7 Oktober 2022, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Putrajaya – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama-sama Kenanga Investors Berhad dan MATCH Foundation telah mewujudkan Dana Wakaf Bencana-Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund bagi membantu mangsa bencana alam.

Majlis Pelancaran Dana Wakaf Bencana-Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund dan Malam Apresiasi Wakaf YWM telah berlangsung semalam dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Idris Haji Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Idris Haji Ahmad ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Dana Wakaf Bencana-Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund dan Malam Apresiasi Wakaf YWM.

Datuk Idris berkata, Dana Wakaf Bencana tersebut merupakan sebuah dana alternatif yang bakal memanfaatkan rakyat Malaysia yang terkesan dengan bencana alam yang berlaku di negara kita.

“Dana Wakaf Bencana-Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund merupakan satu produk pelaburan yang sebahagian keuntungan daripada pelaburan tersebut menjadi wakaf yang bakal membantu mereka yang terkesan akibat bencana seperti ribut, banjir dan tanah runtuh, selain turut membantu menangani krisis wabak penyakit,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran tersebut.

Menurut beliau lagi, menerusi pelaburan ini orang ramai boleh melabur sambil berwakaf, iaitu sebanyak 70 peratus daripada keuntungan akan diwakafkan oleh pelabur sebagai wakaf tunai yang diwujudkan YWM.

“Sebahagian dana terkumpul dalam Dana Wakaf Bencana ini akan ditukar kepada aset kekal sama ada dalam bentuk alih atau tidak alih bagi tujuan pencegahan dan bantuan bencana,” katanya.

Tambah beliau, sebahagian lagi pula akan dilaburkan dalam bentuk aset yang menjana pedapatan dan juga pelaburan dalam pasaran kewangan patuh syariah bagi menghasilkan dana manfaat yang akan diagih dalam bentuk bantuan bencana seperti wang tunai, makanan dan peralatan keperluan seharian.

YB Datuk Idris Haji Ahmad menyampaikan dana agihan wakaf kepada MAIN.

Dalam majlis yang sama, Datuk Idris turut menyampaikan agihan dana wakaf kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan penghargaan kepada rakan strategik kerjasama YWM.

Majlis yang berlangsung di The Everly Putrajaya tersebut juga disiarkan secara langsung di laman facebook YWM. Rakaman majlis tersebut boleh ditonton di https://www.facebook.com/YayasanWaqafMalaysia/videos/397922465706512

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.