18 November 2022, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu, kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa-apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.                                                                      (Surah al-Maidah 5:42)

Seawal jam lapan pagi Sabtu 19 November 2022, bermulalah urusan mengundi untuk memilih wakil kepada rakyat dalam PRU15. Rakyat diberikan hak membuat pilihan dalam kalangan calon yang menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen dan Dewan Negeri; selanjutnya ada dalam kalangan yang dipilih, akan diamanahkan dengan tanggungjawab menjadi Uli al-Amri atau pemimpin. Pilihan raya memberikan hak kepada rakyat menentukan sama ada mahu terus mengekalkan corak dan haluan politik negara serta pemimpin yang sedia ada, atau memilih untuk menukarnya. Penentuan diserahkan kepada kebijaksanaan rakyat membuat pilihan.

PRU15 memberikan hak kepada 21.1 juta orang pengundi untuk memilih pemimpin bagi mentadbir urus negara dan menentukan nasib 32.7 juta orang rakyat Malaysia. Rakyat mengharapkan, pasca pilihan raya, akan terbentuk sebuah kerajaan yang dapat memenuhi harapan rakyat; merangkumi penyediaan peluang pekerjaan, peluang pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam yang berkualiti, perumahan rakyat, jaminan bekalan barang makanan, kos sara hidup yang rendah, inflasi yang terkawal dan pelbagai lagi. Rakyat mahu melihat nilai ringgit kembali kukuh, beban hutang dan tanggungan negara berjumlah 1.4 trilion ringgit dapat dikurangkan, rasuah dihapuskan dan negara kembali dihormati pada peringkat antarabangsa.

Sebanyak 39 parti politik yang bertanding pada kali ini dengan membariskan 945 orang calon, di samping 108 orang calon bebas. Islam sangat memberikan penekanan soal kepimpinan. Nasib buruk atau baik rakyat dan negara ditentukan oleh pemimpin. Oleh itu, memilih pemimpin yang layak serta diyakini mampu memimpin dengan baik adalah suatu kewajipan. Ayat 42 Surah al-Maidah menjelaskan tentang orang-orang yang wajib dijauhi dan tidak dipilih untuk menjadi pemimpin;

Pertama: Orang-orang yang gemar mendengar atau mereka cipta berita palsu.

Kedua: Orang-orang yang suka memakan sumber yang haram seperti melakukan rasuah dan pecah amanah.

Allah SWT memerintahkan kita agar menghukum mereka yang berperangai dan bersifat demikian dengan seadil-adilnya, dengan berpaling daripada mereka, iaitu tidak sama sekali berurusan dengan orang sebegini, jauh sekali daripada mengangkat mereka menjadi pemimpin. Dalam suasana pilihan raya, menghukum dengan adil boleh dilakukan dengan tidak lagi memilih orang-orang yang terlibat dan terpalit dengan rasuah dan perbuatan pecah amanah.

Sudah tiba masanya untuk mengubah perkara yang buruk kepada perkara yang baik, mengatur langkah untuk menjernihkan air yang keruh, dan membetulkan perkara yang biasa serta membiasakan diri dengan perkara yang betul. Pilihan yang dilakukan akan menentukan kehidupan rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang. Oleh itu, umat Islam diingatkan dengan perkara berikut:

Pertama: Mengundi ialah tanggungjawab rakyat kepada negara. Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan kertas undi kepada setiap pengundi. Kertas undi yang dicetak melibatkan kos yang dibayar daripada duit pembayar cukai. Jangan disia-siakan kertas undi yang telah disediakan untuk kita; apatah lagi kerajaan pula bermurah hati mengisytiharkan hari ini dan esok sebagai hari cuti untuk memudahkan rakyat mengundi. Sempurnakanlah rukun kenegaraan seorang rakyat; sempurnakanlah tanggungjawab fardu kifayah seorang Muslim; ikhlaskan niat menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk pergi mengundi agar dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT.

Ketika mahu melantik seorang pentadbir dan pengurus, kita wajib bersifat teliti, memastikan orang yang dilantik memiliki keupayaan untuk mengurus negara dengan baik dan berkesan serta dihormati.

Kedua: Sedarkan pengundi bahawa kita sebenarnya dalam proses mahu melantik seorang pemimpin bagi mengurus negara. Lazimnya, ketika mahu melantik seorang pengurus, kita wajib bersifat teliti, memastikan orang yang dilantik memiliki keupayaan untuk mengurus negara dengan baik dan berkesan serta dihormati. Siapakah antara calon yang berupaya mengangkat martabat dan memakmurkan negara? Siapakah antara calon yang memiliki imej bersih dan bebas daripada rasuah? Siapakah antara calon yang memiliki kekuatan dan bukan boneka atau patung yang begitu lemah dan tidak memiliki kekuatan jati diri lalu terlalu mudah tunduk kepada tekanan? Siapakah antara calon yang berupaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur, yang dihormati pada peringkat antarabangsa? Perkara-perkara tersebut hendaklah dijadikan panduan ketika membuat pilihan. Masyarakat Melayu secara bergurindam mengingatkan bahawa:

Kalau mencari tempat mandi,

Pertama teluk kedua pantai;

Kalau mencari pemimpin negeri,

Pertama elok, kedua pandai.

Buatlah pilihan dengan hati, akal dan fikiran yang waras dengan menilai sifat, watak, sikap dan pendirian calon. Pilihlah calon yang memiliki peribadi yang jujur dan ikhlas, memiliki akhlak dan budi pekerti mulia, berilmu dan berpengetahuan, mengamalkan gaya hidup sederhana serta tidak memperagakan kemewahan secara keterlaluan. Pilihlah pemimpin yang memiliki sifat kepimpinan seperti yang berikut dan laksanakan tanggungjawab kita sebagai ummah.

Pertama: Sifat al-qowiy, bermaksud berkemampuan, berkebolehan, berkepakaran, dan mahir dalam melaksanakan tugas.

Kedua: Sifat al-amin, bermaksud amanah, bertanggungjawab dan berintegriti, tidak menyeleweng, tidak khianat, dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan jawatan hingga sanggup menggadaikan maruah diri dan maruah bangsa.

Ketiga: Buktikan azam memerangi rasuah melalui kertas undi dengan menolak dan tidak memberikan undi kepada calon-calon yang memiliki imej rasuah atau terpalit dengan lumpur rasuah. Buktikan tekad untuk menolak rasuah dengan tidak membenarkan diri kita mudah dibeli dengan wang sogok sehingga memilih calon akibat terpengaruh dengan sampul surat yang mengandungi wang.

Keempat: Setelah berusaha, berdoa dan bertawakallah kepada Allah SWT. Walau apa-apa jua keputusan PRU15, ummah wajib menerimanya dengan hati yang terbuka serta reda dengan ketentuan Ilahi.

Sehubungan dengan itu, umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkanlah selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-’alamin, disebabkan dosa-dosa kami janganlah engkau jadikan pemimpin kami dalam kalangan orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.

Ya Sami’! Ya Basir!, selamatkan perjalanan hamba-Mu yang bermusafir pulang ke kawasan mengundi. Jadikan pemusafiran mereka sebagai takwa dan kebaikan. Mudahkan urusan pengundian hari esok, kurniakan cuaca yang baik, lindungi rakyat dan para petugas agar dapat menyempurnakan tanggungjawab masing-masing sesempurna yang mungkin.

Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, dan jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalaali wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalik al-Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah, serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 18 November 2022 bertajuk “Pilihan Raya: Pemilihan Uli al- Amri”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.