11 November 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “‘Dan binalah bahtera dengan pengawasan dan panduan melalui wahyu Kami (tentang cara membinanya); dan janganlah engkau merayu kepada-Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan).’ Dan Nabi Nuh pun mula membina bahtera itu. Setiap kali sepuak daripada kaumnya melalui tempat Nabi Nuh membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh menjawab, ‘Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membina bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.’”

(Surah Hud 11:37-38)

Musim tengkujuh dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023. Dalam tempoh tersebut, perubahan cuaca yang membawa hujan lebat berterusan boleh mengakibatkan berlaku banjir besar terutama di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran dengan sungai. Di negeri Perak, secara keseluruhannya, terdapat 171 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berkemungkinan dilanda banjir.

Berpandukan rekod purata taburan hujan tahunan Jabatan Pengairan dan Saliran, dalam tahun 2022, negeri Perak dianggarkan merekodkan taburan hujan sebanyak 2420 mm. Hingga 26 Oktober, taburan hujan yang telah turun hanya 1333 mm, menyamai nisbah 56 peratus daripada jumlah keseluruhan purata taburan tahunan. Hal ini bermakna masih terdapat baki 1065 mm atau 44 peratus purata hujan yang dijangka akan turun antara bulan November hingga Disember.  Hujan lebat diramalkan akan turun secara berterusan dalam bulan November dan Disember 2022.

Islam amat mengutamakan kemaslahatan manusia. Ummah diseru agar membuat persiapan menghadapi banjir. Nabi Allah Nuh a.s. sebagai contoh, melakukan persiapan untuk menghadapi musibah dengan membina bahtera. Hujan lebat yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua bulan ini berkemungkinan mengakibatkan berlaku banjir. Oleh itu, umat Islam dinasihatkan untuk mengusahakan langkah-langkap persiapan. Pepatah Melayu mengingatkan masyarakat agar disediakan payung sebelum hujan. Oleh itu, orang ramai diingatkan dengan beberapa langkah persiapan seperti yang berikut:

Pertama: Dalam menghadapi musibah yang menimpa diri secara khusus atau yang melanda manusia secara umum, perbuatan mengeluh, menyalahkan takdir dan menuding jari kepada orang lain tidak akan menyelesaikan masalah. Perkara yang wajar dilakukan adalah bermuhasabah diri dengan melihat dan mengenal pasti bentuk serta punca setiap musibah, dan bagaimana cara terbaik untuk menangani sesuatu musibah. Sebaik-baik tindakan ketika mendepani apa-apa jua musibah adalah dengan beristighfar atau memohon ampun kepada Allah SWT akan dosa serta kesalahan yang dilakukan sama ada yang disedari mahupun yang tidak disedari.

Dalam menghadapi musibah banjir, umat Islam seharusnya beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT atas kesalahan dan dosa yang dilakukan.

Kedua: Umat Islam diseru supaya banyak berdoa agar dihindari hujan yang boleh menyebabkan musibah banjir seperti yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Ya Allah jadikan hujan ini di sekitar kami, bukan tepat di atas kami.”                                                                                                                  (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 933)

Longkang yang tersumbat mesti dibersihkan supaya air dapat mengalir dengan baik.

Ketiga: Membersihkan longkang dan laluan air daripada halangan seperti sampah sarap, hentikan perbuatan membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai, serta pastikan saluran najis tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.

Keempat:  Dapatkan maklumat terkini tentang banjir melalui radio dan televisyen, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah atau pihak-pihak yang berkaitan.

Kelima: Mengetahui Pusat Pemindahan, Pusat Bantuan Bencana serta Pusat Kawalan Operasi Banjir di tempat masing-masing. Simpan dalam telefon bimbit, nombor talian pusat kawalan operasi bencana daerah atau balai polis terdekat. Bimbing ahli keluarga untuk mengetahui cara bertindak semasa berlaku kecemasan.

Keenam: Bertindak dengan segera apabila terdengar bunyi siren amaran. Sebanyak 33 buah Sistem Amaran Awal Banjir, iaitu stesen siren, telah dipasang di sekitar kawasan sungai untuk memberikan amaran apabila air sungai mulai naik ke paras bahaya. Siren amaran akan berbunyi dua kali. Siren pertama akan berbunyi apabila aras air berada di paras berjaga-jaga. Siren kedua akan berbunyi apabila aras air berada pada peringkat bahaya. Oleh hal yang demikian, apabila kedengaran bunyi siren pertama, orang ramai perlu bersiap sedia dan turut memberitahu jiran untuk berpindah ke tempat lebih selamat di pusat-pusat pemindahan yang disediakan.

Ketujuh: Ketika melihat tanda-tanda awal banjir, pindahkan perabot dan peralatan rumah ke tempat yang selamat, menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas; juga pastikan dokumen penting seperti hak milik tanah, rumah, kenderaan dan sijil berada di tempat yang selamat atau dibawa bersama di dalam bekas kalis air.

Kelapan: Sediakan peralatan kecemasan seperti lampu picit dan pelampung, ubat dan alat perubatan, bekalan makanan terutama susu bayi dan makanan kanak-kanak, juga pakaian panas dan selimut terutama untuk keperluan kanak-kanak dan warga tua.

Kesembilan: Elakkan daripada melalui kawasan banjir dan arus deras yang boleh menghanyutkan; tidak bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki, tidak menyentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh, melarang kanak-kanak daripada bermain-main di tepian longkang, sungai, tasik atau lombong.

Kesepuluh: Kaum keluarga dan sanak saudara diseru untuk melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah. Mereka yang tinggal dalam kawasan bebas banjir hendaklah menawarkan tempat tinggal untuk perlindungan ahli keluarga yang dilanda banjir, terutama ahli keluarga yang dalam keuzuran, mempunyai ramai anak kecil, warga tua dan wanita, supaya dapat berada dalam suasana hidup yang lebih selesa, di samping dapat mengurangkan bilangan yang perlu diberikan tempat di pusat-pusat pemindahan.

Kesebelas: Jawatankuasa masjid, surau dan kariah, di mana-mana sesuai, menawarkan tempat perlindungan kepada mangsa banjir, di samping mengusahakan kutipan dana khas untuk membantu mangsa banjir dalam kariah masing-masing.

Kedua belas: Badan-badan belia dan badan-badan sukarela hendaklah berperanan proaktif, menawarkan khidmat dan tenaga melakukan pelbagai kerja kebajikan membantu mangsa banjir semasa banjir dan pascabanjir.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Selamatkan kami daripada sebarang musibah atau bencana seperti banjir kilat dan ribut taufan. Limpahkan hujan rahmat ke atas kami yang menyuburkan tanaman kami dan iman kami.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka serta jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 11 November 2022 bertajuk “Musim Tengkujuh Persiapan Menghadapi Banjir”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.