakat madani ialah masyarakat yang bertamadun tinggi, berakhlak mulia dan mencapai kemakmuran hidup. Konsep manusia madani juga merupakan ciri yang disebutkan oleh Ibn Khaldun ketika membincangkan tentang teori ketamadunan dalam kitab Muqaddimahnya. Dalam penerangannya tentang tamadun manusia, Ibn Khaldun mengaitkan konsep insan madani dengan masyarakat yang mencapai tahap umran, yakni masyarakat yang mencapai tahap kemakmuran dan pencapaian tinggi dari segenap aspek dalam tamadun.

Oleh hal yang demikian, manusia madani dapat difahami sebagai manusia yang menghayati dan mengamalkan ajaran agama yang benar dalam kehidupan, yang meliputi segenap aspek antaranya termasuklah dari segi amal ibadah, cara berakhlak dan bermuamalah sesama manusia. Di peringkat individu, insan madani ialah individu yang faham hakikat dirinya sebagai ‘abd (hamba kepada Allah SWT). Seharusnya juga insan madani faham tentang tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi yang meliputi hubungan dan tanggungjawabnya kepada Allah, hubungan tanggungjawab kepada sesama manusia dan hubungan serta tanggungjawabnya terhadap alam.

Dalam kitab suci al-Quran al-Karim, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah 5:2).

Pada peringkat yang lebih formal dan berskala besar, manusia madani berperanan membentuk sistem sosial, ekonomi dan politik yang berteraskan ajaran Islam. Dalam Islam, agama mendominasi segala urusan kehidupan manusia termasuklah dari segi sistem pentadbiran negara. Merujuk sunah Rasulullah SAW, ketika hijrah dan mentadbir di kota Madinah, Baginda telah menunjukkan teladan yang baik dalam mengurus masyarakat majmuk yang terdiri daripada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam sehingga seluruh ahli masyarakat hidup dalam suasana aman dan harmoni. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan antara orang yang Kami ciptakan, ada umat yang memberi petunjuk dengan hak, dan dengan yang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan.” (Surah al-A‘raf 7:181).

Dalam hal ini, perkara penting yang perlu wujud dalam masyarakat madani ialah penghayatan dan amalan ajaran agama Islam serta berlaku adil, berilmu, berakhlak dengan akhlak yang mulia, berbudi pekerti tinggi, beradab sopan dan hormat, di samping halus tutur kata dan tingkah laku. Jelasnya, teras akhlak yang diperlukan dalam usaha mewujudkan masyarakat madani adalah dengan berteraskan konsep akhlak Islam, sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah SWT dan seperti yang ditunjukkan oleh teladan daripada sunah Rasulullah SAW.

Dalam sesebuah masyarakat madani, prinsip dan nilai Islam perlu disuburkan dengan sebaik-baiknya. Amalan seperti musyawarah dan muafakat perlu diamalkan sebagai satu daripada seruan agama dan bukan sekadar keperluan sosial. Dalam hal ini, usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menyemarakkan gagasan Malaysia Madani merupakan usaha murni yang acuannya sudah pastilah bersumberkan wahyu Ilahi. Sehubungan dengan itu, segala ajaran yang terkandung dalam wahyu Ilahi menerusi kitab suci al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW merupakan panduan penting yang perlu dihayati demi merealisasikan hasrat tersebut.

Gagasan Malaysia Madani memfokuskan keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus yang baik.

Hal ini bermaksud bahawa falsafah akhlak, sistem etika dan sistem muamalahnya perlulah berlandaskan nilai dan prinsip yang diajarkan dalam ajaran Islam, bukan sahaja melibatkan umat Islam, tetapi turut mengambil kira kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama yang wujud di negara ini. Gagasan Malaysia Madani perlu merealisasikan sikap saling menghormati, bertoleransi dan meraikan kepelbagaian. Enam rukun yang menjadi teras konsep Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan amat bertepatan dengan situasi negara yang memerlukan perhatian serius berkaitan dengan tadbir urus negara.

Usaha mendirikan Malaysia Madani sememangnya merupakan gagasan berwawasan tinggi yang melibatkan seluruh ahli masyarakat agar dapat bersama-sama menggembleng tenaga membina diri individu secara spiritualnya dengan akidah ketuhanan yang benar dan beramal dengan nilai akhlak terpuji, yang seterusnya berupaya mendirikan kehidupan bermasyarakat yang sejahtera, berilmu dan bertamadun tinggi. Matlamatnya bukan sekadar untuk kepentingan duniawi, tetapi sudah tentulah demi mencapai kebahagiaan ukhrawi yang abadi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.