Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHarta pusaka ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, sama ada dalam bentuk harta benda atau hak yang akan diwarisi oleh pewaris. Islam menegaskan bahawa pentingnya diselesaikan urusan harta pusaka supaya tidak meninggalkan masalah kepada waris selepas berlakunya kematian. Namun begitu, sikap memandang ringan terhadap urusan harta pusaka telah menyebabkan umat Islam mengalami kerugian kerana harta yang ditinggalkan oleh si mati tidak dituntut atau menghadapi masalah untuk dituntut.
Laporan menunjukkan angka dan nilai harta yang dibekukan dan tidak dituntut, meningkat setiap tahun. Pada tahun 2007, jumlah harta yang dibekukan dan tidak dituntut bernilai 40 bilion ringgit; meningkat kepada RM52 bilion pada tahun 2014, seterusnya meningkat kepada 60 bilion ringgit pada tahun 2016 dan terus meningkat kepada 90 bilion ringgit pada tahun 2021. 90 peratus daripada harta yang dibekukan, ialah milik orang Islam.
Fakta ini, menunjukkan berlakunya terlalu banyak harta umat Islam terbiar dan tidak dipindah milik kepada waris yang berhak. Kegagalan mengagihkan harta kepada waris dalam tempoh yang cepat menyebabkan kerugian besar kepada ahli keluarga juga kepada ekonomi umat Islam.
Nabi Muhammad SAW sangat menekankan agar harta yang dimiliki, dapat diuruskan dengan sebaiknya, sebagaimana Abu Hurairah r. a. pernah mendengar Baginda berpesan untuk saling memberi hadiah agar saling menyayangi. Menurut Islam, pengurusan harta terbahagi kepada dua fasa; pertama: perancangan semasa hidup seperti sedekah, wasiat, hibah serta wakaf, dan kedua: pengurusan selepas kematian, iaitu pembahagian harta pusaka. Terlalu ramai umat Islam yang kurang menyedari bahawa harta yang ingin diwarisi selepas kematian hendaklah dibuat setelah mengambil kira hutang si mati, zakat yang belum ditunaikan, harta sepencarian, gadaian yang belum ditebus, fidyah yang belum dilunaskan, nafkah yang belum disempurnakan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang masih tertunggak.
Allah SWT telah menentukan pembahagian harta pusaka hendaklah dilakukan berdasarkan hukum faraid, iaitu dengan menetapkan setiap ahli waris berhak mendapat bahagiannya secara adil sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Nisa’ 4:11)
Perkara ini turut diperkukuhkan melalui hadis daripada Abdullah bin Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Hendaklah kamu berikan fardu-fardu kepada ahli-ahlinya apa-apa yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Harta pusaka yang terbiar dan tidak diuruskan akan meninggalkan kesan negatif; umpamanya, tanah yang mempunyai nilai perniagaan yang tinggi, tidak dapat dibangunkan untuk membawa pulangan. Bangunan yang mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai pusat perniagaan akan terbiar dan rosak. Harta pusaka yang dibekukan dan harta yang tidak dituntut turut menampakkan kelemahan dan kurang bijaksana umat Islam untuk memahami dan menghargai nilai harta yang berperanan penting untuk memacu ekonomi.
Tidak sekadar itu, masalah harta pusaka turut memberikan kesan dari sudut agama dan hukum. Sebagai contoh, harta-harta yang sepatutnya menjadi hak anak-anak yatim, ibu bapa yang lanjut usia dan ibu-ibu tunggal tidak dapat diberikan dengan sewajarnya dalam tempoh yang cepat. Akibatnya hidup mereka dianiaya dan dizalimi. Pada waktu yang sama, harta-harta ini akan bercampur-baur dengan harta-harta lain yang akhirnya cenderung untuk digunakan, dimakan dan dipakai secara tidak sah atau haram.
Di samping itu, kelewatan menguruskan harta pusaka boleh menimbulkan kemarahan sebahagian ahli waris sehingga berlaku perselisihan faham dan permusuhan sesama mereka. Semakin tertangguh dan semakin lewat urusan harta pusaka diselesaikan, akan membuatkan keadaan menjadi semakin kusut dan semakin rumit kerana akan berlaku kematian yang bertindih dan dengan sendirinya bilangan ahli waris akan bertambah.
Allah SWT telah mengingatkan supaya para hamba-Nya tidak meninggalkan harta melainkan telah diuruskan dengan baik sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 180:
Maksudnya: Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang- orang yang bertakwa.
Ayat 180 dalam Surah al-Baqarah menegaskan bahawa harta yang ditinggalkan wajib diuruskan dengan segera dan diberikan haknya kepada ahli waris. Malangnya, terdapat sesetengah orang yang berfahaman salah, beranggapan tidak sesuai harta pusaka diuruskan segera kerana bimbang akan dikatakan tamak ahli waris. Fahaman salah sedemikian wajib diperbetulkan kerana harta yang ditinggalkan menjadi keperluan penting ahli waris bagi meneruskan kehidupan. Oleh itu wajib diselesaikan secepat mungkin.
Ummah diingatkan bahawa pengurusan harta hendaklah dibuat dengan jelas dan bertulis supaya tidak timbul salah faham dan keraguan ahli waris terhadap harta yang telah dihibahkan, diwasiatkan dan diwakafkan. Ahli waris juga perlu diberitahu tentang peranan penama dan pemegang amanah bagi hartasi mati agar harta tersebut tidak disalahgunakan atau diambil dengan cara yang bukan haknya.
Penyelesaian harta pusaka perlu diberikan perhatian serius, diutamakan dan sebaik- baiknya dilakukan semasa hidup. Kaum Muslimin perlu mengambil perhatian terhadap peringatan-peringatan yang berikut:
Pertama: Mempertingkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan harta pusaka, wasiat, hibah, wakaf dan sebagainya.
Kedua: Masjid, surau, pejabat, institusi, persatuan dan badan-badan belia, menganjurkan secara meluas dan berkala program penerangan tentang pengurusan harta pusaka kepada anggota masyarakat melalui tazkirah, taklimat dan ceramah.
Ketiga: Pembahagian harta pusaka yang tidak dibuat dengan segera akan menimbulkan pelbagai masalah yang merumitkan seperti tuntutan yang berlapis, waris tidak dapat dikesan serta waris tidak mahu memberikan kerjasama untuk menyelesaikannya.
Keempat: Sekiranya timbul kebimbangan terhadap harta pusaka yang tidak dapat dimanfaatkan oleh ahli waris dan pihak-pihak berkenaan selepas kematian, maka buatlah perancangan harta yang bijaksana melalui hibah, wasiat, wakaf dan sebagainya.
Ya Allah! Ya Rabb al-’alamin!, muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bimbing kami agar memperoleh harta daripada sumber yang halal dan menguruskan harta dengan baik tatkala kami hidup dan selepas ketiadaan kami.
Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dzal Jalaali wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara hamba -Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Maalik al-Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 23 Disember 2022 bertajuk “Penyelesaian Harta Pusaka: Suatu Kewajipan”)