18 November 2022, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksud, “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” Firman Allah SWT ini telah menjadi batu loncatan kepada pihak Sinar Harian, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), dan Rasuah Busters untuk menganjurkan “Program Malaysia Berdoa” sebagai solusi spiritual bagi mengembalikan segala urusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kepada Allah SWT pada malam terakhir sebelum hari pembuangan undi.

Program anjuran kerjasama pihak Astro Awani ini juga turut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, QuranHour dan Rasuah Busters pada Jumaat jam 9 malam yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, sudah tiba masanya semua urusan dikembalikan kepada Allah SWT agar Malaysia dianugerahkan pemimpin yang berintegriti, berilmu, kuat dan bertakwa.

Tegas beliau lagi, “Malaysia Berdoa menjadi solusi spiritual buat semua pengundi untuk berada dalam keadaan tenang agar dapat berfikiran jelas dalam membuat keputusan yang betul demi memilih pemimpin dan kerajaan yang boleh mentadbir negara mengikut syariat Allah SWT.”.

Program Malaysia Berdoa ini juga turut menampilkan pengisian pentadabbur al-Quran, Tuan Haji Fazrul Ismail, pentadabbur hadis, Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi dan Qari, iaitu Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M, Ustaz Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan.

Dalam program tersebut, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Tuan Haji Fazrul Ismail menegaskan bahawa memohon panduan daripada Allah SWT menjadi perkara paling penting dalam usaha memastikan calon dan parti yang dipangkah mampu membawa negara ke arah yang lebih baik. Jelas beliau,

Seruan daripada Allah SWT untuk kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, iaitu bertakwalah kerana sifat takwa penting bagi melatari langkah kita ke peti undi.

Pada akhir program, Tuan Haji Fazrul Ismail mengambil kesempatan dengan meninggalkan pesan kepada rakyat Malaysia supaya memilih pemimpin yang bukan sahaja dapat membantu rakyat semata-mata, malah pemimpin yang dapat membantu rakyat dari aspek spiritual agar rakyat semakin taat dan bertakwa kepada Allah SWT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.