4 November 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, “Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmah) ketetapan Tuhan itu dengan berkata, “Adakah Engkau (Wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?”  Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.”

(Surah al-Baqarah 2:30)

Bersempena dengan tarikh sambutan rasmi ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak kali ke-66 pada 4 November 2022, tajuk “Islam Meningkatkan Kedaulatan Raja-raja Melayu” wajar dibicarakan untuk mengingatkan kita tentang kedaulatan raja-raja.

Pemerintah yang adil ialah pemerintah yang menjunjung kebenaran dan tidak menuruti hawa nafsu.

Khalifah ialah orang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia di bumi berdasarkan wahyu dan syariat supaya kehidupan manusia teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni serta mendapat keredaan Ilahi. Meskipun dalam ayat 30 Surah al-Baqarah, ditanya oleh Malaikat akan penentuan Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi, namun Allah SWT berfirman bahawa Dia lebih mengetahui. Demikian penentuan Ilahi yang menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di bumi ini dan seterusnya memberikan kuasa pemerintahan dalam kalangan manusia mengikut penentuan-Nya. Terkandung dalam ayat-ayat al-Quran istilah khalifah, imam, sultan, malik, amir, wali dan Uli al-Amri, membayangkan kedudukan manusia yang dipertanggungjawabkan dengan amanah kepimpinan.

Islam mengiktiraf kedaulatan pemerintah dengan istilah Uli al-Amri. Rasulullah SAW menamakan pemerintah yang baik dengan beberapa nama, iaitu “Imam yang adil” yang layak mendapat perlindungan Arasy Allah SWT pada hari kiamat. Pemerintah yang adil termasuk dalam golongan penghuni syurga dan golongan yang tidak ditolak doa mereka.  Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “… sebaik-baik pemerintah ialah yang kamu mengasihinya dan dia mengasihimu, seburuk-buruk pemerintah ialah yang kamu benci kepadanya dan dia membencimu”. Pemerintah yang adil ialah pemerintah yang menjunjung kebenaran dan tidak menuruti hawa nafsu seperti yang diingatkan oleh Allah SWT kepada Nabi Daud a.s. melalui ayat 26, Surah Sad.

Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat pada hari perhitungan disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Kedaulatan merupakan aspek utama yang memberikan kesahihan, sekali gus mencorakkan sistem perlembagaan sesebuah negara. Bahawasanya, kedaulatan negara ini berpaksikan pada kedudukan Raja-raja Melayu. Sembilan buah negeri yang menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 ialah negeri-negeri yang diperintah oleh Raja Melayu yang meneruskan kedaulatan bersumberkan ajaran Islam dan bersendikan adat Melayu. Islam dan institusi Raja Melayu merupakan unsur teras jati diri bangsa.

Kedaulatan negara berpaksikan pada kedudukan Raja-raja Melayu.

 

Kedaulatan bersumberkan Islam menetapkannya milik mutlak Allah SWT dan kedudukan insan yang dikurniakan kedaulatan sebagai pemegang amanah. Firman Allah SWT dalam ayat 26, Surah Ali ‘Imran:

Maksudnya Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki! Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah juga yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sahajalah terdapat segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.”

(Surah Ali ‘Imran 3:26)

Nyatalah Islam merupakan kekuatan yang mengukuhkan kedaulatan seorang raja pemerintah. Seorang raja pemerintah itu berkedudukan sebagai wakil yang dipertanggungjawabkan dengan amanah Allah SWT di bumi ini. Darjat raja pemerintah kurniaan Ilahi sebenarnya merupakan tugas dan tanggungjawab. Dari sudut khilafah, iaitu sistem pemerintahan umum berteraskan syariah, khalifah disifatkan sebagai pengganti Rasulullah SAW untuk menjaga urusan agama, politik dan dunia dengan cara pemerintahan berpandukan sunah Rasulullah SAW. Pada hakikatnya, kalimah syahadah yang dilafazkan oleh ketua negara dan ahli syura yang menguruskan pemerintahan dan kerajaan ialah pernyataan penting tentang pelestarian kedaulatan bersumberkan ajaran Islam. Dalam kalimah syahadah, terkandung pengakuan sifat uluhiyyah bagi Allah SWT yang diistilahkan sebagai kedaulatan oleh ahli sains politik Islam. Sifat uluhiyyah, bermaksud seseorang yang menganut agama Islam wajib mengimani kemutlakan Allah SWT dalam setiap kekuasaannya.

