3 November 2022, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Demi memastikan sesuatu perancangan dan perlaksanaan pengurusan hal ehwal Islam negara yang bermuafakat, institusi hal ehwal Islam perlu membina jaringan komunikasi meliputi pelbagai aspek bersama-sama semua agensi.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki Ali, pengurusan yang melibatkan hal ehwal Islam adalah berbeza dengan pengurusan biasa disebabkan oleh faktor peranannya yang besar, iaitu sebagai sumber rujukan bidang keagamaan termasuklah dari segi pentadbiran dan pengurusan.

Tegas beliau, “Pengurusan hal ehwal Islam perlu bersifat inklusif dalam semua sudut dan tidak eksklusif kepada beberapa aspek atau kumpulan tertentu sahaja. Segala tindakan sesama agamawan dan agensi agama mestilah mengambil kira kemaslahatan pelbagai pihak.” katanya lagi dalam ucap utama di Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam bersempena dengan Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2022 di Dewan Datuk Mohd Shahir semalam. Konvensyen ini juga boleh diikuti secara langsung di saluran YouTube  MyJAKIM atau di Facebook @StatsMalaysia, dari Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. 

Sejajar dengan topik “Pendigitalan Sistem Penyampaian Hal Ehwal Islam Berpacukan Data” Tan Sri Mohd Zuki Ali berpandangan bahawa pendigitalan perkhidmatan dalam pentadbiran hal ehwal agama hendaklah diangkat dengan lebih tinggi di samping memastikan pengurusan agensi agama tidak lapuk. Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) sudah tiba dan sedang menjadi kenyataan. Kemunculan teknologi baharu seperti automosi, robotik, Kecerdasan Buatan (AI), Mesin ke Mesin (M2M), dan Internet Benda (IoT) telah mengubah cara dunia beroperasi.

Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa semua pentadbir agama perlu kelihatan aktif dan menonjol dalam pelbagai perkara khususnya perkara yang melibatkan pentadbiran dan pengurusan masyarakat bagi menyuarakan idea-idea baharu yang bernas berasaskan pendekatan Maqasid Syariah.

Sebagai pentadbir hal ehwal agama, keperluan ruang solat yang sesuai dengan kemudahan berkaitan adalah input penting yang perlu dikemukakan oleh pengurusan hal ehwal Islam dalam mana-mana projek pembangunan kepada kerajaan.

Demikian menurut Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin yang juga merangkap Ketua Perangkawan Malaysia dalam ucapan beliau di konvensyen tersebut . Beliau turut mengingatkan agar semua agensi agama persekutuan dan negeri sentiasa mengamalkan dan melaksanakan pelbagai insiatif yang dirangka kerajaan berhubung dengan aspek pengukuhan integriti. Kaedah yang telus dan bebas isu integriti seperti pemindahan kewangan dalam talian tanpa tunai merupakan antara kaedah pengurusan inovatif yang dapat meminimumkan salah laku dan isu integriti yang melibatkan wang tunai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!