30 September 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya:  “Sesungguhnya  yang  memakmurkan  (menghidupkan)  masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Tawbah 9:18)

Lembaran  sirah  dan  sejarah  Islam  membuktikan  bahawa  institusi  masjid  telah mengangkat martabat ummah. Hal ini menjadi pemangkin pembinaan masyarakat berteraskan takwa dan rahmah. Pemacu keutuhan persaudaraan dan ukhuwah islamiah. Pusat ketamadunan dan keilmuan sejagat. Syiar kecemerlangan dan kegemilangan ummah zaman-berzaman. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Masjid Quba yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

(Surah al Tawbah 9:108)

Masjid yang berteraskan takwa dan rahmah ialah masjid yang makmur dengan jemaahnya, sarat dengan nilai persaudaraannya, indah dengan kebersihan dan keceriaannya, serta kemas dalam pengurusan dan pentadbirannya. Masjid ini juga bersifat mesra belia, kanak-kanak dan segenap lapisan masyarakat serta menjadi pusat rujukan dalam segenap aspek kehidupan insani.

Alhamdulillah, institusi masjid di negeri ini secara amnya telah berperanan dengan baik dan berjaya menyampaikan pelbagai mesej kebaikan kepada masyarakat. Di samping menjadi tempat beribadat dan pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan, masjid di negeri ini juga telah memainkan peranannya sebagai pusat kegiatan komuniti, mendekati semua lapisan masyarakat, menyantuni pelbagai latar belakang ahli kariah, dan cakna terhadap alam sekitar, selari dengan perkembangan teknologi maklumat serta sarat dengan pelbagai program yang memberikan kesan positif terhadap masyarakat.

Masjid Bandar Universiti, Seri Iskandar merupakan antara masjid yang patut dicontohi  di negeri Perak kerana kecemerlangan pengurusannya. (Sumber gambar: Facebook Masjid Bandar Universiti).

 

Banyak  masjid  yang berjaya  menjalankan pelbagai  program  yang  berinovasi.  Masjid Bandar Universiti, Seri Iskandar dengan kecemerlangan pengurusannya, Masjid Jamek Pangkalan Hulu dengan konsep masjid di dalam kebun, Masjid al-Muhajirin, Parit Buntar dan Masjid Melayu Teluk Intan dengan usaha taninya, Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh dengan kemudahan inap desa  (homestay),  Masjid Abdul Rahman  Auf,  Taman Rapat Koperasi  dengan program  kemasyarakatan  dan  riadah  merentasi kaum dan agama, Masjid Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam dilengkapi dengan pusat niaga, Masjid an-Nasriah, Setiawan dengan perkhidmatan hotel kucing, Masjid Jamek Gerik dan Masjid Jamek Bagan Serai dengan kemakmuran jemaahnya, malah banyak lagi masjid di negeri Perak yang dimakmurkan dan diimarahkan dengan pelbagai kegiatan perniagaan, pertanian, keilmuan, riadah dan kemasyarakatan.

Peranan masjid perlu dikembangkan selaras dengan perkembangan semasa. Alat-alat komunikasi moden hendaklah dimanfaatkan. Strategi dakwah juga hendaklah lebih berkesan. Kaedah mendekati ahli kariah hendaklah lebih berfokus. Kajian, pemerhatian dan tinjauan perlu dilakukan bagi mengenal pasti kaedah dan strategi yang bersesuaian dengan cita rasa ahli kariah. Anak-anak muda lebih tertarik dengan program ibadat yang disulam dengan aktiviti sukan dan riadah. Masjid di desa dapat menarik jemaah dengan program berbentuk kekeluargaan dan kemasyarakatan. Masjid di bandar memerlukan kepelbagaian pengisian yang bersifat semasa. Ahli jawatankuasa kariah perlu peka terhadap keperluan masyarakat setempat, mencari kata sepakat berpandukan semangat syura dalam membuat keputusan, menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan dengan amanah dan bijaksana serta memanfaatkan sumber ekonomi yang boleh menambah dana seperti menjalankan aktiviti pertanian dan perniagaan.

