21 Disember 2022, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan majlis bacaan Yasin, solat hajat dan doa selamat di tiga buah masjid utama, iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin secara serentak pada hari Khamis, 22 Disember 2022 selepas solat maghrib.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Hajah Hakimah Mohd. Yusoff, JAKIM turut menjemput dan mengesyorkan semua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara untuk turut sama mengadakan program seumpama itu agar kesatuan usaha dan doa seluruh umat akan menambahkan lagi keberkatan doa.

Program munajat ini diadakan susulan kenyataan media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Na’im Haji Mokhtar yang menyarankan kepada umat Islam untuk terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir. Beliau juga meminta pihak JAKIM mengadakan solah hajat di tiga buah masjid seliaannya selain pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama untuk mengadakan solat hajat di masjid-masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melahirkan rasa simpati dan berdukacita dengan keadaan mangsa banjir dan masyarakat yang berhadapan dengan situasi ini. Tambahnya, semua pihak dipohon untuk mengambil langkah berwaspada serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

Beliau juga berharap seluruh mangsa banjir dan ahli keluarga sentiasa tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa serta segala urusan seluruh anggota keselamatan, jentera barisan hadapan dan sukarelawan dan semua pihak dipermudahkan Allah SWT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.