25 November 2022, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: (Allah pasti akan menolong), iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

 (Surah al-Hajj 22:41)

Segala pujian bagi Allah SWT atas limpah kurnia-Nya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah sempurna urusannya pada 19 November yang lalu. Tahniah kepada mereka yang telah memainkan peranan dan menyempurnakan tanggungjawab mengundi. Direkodkan sebanyak 15.5 juta rakyat Malaysia yang keluar mengundi menyamai nisbah 73.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi bagi peringkat parlimen. Manakala 1.3 juta rakyat negeri Perak dengan nisbah 66.7 peratus; turun mengundi bagi pemilihan Dewan Undangan Negeri pada hari berkenaan.

Tangan-tangan rakyat yang mengundi ini, pemilihan yang dizahirkan atas kertas undian, juga calon yang terpilih seterusnya akan dilantik menjadi di antara 222 orang Ahli Dewan Rakyat dan 59 orang Ahli Dewan Negeri Perak; kini menanggung beban rakyat di bahu, membawa mandat dan amanah besar; tugasan yang mencabar untuk disempurnakan dalam tempoh lima tahun. Islam amat menekankan soal kewajipan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasul, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

(Surah al-Anfal 8:27)

Dalam memenuhi amanah rakyat, menjadi satu kemestian untuk pemimpin mempunyai ciri-ciri seperti berani, jujur, mementingkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan diri, berintegriti, merendah diri, cekap mengurus, berlapang dada, berlatarbelakangkan pendidikan berkualiti, memahami realiti dunia semasa, mempunyai keupayaan profesional, iman yang kuat serta takwa yang mendalam terhadap Allah SWT. Lazimnya rakyat yang mengundi disulami harapan; harapan ingin melihat generasi kepimpinan yang mengutamakan agenda transformasi pentadbiran yang telus dan cekap; disusuli dengan penerapan nilai moral dan etika dalam segenap aspek agar perkara-perkara yang mencemarkan imej negara dan merosakkan reputasinya dapat dihindarkan.

Setiap daripada kita merupakan pemimpin yang mempunyai peranan dan tanggungan masing-masing atau setidak-tidaknya memimpin diri sendiri.

Ayat 41 Surah al-Hajj menunjukkan bahawa kunci utama untuk pemimpin kekal berintegriti dan mengamalkan nilai moral yang baik ketika dikurniakan kuasa memerintah adalah dengan mendirikan solat, menunaikan zakat serta menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan. Empat elemen ini merupakan kombinasi lengkap ke arah pembentukan jati diri pemimpin berkaliber, juga faktor yang mendorong kesejahteraan sosial jika hal ini difahami dengan kemas dan dipraktikkan dalam kehidupan seorang pemimpin.

Solat mesti disempurnakan dengan khusyuk dengan penghayatan yang mendalam agar membuahkan iman yang mantap dan menjadi benteng kemungkaran. Zakat merupakan penyucian harta dan bukti tanggungjawab serta ihsan kepada yang memerlukan. Menyuruh berbuat baik dan melarang kejahatan menjadikan pentadbiran telus berteraskan keadilan dan bersih daripada penyelewengan. Hal tersebut juga menjadi titik tolak kepada lahirnya generasi yang hidup dalam keharmonian dan mencapai ketenteraman. Hakikatnya, setiap daripada kita merupakan pemimpin. Pemimpin mempunyai peranan dan tanggungan masing-masing atau setidak-tidaknya memimpin diri sendiri.

Kepimpinan diangkat melalui kuasa mandat rakyat. Oleh itu, umat Islam diingatkan tentang beberapa peringatan seperti yang berikut:

Pertama: Berusaha mengotakan janji serta tawaran yang pernah dihidangkan semasa proses berkempen meraih undi. Penuhi dengan baik ciri-ciri pemimpin yang dinyatakan Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 41 itu dan insya-Allah bantuan Allah SWT akan mengiringi diri kita ketika menjalankan amanah pentadbiran.

Kedua: Ketika diamanahkan tanggungjawab kepimpinan; sekurang-kurangnya ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian. Pertama, soal kewajipan yang memenuhinya dengan penuh kesungguhan, jujur dan saksama kepada semua pihak serta disulami kesedaran bahawa hal ini akan disoal oleh Allah SWT pada hari pembalasan. Kedua, menerapkan budaya intelektual serta kepimpinan yang tinggi sahsiah dan bermoral tinggi; seperti tidak melakukan pecah amanah, budaya rasuah, meningkatkan daya pengetahuan, berkemampuan berbahas secara berhemah sama ada dalam Dewan Rakyat, Dewan Negeri mahu pun bicara sesama pihak luar, apatah lagi di peringkat antarabangsa.

Ketiga: Memberikan fokus pada keutamaan dan keperluan rakyat. Tidak kurang juga isu global yang memperlihatkan dunia mengalami perubahan, malapetaka dan bencana yang amat perlu difikirkan secara strategik dan kerahan idea bersama dalam kalangan pemimpin dalam menangani krisis yang sedikit sebanyak memberikan ancaman kepada kehidupan manusia seperti krisis kekurangan bekalan makanan, bencana banjir, jerebu, kemungkinan munculnya virus lain yang membahayakan dan sebagainya.

Keempat: Mengembeleng tenaga memacu negara ke arah anjakan paradigma kemajuan sosial, teknologi, ekonomi dan sebagainya. Memikirkan pelan strategik yang dapat mengembalikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekonomi negara. Menyediakan perkhidmatan dan keperluan masyarakat seperti meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang ditambah baik, mengurangkan inflasi yang membebankan kos sara hidup dan sebagainya.

 Kelima: Mengamalkan budaya kepimpinan yang matang, demokrasi yang sihat dan menyemai budaya etika dan nilai moral dalam urusan pentadbiran. Membentuk negara yang maju dan kehadapan; ketepikan perbalahan yang merugikan kepentingan awam dan sentiasa bersikap proaktif dalam mengemudi pentadbiran. Rakyat mahukan kepimpinan yang berjiwa besar bukan berjiwa sempit, berwawasan tinggi bukan semata mendamba jawatan.

Keenam: Biduk lalu kiambang bertaut, keputusan PRU kali ini, ummah seharusnya kembali tautkan ukhuwah, kukuhkan persaudaraan dan bina persefahaman bersama ke arah Malaysia yang harmoni dan maju.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-’alamin, disebabkan dosa-dosa kami janganlah engkau jadikan pemimpin kami dalam kalangan orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.

 Ya Sami’! Ya Basir!, kurniailah hidayah serta bimbingan-Mu terhadap pemimpin kami dalam memacu negara ke arah kehidupan masyarakat yang maju budaya fikir, budaya hidup, sahsiah dan moral yang baik dalam perpaduan sosial serta menempa nama di persada dunia sebagai negara contoh dalam segenap aspek.

Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dzal Jalaali wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalik al-Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 25 November 2022 bertajuk “Amanah Rakyat: Kewajipan Melaksanakannya”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.