Islam amat menitikberatkan aspek perpaduan dan penyatuan ummah. Sebuah masjid diruntuhkan pada zaman Rasulullah SAW, iaitu Masjid Dhirar lantaran menjadi punca perpecahan para sahabat radiallahu ‘anhum, angkara perancangan jahat golongan munafik. Institusi masjid mesti berperanan memupuk perpaduan dan persaudaraan Islam. Solat berjemaah disyariatkan dengan falsafah perpaduan yang unik. Keunggulan Masjid Nabawi yang diterajui oleh Nabi Muhammad SAW menjadi contoh terbaik ke arah pemerkasaan institusi masjid. Pelbagai aktiviti dijalankan di Masjid Nabawi. Majlis ilmu, dakwah dan tarbiah, mesyuarat, aktiviti ekonomi dan kebajikan, latihan persenjataan, tetamu disantuni sama ada yang Islam atau bukan Islam, golongan yang memerlukan diberi makan dan minum. Apabila tiba waktu solat, kelihatan penghuni keluar dari setiap rumah berkunjung ke masjid untuk bersolat secara berjemaah. Ketika azan dilaungkan, semua orang akan berhenti berniaga, pembeli akan berhenti membeli, dan petani akan segera meninggalkan kebunnya, berjalan menuju ke Masjid Nabawi. Suasana yang begitu mengagumkan, menggambarkan kemantapan dan keunggulan perpaduan Islam.

Institusi masjid hendaklah menjadi tempat perpaduan dan bebas daripada unsur perpecahan.

Institusi masjid hendaklah bebas daripada sebarang unsur perpecahan dan perbalahan. Pertelingkahan dan persengketaan yang berpunca daripada perbezaan ideologi politik kepartian wajib dielakkan. Politik dan politik kepartian merupakan dua elemen yang berbeza. Politik, pentadbiran, kepimpinan dan siasah merupakan sebahagian daripada cabang ilmu pengetahuan. Hal ini berbeza dengan politik kepartian yang lebih mirip ke arah mengundang perbalahan dan perselisihan dalam usaha mahu mendapatkan pengaruh dan sokongan. Kegiatan yang dianjurkan di pekarangan masjid hendaklah memberikan manfaat yang menyeluruh kepada ahli kariah, membina minda dan budaya masyarakat yang bersatu padu dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan yang luhur, bebas daripada pengaruh politik kepartian yang boleh mencetuskan bibit perpecahan.

Oleh itu, umat Islam diseru kepada peringatan-peringatan seperti yang berikut:

Pertama: Institusi masjid hendaklah berperanan seperti pada zaman Nabi Muhammad SAW  dengan pengisian pelbagai kegiatan ilmu, kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berjaya mengangkat martabat ummah.

Kedua: Perpaduan ummah diperkasa melalui pelbagai kegiatan dan program yang dianjurkan oleh masjid.

Ketiga: Bibit perpecahan perlu dihindari dalam program yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Keempat:   Kegiatan   yang   dapat membantu membangunkan dan memakmurkan ekonomi ummah hendaklah diperkenalkan dan digalakkan.

Institusi masjid pada zaman Nabi Muhammad SAW berperanan sebagai pusat pelbagai kegiatan ilmu, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al -‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bukakanlah pintu hati kami untuk beristiqamah dalam membantu memperkasakan institusi masjid dan seterusnya memelihara perpaduan dan persaudaraan sesama kami, demi kebaikan dan kemaslahatan umat muslimin keseluruhannya.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya  Dza al-Jalali wa al-Ikram!  Jadikanlah  kami  antara  hamba-Mu  yang  memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 30 September 2022, “Institusi Masjid: Memperkasakan Perpaduan Ummah”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.