21 Oktober 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

(Surah Ali ‘Imran 3:185)

Mati itu pasti berlaku dan menjemput setiap yang bernyawa ke alam barzakh, tanpa mengira umur, pangkat mahupun kedudukan. Mati juga menjadi pemisah antara alam dunia dengan alam barzakh, serta pemutus segala nikmat dunia yang sementara. Kematian merupakan permulaan bagi perjalanan menuju hari kebangkitan. Mati ialah ain al-yakin, iaitu hari yang semua peringatan Allah SWT kepada manusia menjadi kenyataan. Mati datang pada masa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tanpa dapat ditangguhkan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.”

(Surah al-A‘raf 7:34)

Apabila tiba masanya, kematian pasti akan datang menjemput manusia tidak kira pangkat, umur mahupun kedudukan.

Mengapakah kita perlu mengingati mati? Adakah benar pendapat yang mengatakan bahawa banyak mengingati mati akan menyebabkan kita mundur ke belakang? Sudah tentu tidak kerana dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, diceritakan bahawa seorang lelaki Ansar datang dan bertanya kepada Baginda;

Maksudnya: “Dia bertanya, ‘Mukmin manakah yang paling cerdas?’ Baginda bersabda, ‘Yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas’.”

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Mengingati mati tidak akan menyebabkan seseorang mundur dan terkebelakang, bahkan akan menjadikannya memiliki niat yang betul selaras dengan ayat 162, Surah al-An‘am yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam,” lantas memastikan setiap usaha yang dilakukan di dunia ini berbentuk ibadat. Apakah kelebihan mengingati mati sehingga Rasulullah SAW menggelarkan mereka orang yang cerdik? Antara kelebihannya termasuklah;

Pertama: Mengingati mati akan menambahkan keimanan. Keimanan akan menjadikan seseorang itu lebih amanah, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amalan dan pekerjaan.

Kedua: Mengingati mati dapat menghindarkan seseorang daripada melakukan dosa dan kezaliman. Orang yang mengingati mati tidak mahu dosanya menjadi penghalang memasuki syurga; apatah lagi kezalimannya terhadap orang lain akan menyebabkannya muflis di akhirat kerana pahala kebaikannya akan diberikan kepada orang yang telah dizaliminya.

Mengingati mati akan meningkatkan keimanan seseorang dan bersungguh-sungguh melakukan ibadat.

Ketiga: Mengingati mati akan menyebabkan seseorang itu membuat persiapan untuk menghadapinya, iaitu dengan bersungguh-sungguh melakukan amal soleh dan berusaha meninggalkan larangan Ilahi. Persiapan menghadapi kematian turut bermaksud melakukan persediaan untuk ahli keluarga agar mereka yang ditinggalkan tidak berada dalam keadaan yang daif, susah, miskin dan melarat.

Keempat: Mengingati mati akan menjauhkan manusia daripada sifat sombong, bongkak, angkuh dan takbur kerana insaf bahawa apabila sampai saat kematian, semua kebanggaan duniawi ini pasti akan ditinggalkan.

Apakah yang menghalang kita daripada mengingati mati? Dalam sebuah hadis daripada Tsauban r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW ketika menceritakan keadaan kelemahan umat Islam akhir zaman, Baginda bersabda bahawa umat ini akan ditimpa penyakit al-wahnu. Apabila ditanya oleh para sahabat apakah yang dimaksudkan dengan al-wahnu, Baginda menjawab, al-wahnu ialah penyakit cinta akan dunia dan takut mati, iaitu dengan maksud terlalu taasub mengejar nikmat dunia dan isinya sehingga melupakan akhirat. Islam menggalakkan umatnya berusaha untuk mencapai kejayaan kehidupan di dunia, namun jangan sampai melupakan akhirat yang kekal.

Oleh itu, kita hendaklah bermuhasabah bahawa adakah kita termasuk dalam golongan orang yang mendahulukan tuntutan ibadat yang diwajibkan berbanding dengan kerja-kerja duniawi? Adakah kita berhenti melakukan kerja dan urusan sebaik-baik sahaja mendengar azan menyeru kita mendirikan solat? Adakah kita mengumpulkan kekayaan dengan menipu, mencuri, mengingkari janji, mengambil riba, atau lebih dahsyat lagi mengkhianati amanah dan melakukan rasuah? Jika jawapannya ya, maka kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai menghidap penyakit al-wahnu. Insaflah! Penyakit terlalu taasub dan keterlaluan mencintai dunia akan menyebabkan manusia melupakan akhirat, sekali gus akan menjerumuskan manusia ke dalam neraka jahanam menghadapi perit dan azab seksaan dibakar oleh api neraka.

Sentiasalah beristighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT sebagai persediaan menghadapi kematian.

Oleh hal yang demikian, banyakkan beristighfar dan bertaubat. Menurut Imam al-Ghazali, syarat taubat hendaklah dimulakan dengan penyesalan akan perbuatan dosa, sekali gus berazam meninggalkannya, lalu digantikan dengan amalan soleh. Jika telah melakukan kezaliman yang melibatkan hak orang lain, taubat hendaklah disusuli dengan mengembalikan hak tersebut kepada yang berhak sekali gus memohon maaf. Bagi orang yang berhutang, berusahalah melunaskan hutang kerana hutang juga akan menjadi penghalang untuk kita mendapat balasan syurga di akhirat.

Di samping bertaubat, banyakkan bertadabbur, iaitu membaca dan mengambil pengajaran daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW tentang kematian, selalu menziarahi orang sakit, serta menziarahi dan melakukan solat jenazah dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Ziarahlah kubur kerana perbuatan tersebut merupakan antara suruhan nabi untuk mengingati mati.

Oleh itu, umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Kematian itu benar, soalan Mungkar dan Nakir juga benar, bangkit daripada kubur, yakni dihidupkan semula juga benar, berhimpun di Padang Mahsyar juga benar, ditimbang segala amalan juga benar, balasan nikmat syurga dan azab neraka juga benar.

Kedua: Persiapkan diri untuk bersedia menghadapi kematian dengan ketabahan, ketenangan dan keredaan, mentafsirkan kematian sebagai saat yang akan membawa roh kita menempuhi alam baharu yang dipenuhi nikmat lebih hebat daripada apa-apa yang dialami di dunia ini.

Ketiga: Sediakan bekalan untuk alam akhirat dengan mengambil ingatan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalan kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” Oleh itu, banyakkan bersedekah, sampaikan dan sebarkan ilmu sebanyak mungkin, serta didiklah anak-anak agar menjadi anak yang soleh.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan para tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Semoga kehidupan sementara kami di dunia ini disudahi dengan pengakhiran yang baik. Jauhi kami daripada sifat lebih mencintai dunia sehingga memesongkan hati kami dan terpengaruh dengan bisikan syaitan yang dilaknati Allah SWT yang boleh mengakibatkan kami tercampak ke dalam neraka jahanam. Hidupkan hati kami dengan cahaya iman-Mu agar mencapai keredaan-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah 21 Oktober 2022, “Mengingati Mati”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.