6 Januari 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bersiap sedialah dan berjaga-jagalah (sebelum menghadapi musuh) kamu dan (apabila dikehendaki) maralah (ke medan pertempuran) secara kelompok demi kelompok atau (jika perlu) maralah bersama-sama (secara serentak)!

(Surah al-Nisa’ 4:71)

Menurut ulasan dalam Tafsir al-Manar secara umumnya ayat tersebut memberikan maksud apa-apa jua persediaan yang sewajarnya diambil perhatian oleh orang Mukmin. Hal ini  termasuklah melengkapkan ummah dengan kebijaksanaan, mengolah strategi dan kaedah untuk menghadapi apa-apa sahaja cabaran dan dugaan.

Pelbagai peristiwa yang ditempuhi sepanjang tahun 2022 telah menjadi sejarah. Kisah suka duka yang dialami atau disaksikan hendaklah dijadikan iktibar. Sepahit mana pun pengalaman yang ditempuh, sudah tentu ada hikmah di sebaliknya untuk dijadikan pengajaran dan membolehkan kita menjadi insan yang lebih matang serta lebih dewasa.

Alhamdulillah, hari ini dengan rahmat dan izin Ilahi, kita melangkah masuk ke hari keenam tahun 2023, dengan harapan agar tahun 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang kepada kehidupan manusia. Semoga pada tahun ini, dan pada tahun-tahun berikutnya, kehidupan kita disinari cahaya kemakmuran dan kesejahteraan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Kita melangkah masuk ke tahun 2023 dengan menghadapi beberapa keadaan:

Pertama: Negara berada di bawah pentadbiran sebuah kerajaan yang baharu berusia lima minggu, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan.

Kedua: Kebimbangan tentang kemungkinan akan berlaku lonjakan semula wabak COVID-19, susulan peningkatan mendadak kes yang meledak di China dengan munculnya varian baharu.

Ketiga: Suasana ekonomi yang suram dan tidak menentu, memerlukan langkah-langkah bijak lagi berkesan bagi membolehkan ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh dan berjaya menangani masalah inflasi, nilai mata wang ringgit yang lemah, serta kos sara hidup yang meningkat.

Rakyat perlu bersedia menghadapi krisis bekalan makanan.

Keempat: Masalah bekalan dan harga makanan. Pakar-pakar makanan meramalkan harga barangan makanan akan naik 10 peratus. Rakyat bukan sahaja menghadapi harga bahan makanan yang semakin mahal, tetapi lebih berat daripada itu, iaitu jaminan adanya bekalan yang mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan harian rakyat.

Kelima: Kebimbangan  akan  ancaman  terhadap  ketenteraman  awam  jika  masih  ada suara-suara yang terus memilih mempermainkan isu-isu agama dan perkauman meskipun pilihan raya telah berakhir.

Bagi menangani cabaran yang sedang dihadapi,  umat Islam diseru kepada azam seperti yang berikut:

Pertama: Memastikan berlakunya kestabilan politik melalui kerajaan yang mendapat keyakinan, kepercayaan dan sokongan rakyat; kerajaan yang sentiasa mengutamakan rakyat bawahan dan membela nasib rakyat miskin, serta sebuah kerajaan yang berjaya membuktikan berlakunya keadilan, tertegaknya undang-undang secara saksama, tanpa pilih kasih dan tanpa prasangka, juga terlaksananya sistem penyampaian secara cekap lagi berkesan.

Semoga kerajaan yang baharu, tidak akan mengulangi amalan-amalan yang tidak disenangi oleh rakyat, terutamanya amalan-amalan berbentuk pembaziran, penyalahgunaan khazanah negara dan wang rakyat, melantik pemegang jawatan dalam kalangan orang yang tidak memiliki kepakaran yang menyebabkan berlaku kerosakan, dan paling tidak disenangi ialah amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Kedua: Mengambil langkah-langkah pencegahan yang berkesan menangani lonjakan baharu virus COVID-19, agar rakyat tidak perlu melalui perintah berkurung sekali lagi; sementara ummah pula hendaklah senantiasa berwaspada dengan tidak mengabaikan amalan penjagaan kesihatan yang disarankan untuk dipatuhi.

Ketiga: Memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya berbentuk data dan angka yang indah di atas kertas,  sebaliknya pertumbuhan ekonomi  yang  benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat jelata melalui pentadbiran yang berupaya mengembalikan keyakinan, agar para pelabur sama-sama dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, selanjutnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Keempat: Ummah perlu berganding bahu membantu usaha-usaha untuk menurunkan harga bahan makanan dan menjamin cukupnya bekalan bahan makanan. Jawatankuasa masjid diseru berperanan aktif menggalakkan ahli-ahli kariah memulakan budaya pertanian kecil dengan menanam sayur-sayuran di kediaman masing-masing. Gantikan pokok-pokok bunga di pasu-pasu dengan pokok-pokok terung, tomato, kacang bendi, cili, bayam, sawi dan kangkung.

Di samping itu, mula memperkenalkan bahan makanan gantian sumber protein seperti tempe, kacang dal dan soya dalam kalangan ahli keluarga. Mulakan budaya berhemah dan sederhana ketika berbelanja. Terapkan sikap berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran, serta bijak membezakan antara keperluan dengan kemahuan.

Api perkauman dan persengketaan perlu dielakkan bagi menjamin keharmonian negara.

Kelima: Menolak suara-suara yang masih mahu mengapi-apikan semangat perkauman, persengketaan dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan berlainan agama di negara ini. Sebaliknya pupuklah semangat bekerjasama, saling memahami dan saling menghormati antara rakyat pelbagai kaum dan berbilang agama untuk menjadi warga Malaysia yang teguh bersatu dan kukuh berpadu, hidup rukun dan damai, sama- sama berusaha untuk memajukan dan memakmurkan negara.

Ya Allah! Ya Rabb al-’alamin!, bantulah kami menangani segala cabaran dengan gigih dan tabah, serta yakinkan dalam diri kami akan limpah rahmat-Mu berpandukan ayat 5 dan ayat 6 Surah al-Syarh:

Maksudnya: Maka sesungguhnya (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan.

Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya  Dzal  Jalaali  wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara  hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalik al-Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 6 Januari 2023 bertajuk “Menghadapi Cabaran Tahun 2023”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.