15 Oktober 2022, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pada 25 September 2022, Raja Muda Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). FCoEE merupakan satu daripada organisasi pusat kecemerlangan pendidikan yang akan memacu kecemerlangan pendidikan di Perlis.

Selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs di Kampung Padang Melangit pada hari ini dalam Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-21 bagi Tahun 2022 , DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyatakan harapan baginda agar penubuhan FCoEE bukan sahaja dapat membantu Jabatan Pendidikan Negeri Perlis meningkatkan bidang akademik di Perlis tetapi juga dalam aspek kokurikulum dan sukan.

Semasa penyerahan sumbangan MAIPs berjumlah RM11 600.00 kepada 29 orang asnaf terpilih yang masing-masing menerima RM400.00 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid As Sakinah di kampung tersebut untuk diagihkan oleh amilnya, Asnan Senawi, baginda menyatakan bahawa selain penubuhan FCoEE, kewujudan pelbagai institusi pendidikan tinggi di negeri itu seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), dan tidak lama lagi Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) sewajarnya diambil peluang sebaik-baiknya oleh semua pihak termasuklah sekolah dan masjid untuk memastikan wujudnya kolaborasi yang mampu memanfaatkan masyarakat setempat.

Raja Muda Perlis, MAIPs, Faizuddin Centre Of Educational Excellence
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa menyerahkan sumbangan zakat untuk anak kariah Masjid As Sakinah di Kampung Padang Melangit pada hari ini.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis memaklumkan bahawa negeri Perlis akan menjadi tuan rumah Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri Ke-33 Tahun 2022. Sidang SKAW tersebut akan berlangsung dari 28 Oktober 2022 hingga 30 Oktober 2022. Persidangan yang diadakan secara tahunan tersebut pertama kali diadakan secara fizikal sejak COVID-19 melanda dunia. Sidang itu akan dihadiri oleh Komander-komander Siri 500 Tentera Darat Malaysia dari seluruh negara. Oleh itu, baginda mengharapkan rakyat negeri Perlis menyambut mereka dengan senyuman, keramahan dan pada masa yang sama menjaga kebersihan premis perniagaan masing-masing dengan baik.

Mengiringi baginda ke Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-21 bagi Tahun 2022 itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.