Seorang ketua negara yang beragama Islam tidak boleh melucutkan kewajipan bagi memenuhi perintah Allah SWT apatah lagi dalam kedudukan sebagai ketua agama dan pemerintah tertinggi. Menegakkan pemerintahan berlandaskan hukum Allah SWT terkandung dalam sumpah jawatan Sultan Perak.

Kuasa pemerintahan itu ialah amanah daripada Allah SWT yang perlu disempurnakan bertunjangkan keadilan, syura dan baiah. Raja yang adil ialah raja yang menyantuni setiap lapisan rakyat jelata. Menurut Imam al-Ghazali dalam karyanya Nasihat al-Muluk (Nasihat buat Raja-raja), seorang raja yang baik ialah raja yang dihormati dan disayangi oleh rakyat kerana peribadi, kesolehan dan keadilannya. Oleh sebab itu, wajarlah seorang raja itu berusaha agar dirinya disayangi rakyat, kerana dengan kasih sayang rakyat terhadap dirinya, akan membawa permuafakatan dan kesatuan dalam wilayah kerajaannya. Malah amat perlu bagi raja pemerintah, pada setiap masa mendapatkan maklumat balas daripada rakyat bawahan tentang pandangan mereka terhadap pemerintahan, agar membolehkan raja pemerintah berusaha memperbaiki kelemahan dan kepincangan yang berlaku di dalam negeri.

Imam al-Ghazali turut menasihatkan para pemerintah agar tidak mencari kasih sayang manusia dengan melakukan perkara-perkara yang meskipun popular atau disukai ramai, tetapi bertentangan dengan syarak. Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa akal ialah punca terbitnya segala kebahagiaan dan kesejahteraan. Dengan tunduknya nafsu (shahwah) dan kemarahan (ghadab) kepada akal, maka seorang raja pemerintah itu akan mengekang dirinya daripada bersifat takabbur. Ditegaskan pentingnya seorang raja bersifat adil; yang dicerminkan dalam wa’ad atau perjanjian antara raja dengan rakyat, melalui kata-kata, “raja adil raja disembah – raja zalim raja disanggah”.

Islam menegaskan agar seorang raja pemerintah itu menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat-sifat mahmudah, mengurus tadbir negeri dengan ilmu dan kebijaksanaan, serta berusaha memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat, mencetus pelbagai idea untuk memakmurkan negeri dan memikirkan pelbagai kaedah bagi menyelesaikan pelbagai isu dan kemelut yang melanda negeri.

Sesungguhnya raja pemerintah diamanahkan dengan tanggungjawab yang berat bagi memastikan negerinya aman dan damai; rakyatnya hidup dalam rukun dan damai, di samping dapat menikmati kemakmuran ekonomi yang diagihkan secara adil lagi saksama. Oleh itu, amatlah penting raja pemerintah itu dibantu dan dipagari oleh para ulama dan umara yang taat dan setia memenuhi tuntutan Allah SWT dan Rasul, yang ikhlas dan jujur, serta yang berilmu dan berpengetahuan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-’alamin!, muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bukakanlah pintu hati kami untuk beristiqamah dalam memastikan keharmonian dan kesepaduan rakyat negeri Perak di bawah payung naungan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan seterusnya memelihara perpaduan dan persaudaraan sesama kami, demi kebaikan dan kemaslahatan umat Muslimin keseluruhannya.

Ya Dzal Jalaali Wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman dan hati kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Qahhar Ya Jabbar!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah, jujur dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Ya Malik! Ya Hadi!, bersempena dengan sambutan rasmi ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muizzuddin Shah Al-Maghfur-Lah ke-66 tahun, kami pohonkan agar sepanjang tempoh baginda menjunjung amanah seorang Amirulmukminin, Engkau kurniakanlah bimbingan agar baginda memberikan naungan yang adil lagi saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum – tanpa mengira agama, agar takhta pemerintahan diyakini berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan – teras perpaduan – tenaga penyatuan dalam kepelbagaian. Seiring dengan gelaran Muizzuddin Shah, “muizzuddin” bermaksud “pemerkasa agama”, dan berpandukan keinsafan baginda bahawa kuasa pemerintahan ialah amanah daripada Ilahi, semoga syiar Islam akan berkembang dan pemerintahan baginda didaulatkan dengan roh Islam. Seluruh rakyat jelata menyembahkan ucapan Dirgahayu Tuanku.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat 4 November 2022 bertajuk “Islam Meningkatkan Kedaulatan Raja-raja Melayu”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.