21 Disember 2022, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejarah Islam menunjukkan pemimpin dan kepimpinan yang baik telah pun wujud bermula dengan Rasulullah SAW yang menjadi contoh dan ikutan yang terbaik kepada kita. Hal ini seterusnya dilaksanakan pula oleh Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah yang pertama, kemudian diikuti oleh Sayidina Umar al-Khattab yang telah melakarkan kejayaan yang cemerlang bagi daulah Islamiyah. Kepimpinan agung ini diteruskan pula pada zaman pemerintahan Sayidina Uthman Affan, Sayidina Ali bin Abi Talib serta para pemerintah yang lain.

Alhamdulillah, ramai dalam kalangan mereka yang muncul membawa kebaikan kepada ummah, memberikan manfaat dan maslahah yang banyak sepertimana Khalifah Umar Abdul Aziz yang meskipun hanya memerintah selama dua tahun (99 H hingga 101H). Ibn Khaldun memuji tadbir urus yang baik (good governance) yang ditunjukkan oleh Umar Abdul Aziz.

Kepimpinan sebenar

Kepimpinan bukanlah perkara yang mudah. Hal ini bukanlah setakat keupayaan memberikan arahan, “buat itu dan ini,” seperti lakaran di atas kertas. Hal tersebut sebenarnya adalah tentang penonjolan ciri-ciri dalaman keperibadian seseorang yang terhasil daripada disiplin dan amalan mulia yang diterapkan sepanjang kehidupan mereka.

Begitu juga, sifat mengarah perlu disertai dengan melaksanakannya bersama-sama dengan idea yang paling tuntas, yang sentiasa disyurakan keputusan tersebut, di samping tawakkal kepada Allah SWT. Maka itu, hasilnya akan menatijahkan kejayaan yang gemilang.

Rakyat akan berasa yakin dengan kepimpinan yang memiliki ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, luas pandangan dan berwawasan jauh.

Sementara rakyat pula akan berasa seronok dan yakin dengan kepimpinan yang memiliki ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, luas pandangan dan wawasan yang jauh, serta memiliki strategi yang tersusun. Kesemua ini sudah pasti akan menambahkan lagi ramuan kejayaan seseorang pemimpin dan sesebuah negara dalam mendaki puncak kegemilangan.

Nasihat buat Khalifah Umar Abdul Aziz

Terdapat tiga tokoh ulama yang memberi nasihat kepada Khalifah Umar Abdul Aziz tatkala beliau memintanya daripada mereka. Antara nasihat yang diberikan adalah seperti yang berikut:

  • Salim bin Abdullah memberikan nasihat dengan kata-kata yang amat mendalam maknanya. Kata beliau, “Sekiranya kamu inginkan keselamatan dari azab Allah SWT nanti, maka hendaklah kamu berpuasa dari dunia ini dan berbuka puasalah dengan kematian.”
  • Muhammad bin Ka’ab pula berkata, “Jika kamu menginginkan keselamatan dari azab Allah SWT, maka hendaklah kamu jadikan mereka yang tua daripada kamu sebagai bapa kamu, yang dewasa sebagai saudara kamu dan yang kecil sebagai anak kamu. Oleh yang demikian, hormatilah bapamu, muliakanlah saudara kamu dan sayangilah anakmu.”
  • Raja’ bin Haiwah melengkapkan nasihat itu dengan berkata, “Sekiranya kamu mengimpikan kejayaan agar terlepas dari azab neraka nanti, maka cintailah seluruh orang Islam sebagaimana kamu mencintai dirimu dan bencilah untuk mereka sebagaimana kamu membenci pada diri kamu. Setelah itu, bolehlah kamu menghadapi kematian jika kamu mahu.”

Nasihat ketiga-tiga tokoh besar ini sewajarnya ditekuni dengan sebaik-baiknya, agar kita terpelihara daripada kegelinciran dan seterusnya menatijahkan sebuah negara yang aman damai, harmoni dan bahagia. Allah SWT boleh mengurniakan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Akan tetapi, sekiranya Dia inginkan keredaan terhadap mana-mana pemerintah, maka sudah pasti yang menepati ciri seperti nas yang berikut:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj 22:41)

Syeikh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi melalui bukunya yang bertajuk Maza Khasiral Alam bi Inhitat al-Muslimin (Apa Ruginya Dunia dengan Kejatuhan Umat Islam)   yang membicarakan tentang kepimpinan Islam yang terpilih dan unik di bawah tajuk “Zaman Kepimpinan Islam dan Pemimpin-pemimpin Islam dan Sifat-sifat Mereka”. Beliau menegaskan bahawa:

“Para pemimpin Islam bukanlah berkhidmat untuk kepentingan perkauman. Mereka bukanlah wakil-wakil daripada suatu bangsa atau suatu negeri yang berjuang untuk kemakmuran dan kepentingan bangsa dan negeri itu sahaja, atau percaya bahawa bangsa dan negeri mereka sahaja yang mempunyai kelebihan yang mengatasi segala bangsa dan negeri lain.”

