7 Oktober 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah.”

(Surah al-Ahzab 33:21)

Sirah bermaksud perjalanan hidup Rasulullah SAW dalam melaksanakan misi risalah. Perutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk mengembalikan kehidupan manusia kepada fitrah asalnya dan hidup atas landasan syariat Allah SWT. Sesungguhnya Baginda ialah suri teladan untuk dijadikan panduan hidup manusia.

Syariat yang diwahyukan kepada Baginda telah menggariskan asas-asas agama yang tersimpul dalam rukun iman, rukun Islam dan ihsan yang tidak akan berubah (al-thawabit). Namun begitu, ada bahagian-bahagian kehidupan yang boleh berubah selaras dengan perkembangan semasa kehidupan manusia (al-mutaghayyirat).

Perubahan yang berlaku bermula daripada proses berfikir dan bertaakul. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menganjurkan ummah berfikir dan mengkaji. Pemikiran dan kajian yang dilakukan secara mendalam akan menghasilkan kebijaksanaan atau hikmah. Islam sangat mengutamakan kebijaksanaan dan hikmah. Baginda Rasulullah SAW diperintahkan berdakwah secara berhikmah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan, dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

(Surah al-Nahl 16:125)

Apabila kita mengkaji sirah Rasulullah SAW, kita dapati Baginda sangat meraikan saranan yang diberikan oleh para sahabat. Contohnya, dalam peperangan Badar, al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat yang lebih strategik yang membolehkan orang Islam menguasai bekalan air, dan Baginda bersetuju dengan saranan tersebut. Dalam peperangan Khandak pula, Salman al-Farisi, mencadangkan agar tentera Islam menggali parit, berpandukan strategi peperangan bangsa Parsi. Strategi yang pertama kali diperkenalkan di Madinah itu telah memberikan manfaat kepada tentera Islam memperoleh kemenangan.

Dalam bidang siasah, seorang sahabat mencadangkan agar Baginda menggunakan cap mohor apabila mengutus surat kepada raja dan penguasa. Baginda bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengarahkan agar ditempa cincin perak yang diukir padanya cap mohor.

Sirah Rasulullah juga menunjukkan bahawa Baginda memperakukan amalan yang berasaskan sains tabii. Sebagai contoh, Baginda pernah menegur amalan pendebungaan tamar (ta’bir al-nakhli) yang dilakukan oleh penduduk Madinah. Kesannya, buah tamar pada musim tersebut kurang menjadi. Apabila dilaporkan keadaan tersebut, Baginda mengungkapkan:

Maksudnya: “Kamu lebih mengetahui akan urusan keduniaan kamu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Daripada hadis dan sirah Rasulullah SAW, dapat difahami bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia, yang di luar kategori usul akidah, usul ibadat dan nilai akhlak, kita dituntut untuk melakukan kajian, penyelidikan dan analisis; belajar daripada pengalaman lalu dan bersedia mengambil manfaat daripada kebijaksanaan tamadun luar, serta ilmu-ilmu baharu yang berasaskan sains, teknologi dan pengurusan.

Oleh itu, pelibatan pelbagai pihak meliputi pemimpin masyarakat, ilmuwan agama, pakar teknologi dan pakar pengurusan, serta golongan belia juga wanita, perlu digabungjalinkan untuk mencetuskan idea baharu lagi segar. Bahkan, pandangan anak muda dan pemikiran pakar bukan Islam juga boleh diterima pakai jika terbukti membawa manfaat, dan selagi tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam. Hal ini dibuktikan berdasarkan sirah Baginda dalam peristiwa hijrah, apabila Baginda telah dibantu oleh seorang penunjuk jalan bukan Islam bernama Abdullah bin Uraiqit, melalui jalan yang tidak biasa dilalui oleh orang ramai untuk menuju Madinah.

Pemikiran pakar bukan Islam juga boleh diterima pakai jika terbukti membawa manfaat, dan selagi tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam.

Kurang keberkesanan pendekatan dan kaedah yang digunakan oleh para umara, ulama dan pendakwah menggerakkan program pembangunan ummah telah mengakibatkan lahirnya masyarakat yang semakin jauh daripada ajaran Islam. Masyarakat lebih tertarik kepada hiburan yang melalaikan, gaya hidup mewah yang menunjuk-nunjuk, tidak peduli sumber pendapatan sama ada halal atau haram, dan sekadar menjadi masyarakat pengguna teknologi tanpa kebijaksanaan menapis dan mengubah suai. Masalah menjadi lebih parah apabila sebahagian daripada mereka yang diberikan kepercayaan menjadi pemimpin, terpalit dengan rasuah, perbuatan pecah amanah dan salah guna kuasa, serta bergelumang dengan maksiat, dan tercemar dengan pelbagai skandal.

Lebih memudaratkan apabila terdapat orang yang mengakui diri mereka sebagai agamawan, sanggup memperalat dan memperdagangkan agama, serta menggunakan pelbagai helah dan hujah untuk kepentingan diri.

Golongan umara, ulama dan para belia perlu digabungkan tenaga agar usaha meremajakan gerakan membangunkan ummah dapat dicapai.

Kita wajib bangkit membetulkan segala kepincangan yang sedang berlaku. Perlu ditegaskan pentingnya umat Islam, terutama kalangan remaja menguasai ilmu secara mendalam dan memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Perlu disemarakkan, pendekatan dakwah yang santai, tetapi secara berkesan diterima, difahami dan dihayati oleh masyarakat. Aplikasi teknologi dan media sosial untuk sebaran dakwah perlu digiatkan. Umara, ulama dan para belia perlu digabungkan dan disepadukan tenaga agar usaha meremajakan gerakan membangunkan ummah dapat dicapai.

Gerakan pembangunan ummah perlu sentiasa diberikan nafas baharu supaya relevan dengan arus semasa. Sirah Rasulullah SAW mempunyai banyak hikmah dan pengajaran untuk dijadikan panduan dalam hasrat dan usaha mahu meniupkan semangat dan nafas baharu menggerakkan usaha pembangunan ummah.

Oleh itu, umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Umat Islam wajib menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam segenap aspek kehidupan untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Sikap dan cara kepimpinan Baginda hendaklah dijadikan contoh kepimpinan, disemai bermula dari usia tadika, diasuh di pelbagai institusi latihan, diserap dalam budaya kerja jabatan, institusi, agensi dan syarikat.

Sirah Rasulullah SAW mempunyai banyak hikmah dan pengajaran untuk dijadikan panduan.

Kedua: Gerakan pembangunan ummah merupakan kesinambungan misi perutusan Rasulullah SAW. Usaha tersebut perlu disegarkan dan diberikan nafas baharu dengan melibatkan penyertaan pelbagai kumpulan, usia dan jantina; serta disesuaikan dengan kaedah, tuntutan, cabaran dan perkembangan semasa.

Ketiga: Bersedia menerima pandangan yang berbeza dan pemikiran baharu, juga bersedia melibatkan serta memberikan kepercayaan golongan remaja untuk sama-sama berada di barisan hadapan, memimpin gerakan pembangunan ummah yang lebih semasa corak dan kaedahnya.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Berikanlah kesedaran dan kekuatan kepada kami untuk mencontohi akhlak dan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 7 Oktober 2022, “Merenung Sunah – Membangunkan Ummah”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.