Oleh Rosmani Omar
3 Disember 2022, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan antara Agensi Agama Islam Perlis (SUKIPs) Kali Ke-4 Tahun 2022.

Kangar – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis bakal menjadi penganjur Kejohanan Sukan antara Agensi Agama Islam Perlis (SUKIPs) Kali Ke-5 pada tahun hadapan. Menerusi penganjuran kejohanan tersebut, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar jabatan tersebut dapat meningkatkan momentum penganjuran dengan lebih baik, agar jalinan silaturahim antara warga agensi agama Islam di dalam negeri Perlis dapat terus dipelihara. Dalam usaha tersebut, baginda turut menitiberatkan aspek kesihatan penjawat awam. Titah baginda:

Sama-samalah juga kita pastikan kesihatan penjawat awam khususnya di kalangan warga kerja agensi-agensi agama Islam di negeri Perlis sentiasa berada pada tahap yang terbaik untuk terus memberikan khidmat yang cemerlang kepada ummah, agama, bangsa, negeri dan juga negara.

Raja Muda Perlis menitahkan demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan antara Agensi Agama Islam Perlis (SUKIPs) Kali Ke-4 Tahun 2022 yang diadakan di Dewan Banquet Kompleks Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu di Kangar.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah YIPs, Noorhamizi Mohd Yaacob.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat dalam Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan antara Agensi Agama Islam Perlis (SUKIPs) Kali Ke-4 Tahun 2022.

SUKIPs merupakan satu daripada bentuk aktiviti sukan secara bulanan yang disertai oleh semua agensi agama Islam di negeri Perlis dan dianjurkan secara penggiliran pada setiap tahun antara agensi yang terlibat. Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah, Kolej Universiti Islam Perlis dan Yayasan Islam Perlis (YIPs) sendiri.

Pada kejohanan yang berlangsung sejak bulan Jun yang lalu, pihak YIPs selaku penganjur pada tahun ini telah menawarkan beberapa acara sukan baharu yang belum pernah dipertandingkan sebelum ini. Antaranya ialah sukan baling damak (dart), petong (petanque), bola tampar pantai, sepak takraw antara regu, larian, serta duathlon. Dengan pendedahan kepada sukan baharu ini, tahap penganjuran sukan tersebut secara tidak langsung akan meningkat ke satu aras yang lebih tinggi. Penganjuran SUKIPs juga merupakan platform yang boleh digunakan bagi mencungkil bakat yang terpendam dalam kalangan warga agensi agama Islam di negeri Perlis sebagai persiapan awal untuk bersaing dalam kejohanan antara agensi mereka di peringkat kebangsaan.

Tuanku Raja Muda turut mencadangkan supaya tuan rumah yang seterusnya dapat juga mengadakan “aktiviti sokongan” selain  “sukan teras”, seperti larian ria (fun run) dan memancing kerana lebih banyak peserta dapat melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Hal ini demikian kerana pelibatan lebih banyak peserta akan memperkasakan lagi semangat ukhuwah dalam kalangan warga kerja agensi yang terlibat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.