14 Oktober 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

(Surah al-Anfal 8:27)

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Amanah mengungkapkan maksud yang amat luas, bukan sekadar bersikap jujur dan benar dalam urusan kehidupan, malah turut mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan. Amanah dikaitkan dengan sifat seseorang yang boleh dipercayai. Amanah menjadi petunjuk akan tahap keimanan seseorang sebagaimana Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa tidak sempurna iman seseorang yang tidak amanah.

Kepimpinan ialah suatu keperluan dan elemen penting dalam membina kekuatan sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat yang dihasratkan. Kepimpinan ialah proses seseorang pemimpin mempengaruhi orang lain bagi mencapai matlamat bersama. Pemimpin yang hebat memiliki wawasan, pandangan dan matlamat untuk membawa kemajuan kepada organisasi dan membawa kesejahteraan kepada orang yang berada di bawah pimpinannya.

Setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpinnya.

Setiap manusia merupakan pemimpin; bagi dirinya, keluarganya, rakyatnya atau bagi semua yang tertanggung di bawahnya, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpinnya. Kuasa yang dimiliki oleh pemimpin merupakan amanah yang wajib disempurnakan selaras dengan hadis daripada Abu Zar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya kepimpinan itu suatu amanah yang akan membawa kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali bagi orang yang mendapatkannya dengan kebenaran dan melaksanakan kewajipan-kewajipannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Pemimpin yang tulen diumpamakan sebagai khadam yang mengabdikan diri untuk orang lain, diberikan upah sesuai dengan usaha dan kerja yang disempurnakan seperti yang digambarkan dalam kisah seorang tabiin, iaitu Abu Muslim al-Khawlani yang pernah memanggil Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai ajir, iaitu orang upahan dan bukannya gelaran amir, iaitu pemimpin. Beliau lalu berkata kepadanya, “Sesungguhnya engkau hanyalah seperti seorang penggembala yang diberikan upah oleh tuan punya kambing agar menjaganya. Apabila engkau memelihara kebersihannya, mengubati penyakit yang dideritainya, dan menjaga seluruh kambing daripada sebarang bahaya, maka tuannya akan memberi kamu upah, sedangkan jika berlaku sebaliknya, tuan kambing akan mengenakan kamu denda.”

Ketika diangkat sebagai khalifah, Sayidina Abu Bakar r.a. telah meminta agar pemimpin dibantu sekiranya mereka benar, dan diperbetulkan sekiranya mereka bertindak salah. Begitu juga pidato Sayidina Umar al-Khattab r.a. ketika pelantikannya sebagai khalifah, beliau meminta agar pemimpin dan orang yang dipimpin saling memperingatkan antara satu sama lain.

Amanah ialah satu tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul.

Amanah ialah satu tanggungjawab yang amat berat sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya. Akan tetapi, manusia bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini sekalipun manusia itu memiliki kelemahan dan kekurangan, suka berbuat zalim dan suka membuat perkara yang sia-sia.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan”.

(Surah al-Ahzab 33:72)

Hari ini semakin ramai orang yang terlupa bahawa jawatan ialah amanah Ilahi, amanah negara, amanah organisasi dan amanah daripada sesama  manusia. Semakin ramai umat Islam yang melihat jawatan sebagai kedudukan untuk digunakan bagi kepentingan diri, kepentingan keluarga dan kepentingan kroni, lalu mengalpakan tanggungjawab yang sepatutnya dipenuhi. Insaflah! Setiap jawatan ialah amanah yang disertakan dengan tanggungjawab. Amanah yang dipertanggungjawabkan di dunia ini akan ditanya di padang mahsyar pada hari kebangkitan nanti, sama ada amanah tersebut telah disempurnakan memenuhi tuntutan Ilahi.

Setiap jawatan yang diterima merupakan amanah Allah  SWT yang disertakan dengan tanggungjawab.

Jangan sama sekali melakukan pecah amanah atau bersifat zalim ketika diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan. Insaflah bahawa orang-orang yang teraniaya dan dizalimi, orang-orang yang dinafikan hak mereka, dan orang-orang yang menderita memamah pahit kehidupan kerana perbuatan pecah amanah, kesemua mereka akan menjadi saksi ketika Allah SWT menimbang pahala dan dosa kita di Mahkamah Rabb al-Jalil. Ketika itu, kita tidak ada lagi peguam bela untuk menjadi jurubicara bermain kata-kata dan memutarbelitkan hujah untuk menegakkan benang yang basah. Di padang mahsyar, setiap anggota kita secara sukarela akan menjadi saksi menceritakan segala perbuatan yang telah kita lakukan. Sesungguhnya, Allah SWT melihat setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini, dan diberikan pembalasan sesuai dengan apa-apa yang kita usahakan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa-apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa-apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-Tawbah 9:105)

Oleh itu, orang yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin, dan orang yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin, wajib memiliki sifat ikhlas menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh amanah, dan memiliki kekuatan untuk menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan penyelewengan dan sogokan rasuah. Berwaspada dengan pengaruh yang boleh merosakkan melalui hasutan dan bisikan kaum kerabat dan rakan-rakan, termasuk pembantu di sekeliling kita. Ketika Khalifah Abu Bakar mengutus Yazid bin Sufyan ke negeri Syam, beliau memberikan ingatan, “Wahai Yazid! Kamu seorang yang mempunyai banyak kerabat di Syam. Janganlah sampai mereka mempengaruhi kuasamu, dan aku sangat bimbang jika hal itu terjadi pada dirimu”.

Oleh itu, umat Islam dingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Keutamaan menjaga amanah adalah tidak mengkhianati Allah dan rasul-Nya. Orang yang mengkhianati amanah termasuk dalam ciri-ciri orang munafik.

Kedua: Pemimpin adalah orang yang telah diberikan tanggungjawab berat yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT, jika berjaya disempurnakan dengan amanah, akan dianugerahkan ganjaran pahala amat besar.

Ketiga: Pemimpin wajib memiliki, menghayati dan mengamalkan sifat amanah, serta menghindarkan diri daripada melakukan pecah amanah.

Keempat: Pemimpin hendaklah dipilih, dan jawatan hendaklah diserahkan kepada orang-orang yang memiliki sifat amanah. Menyerahkan kuasa dan jawatan kepada orang yang tidak beramanah laksana menyerahkan kambing untuk dijaga oleh serigala.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Kurniai negara kami pemimpin yang beriman dan beramanah serta mempunyai rasa takut kepada Tuhan Pemilik segala kerajaan. Berikan petunjuk-Mu, membimbing kami agar memilih dengan bijaksana pemimpin yang benar-benar ikhlas, jujur, telus dan amanah untuk menggalas tanggungjawab memimpin negara.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat 14 Oktober 2022, “Amanah dan Kepimpinan”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.