Oleh Rosmani Omar
9 Disember 2022, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan tetamu kehormat yang lain semasa mengadakan lawatan kerja di Pusat Genius Kuala Lumpur.

Kuala LumpurBertempat di Sentul, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan RM25 000 kepada Perpustakaan Mainan di Pusat Genius Kurnia Pendidikan Awal Kanak-kanak Berkeperluan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia. Pengumuman sumbangan tersebut disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda berkenaan berangkat ke Pusat Genius Kuala Lumpur pada pagi tadi untuk lawatan kerja.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Tujuan lawatan Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda adalah untuk meninjau kemudahan di pusat tersebut dan meneroka kerjasama yang boleh dilaksanakan bagi mewujudkan pusat seumpama itu di Perlis bersama-sama dengan Pusat Pendidikan dan Latihan Autism (A-Heart) Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, MAIPs dan juga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang termasuklah mereka yang menunaikan zakat, wakaf dan sedekah mereka selama ini untuk ditadbir urus oleh MAIPs. Selain itu, baginda turut menggalakkan umat Islam agar mengambil peluang untuk menunaikan zakat bagi tahun 2022 ini sebelum berakhirnya bulan Disember ini yang hanya berbaki beberapa minggu lagi.

Semasa lawatan kerja tersebut, Pengarah Pusat Genius Kurnia, Dr. Nil Farakh Sulaiman berkesempatan memberikan taklimat tentang pusat tersebut termasuklah aktiviti yang dilaksanakan untuk pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas.

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis mendengar talimat tentang aktiviti yang dilaksanakan di Pusat Genius Kurnia.

Dalam sesi lawatan kerja tersebut, Raja Muda Perlis, Raja Puan Muda Perlis dan tetamu kehormat yang lain turut melawat kelas Tamborin (intervensi awal), Gym Flut, Harmonika (AKUR), Tupai (Transisi), Nanas dan Pisang (Prasekolah), Basikal (Palsi Serebrum) dan juga Bilik ‘Take Home Project’.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, YB Fadhlina Sidek dan YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof bergambar bersama-sama warga kerja Pusat Genius Kuala Lumpur.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.