Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPermatang Pauh – Politeknik Seberang Perai (PSP) Pulau Pinang kini dilantik sebagai wakil agihan zakat institusi dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang (ZPP). Kerjasama itu dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi antara Politeknik Seberang Perai (PSP) dengan Zakat Pulau Pinang (ZPP) anjuran Unit Corporate Industry Services and Employability Centre (CISEC) PSP, Permatang Pauh, Pulau Pinang di sini hari ini.
Pengarah PSP, Sr. Harith Fadzilah Abd Khalid berkata, seramai 200 kakitangan PSP menyertai pembayaran zakat melalui potongan gaji setakat ini dan hal tersebut diuruskan oleh ZPP. Melalui jaringan kerjasama ini, Sekretariat Pelaksana Tabung Dana Zakat PSP telah mendapat mandat sebagai wakil agihan zakat bagi pihak ZPP (terhad dalam kampus PSP sahaja) untuk mengagih wang hasil kutipan zakat daripada warga PSP menerusi potongan gaji tersebut dan seterusnya mengagih-agihkan kutipan itu sebanyak 50 peratus daripada jumlah kutipan zakat kepada asnaf dalam kalangan pelajar PSP yang memenuhi syarat tertentu.
“Pelantikan ini merupakan satu usaha untuk memperkukuh, menggalakkan dan membangunkan kerjasama dalam menjayakan bidang kebajikan dan pendidikan
yang menjurus kepada TVET. Usaha ini membuktikan keprihatinan PSP yang sentiasa cakna terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan para pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya.
Harith Fadzilah berkata lagi, melalui usaha ini juga para pelajar yang berhadapan dengan masalah kewangan dapat dibantu dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk terus belajar dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Norazmira Zainuddin. Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi ZPP, Muhammad Kairi Ghazalli.