“Mereka juga bukanlah dengan kepercayaan bahawa mereka sahaja yang dijadikan untuk memerintah dan bangsa-bangsa lain adalah dijadikan untuk diperintah oleh mereka.”

“Mereka tidak dilahirkan untuk membangunkan empayar Arab yang mewah dan makmur, di mana mereka berlagak angkuh dan sombong di bawah naungannya dan mengeluarkan manusia dari penjajahan Rom dan Parsi kepada pemerintah Arab atau pemerintah mereka sendiri, malah mereka dilahirkan untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah SWT yang Esa seperti yang diucapkan oleh Rabi’ Ibn Amir  dalam majlis Yazdarjad: ‘Allah SWT telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah SWT yang Esa, dan dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dan dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.’”

Karakter seorang pemimpin

Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang bijaksana dan berhikmah dalam mengemudi pentadbiran negara.

Antara sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin termasuklah:

  • Bersifat mesra rakyat.
  • Turun padang dalam membantu dan menyelesaikan kemelut yang melanda.
  • Melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya atau amar makruf nahi mungkar.
  • Bijaksana dan mempunyai kefahaman yang baik.
  • Sanggup mendengar nasihat dan rintihan rakyat.
  • Sifat ketenangan dan hikmah amat penting dalam mengemudi rakyat.
  • Melaksanakan keputusan berdasarkan syura dan maslahat untuk agama.
  • Menyebarkan dakwah Islam ke merata tempat.
  • Bersifat amanah.
  • Tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang yang melampau dan cukai yang tinggi. Kerajaan yang adil dan baik adalah tidak berniaga dengan rakyatnya untuk meraih untung yang besar.

Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah mencatatkan satu surat yang ditulis oleh Tahir bin al-Husain untuk anaknya, Abdullah bin Tahir yang telah dilantik oleh Khalifah al-Ma’mun untuk menjadi gabenor di al-Raqqah dan Mesir serta daerah di antara keduanya. Isi surat nasihat ini kemudian sampai kepada pengetahuan Khalifah al-Ma’mun.

Setelah membaca kandungan surat tersebut, Khalifah al-Ma’mun lantas memerintahkan agar kandungannya segera disebarluaskan kepada semua pegawai kerajaan bagi menjadi panduan kepada mereka dalam bekerja. Antara kandungan penting yang ditekankan di dalam inti pati surat tersebut termasuklah:

  • Hendaklah menjaga ibadat harian.
  • Mempelajari agama dan mendekati ahli agama.
  • Bersikap sederhana dalam setiap perkara dan tidak berlebihan dalam hal keduniaan.
  • Bersangka baik dengan orang lain dan berhati-hati dalam membuat tuduhan.
  • Mengikut perintah agama dan melaksanakan hukum Islam.
  • Mendekati orang soleh dan menjauhi orang yang buruk akhlaknya.
  • Melabur harta negara untuk kepentingan dan kemudahan rakyat.
  • Selalu mendengar pandangan fuqaha, pakar dan ilmuan, serta tidak mendengar daripada orang-orang yang mementingkan keduniaan.
  • Tidak bersikap bakhil khususnya kepada orang bawahan.
  • Bersikap adil terhadap semua orang termasuk kepada musuh, serta tidak memilih kasih dan mementingkan golongan tertentu.
  • Menjaga kebajikan orang bawahan.
  • Menghormati orang-orang besar dan berpengaruh dalam masyarakat.
  • Melantik orang yang akan melaporkan tindak-tanduk dan prestasi para pekerja.
  • Berlemah lembut dan beramah mesra dengan rakyat.
  • Mendekati para ulama dan menghormati orang yang tidak takut akan kebesaranmu untuk memberi nasihat yang jujur kepadamu.
  • Tidak mengungkit pemberian kepada rakyat.

Al-Mawardi dalam bukunya al-Ahkam al-Sultaniyyah telah menggariskan enam sendi utama yang mesti wujud dalam sebuah pemerintahan Islam, iaitu:

  • Penghayatan agama yang mendalam.
  • Pemimpin yang berwibawa.
  • Keadilan yang menyeluruh.
  • Kesuburan tanah yang berkesinambungan.
  • Harapan kelangsungan hidup.

Pemimpin yang Berilmu

Antara sifat pemimpin yang baik adalah berilmu pengetahuan. Hal ini amat penting bahkan menjadi syarat asas yang semestinya dimiliki oleh pemimpin. Perkataan ilmu bukan hanya dibataskan dalam ilmu agama semata-mata, tetapi juga termasuk ilmu siasah, komunikasi, pengurusan, hal ehwal ekonomi, pembangunan insan dan lain-lain.

Menekuni untaian mutiara nasihat ini sudah pasti seorang pemimpin akan benar-benar melaksanakan kebaikan dalam hidupnya. Bukan untuknya sahaja, tetapi juga untuk rakyat jelata dan negaranya. Semoga Allah SWT melahirkan negara kita pemimpin yang benar-benar berbakti untuk ummah dan negaranya semata-mata kerana-Nya. Mereka adalah pemimpin yang baik, bahkan terbaik di samping mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terbaik. Amin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.