16 Oktober 2022, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Membina perwatakan unggul pelajar negeri Perlis ialah tindakan utama yang perlu dilaksanakan untuk memastikan slogan “Rakyat Perlis Hebat, Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan” berjaya direalisasikan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kampung Baru Jalan Kaki Bukit dan di Kampung Pondok pada pagi ini. Titah baginda lagi,

Peribadi pelajar yang bersifat ‘Perlis Centric wajar dimulakan dengan memastikan pelajar melaksanakan perkara-perkara yang positif, proaktif serta mudah dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Perbuatan seperti mengucap dan menjawab salam, mempraktikkan etika penggunaan tandas, amalan beratur, membersihkan sisa makanan, membersihkan kelas dan mempunyai sikap berani serta bernas untuk bertanya dan menjawab soalan ialah contoh karakter pelajar negeri Perlis. Amalan-amalan yang bersifat ‘Perlis Centric’ tersebut harus diamalkan secara “standard” di semua sekolah. Karakter positif ini diharap akan dapat menonjolkan identiti umum pelajar Perlis yang lebih positif.

Titah tersebut disampaikan oleh Raja Muda Perlis sejajar dengan agama Islam yang menuntut umatnya untuk mendukung tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT dan sentiasa melakukan kebaikan di bumi. Menurut hadis riwayat Ahmad, “Sesiapa yang mencari jalan untuk memperoleh ilmu nescaya Allah memudahkan jalannya menuju syurga.” Oleh hal yang demikian, Raja Muda Perlis mengharapkan rakyat negeri Perlis sentiasa menuntut ilmu dan melaksanakan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian agar rakyat negeri tersebut bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga merujuk kejayaan masyarakat Jepun yang menerapkan nilai murni kepada rakyat mereka. Hal ini demikian kerana menurut baginda sistem pendidikan Jepun terlebih dahulu menerapkan nilai yang baik terhadap peribadi pelajar sebelum sukatan pelajaran formal diperkenalkan.

Tuanku Raja Muda yakin usaha dan amalan tersebut dalam dijayakan sekiranya semua pihak memberikan komitmen yang terbaik dan mengambil inisiatif untuk memperkenalkan karektor pelajar yang unggul tersebut.

Semasa agihan zakat tersebut, Raja Muda Perlis telah menyampaikan zakat bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah setiap seorang kepada asnaf terpilih, iaitu Mohamad Bahari 76 tahun dan Som Muhamad 81 tahun yang tinggal di Kampung Baru Jalan Kaki Bukit serta Desa Mat Saman 80 tahun yang tinggal di Kampung Pondok. Sumbangan tersebut adalah bersempena dengan program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ Bilangan Ke-68 bagi Tahun 2022.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berangkat menyampaikan zakat kepada asnaf di Kampung Baru Jalan Kaki Bukit dan di Kampung Pondok.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.