9 Oktober 2022, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada malam tadi berkenan berangkat menerima sembah mengadap tokoh pendakwah terkenal dari Maghribi, iaitu Syeikh Dr. Said ibn Muhammad al-Kamali di Balai Mengadap Biru, Istana Arau. Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menerima sembah mengadap Syeikh Dr. Said ibn Muhammad al-Kamali.
Sekitar sembah mengadap Syeikh Dr. Said ibn Muhammad al-Kamali.

Syeikh Dr. Said ibn Muhammad al-Kamali bergambar bersama-sama Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Rektor KUIPs, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Esekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.

Syeikh Dr. Said berada di Perlis bagi menghadiri Tausiah Syeikh Said al-Kamali bersempena dengan Bulan Zikra Rasul Peringkat Negeri Perlis yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) pada jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, Ahad 9 Oktober 2022 di Auditorium KUIPs, Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Syeikh Dr. Said (50 tahun) dilahirkan di Rabat, Maghribi dan mendapat pendidikan awal dengan menekuni serta mendalami ilmu al-Quran di Marakech. Beliau berulang-alik setiap minggu selama enam tahun ke wilayah Marakech, iaitu lebih kurang 350 kilomoter dari wilayah Rabat untuk bertalaqqi dengan Syeikh al-Muqri yang ternama, iaitu Syeikh Abdul Rahim Nabulsi, seorang pemilik Ijazah Bersanad Tertinggi Ilmu Qiraat. Beliau dianugerahkan Ijazah Bersanad 10 Qiraat bacaan al-Quran. Syeikh Dr. Said  juga mahir dalam pelbagai bidang ilmu seperti ilmu nahu, ilmu saraf, ilmu balaghah, feqah, hadis, mustalah hadith dan syair kesusasteraan Arab.

Kemuncak Bulan Zikra Rasul Peringkat Negeri Perlis akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Forum Zikra Rasul MAIPs bertajuk “Rasulullah SAW: Cinta, Ikutan atau Slogan” yang akan diadakan sejurus selepas solat maghrib,  pada 11 Oktober 2022 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.