18 November 2022, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan adalah untuk menunaikan kaedah perlembagaan dalam sistem demokrasi negara dan memilih kerajaan yang berwibawa, teguh, amanah, berintegriti, bertanggungjawab serta mampu untuk membina sebuah sistem tadbir urus kerajaan yang cekap dan telus.

Setelah hampir dua minggu calon-calon dan penyokong berkempen, tanggal 19 November 2022 telah tiba masanya seluruh warganegara yang layak mengundi akan keluar mengundi.

Ahli Dewan Negara yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpesan agar pada malam terakhir kempen perlu di isi dengan solat, munajat, membaca al-Quran, doa dan menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT. Hal ini bertujuan agar perjalanan pilihan raya berjalan dengan penuh aman, damai dan akhirnya dapat membentuk kerajaan yang stabil, kukuh dan diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Kerajaan adalah milik Allah SWT dan Allah SWT berhak untuk memberi dan mengambil daripada sesiapa. Allah SWT boleh memuliakan dan menghinakan seseorang. Semuanya di bawah kuasa-Nya,” tegas beliau semasa memberikan pesanan menerusi laman YouTube beliau sendiri.

Tambah beliau lagi, malam keputusan PRU merupakan malam yang mendebarkan bagi semua calon selepas tamatnya semua proses pengundian. Beliau menegaskan bahawa  rakyat dan pemimpin berperanan  untuk mengucapkan tahniah kepada yang menang dan saling bermaafan kepada yang lain dan buat calon yang menang tidak lupa untuk mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Nasihatnya kepada para pemenang agar sentiasa menginsafi akan jawatan  yang dimiliki kerana hal tersebut merupakan amanah dan taklif yang mungkin akan disesali di hari akhirat kelak. Jawatan yang dimiliki bukanlah tasrif atau kemuliaan semata-mata malah memerlukan tekad, azam dan perlaksanaan tanggungjawab dengan amanah.

Dalam perkongsian beliau, YB Senator  menyatakan hasratnya untuk melihat Keluarga Malaysia yang aman damai, makmur dan rakyat dapat mengecapi kebahagiaan. Semoga PRU yang bakal berlangsung menghadirkan perkara yang baik buat seluruh rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.