Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPembentukan keluarga Malaysia terdiri daripada individu yang pasti telah melalui cabaran dan ujian zaman remaja. Remaja yang hebat bakal membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah yang didambakan oleh semua orang. Persoalannya, bagaimanakah membina remaja hebat tersebut dan siapakah modelnya?
Bagi masyarakat Islam, model yang tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas ialah Baginda Rasulullah SAW. Oleh itu, pembentukan remaja Muslim wajar mengambil contoh Baginda Rasulullah SAW yang berwajah Islam dan idola para remaja hebat.
Bagaimanakah kehebatan Rasulullah SAW sebagai remaja terbentuk dan dibentuk? Apakah aspek yang membentuk keperibadian dan jati dirinya? Allah SWT telah memperakui dan mengiktiraf susuk peribadi ini sebagai model ikutan remaja Muslim dan seluruh umat dalam firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu wahai Muhammad adalah semulia-mulia akhlak.” (Surah al-Qalam 68:4). Hal ini dikukuhkan dengan hadis riwayat Sayidatina Aisyah r.anha dalam hadis yang bermaksud, “Akhlak Nabi Muhammad SAW ialah al-Quran.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1847).
Baginda Rasulullah SAW terkenal dengan kepetahan bercakap dan kepuitisan bicara yang menjadi halwa telinga yang mendengar, serta ketegasan prinsip hidup. Kehebatan akhlak, keindahan bahasa dan kemahiran komunikasi Rasulullah SAW turut dicatat dalam karya popular seperti Tarikh Asbihan oleh al-Asfahani, Al-Amthal oleh al-‘Askari dan Al-Jami‘ al-Saghir oleh al-Suyuti.
Kemahiran komunikasi memainkan peranan yang penting dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi. Jika tidak, mengapa majikan pada hari ini meletakkannya sebagai syarat pengambilan pekerja dalam semua bidang perkhidmatan. Hal itu jelas menunjukkan bahawa kemahiran komunikasi merupakan keperluan yang signifikan dalam setiap urusan sesama manusia.
Kemahiran berbahasa dan kehalusan budi perlu dititikberatkan dalam agenda pendidikan negara. Hal tersebut bukan sekadar meliputi kepandaian berpantun, bersyair, menyanyi dan berpidato bagi memenangi pertandingan demi pertandingan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, malah perlu disulam dalam kehidupan seharian sesama insan.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Jangan kamu menengking kedua-dua ibu bapa kamu, sebaliknya tuturkan kata-kata yang mulia.” (Surah al-Isra’ 17:23). Dalam ayat ini Allah mendidik masyarakat Islam termasuk remaja agar menuturkan kata-kata yang mulia terhadap ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan mereka.
Pembentukan komunikasi yang baik perlu dimulakan seawal umur kanak-kanak lagi agar sebati dan membentuk jati diri mereka setelah meningkat remaja. Didikan dan teguran yang berterusan daripada ibu bapa terhadap anak-anak amat penting kerana mereka bukan hanya terkurung dengan suasana komunikasi mulia di rumah, malah terdedah dengan cara berkomunikasi yang tidak elok apabila bergaul di luar atau dipengaruhi oleh media sosial yang mengamalkan komunikasi sarkastik. Pencemaran komunikasi dalam kalangan remaja tidak wajar dibiarkan dan perlu ditangani seawal mungkin sebelum hal tersebut merobek watak-watak remaja beradab yang didambakan oleh keluarga Malaysia hari ini, esok dan selamanya.
Penegasan demi penegasan agar remaja berkomunikasi secara baik dan beradab sayugia dilakukan oleh semua pihak bukan sahaja ibu bapa tetapi juga para pendidik, masyarakat dan pemimpin, malah media sosial tanpa putus asa. Biar penat dan lelah, asalkan niat ikhlas kerana Allah SWT demi kemenjadian mereka sebagai remaja beradab. Lumrah kehidupan bermain air basah, bermain api hangus.
Selain daripada kehebatan komunikasi Rasulullah SAW, sikap meninggalkan hiburan yang melalaikan dan perkara yang sia-sia telah mendasari kehidupan zaman remaja Baginda SAW. Selain itu, Rasulullah SAW semasa kanak-kanak dan remaja aktif membantu bapa saudaranya menggembala kambing dan berniaga. Pendek kata, pelbagai ilmu kehidupan dan perniagaan telah dikuasai Baginda seawal usia remaja. Tambahan pula, pergaulan yang luas memudahkan proses penguasaan bahasa.
Walau bagaimanapun, hal tersebut tidak menafikan bahawa Rasulullah SAW turut berhibur dan bergurau senda. Bagaimanakah bentuk hiburan yang dinukilkan dalam lembaran sejarah Islam? Satu catatan menunjukkan Baginda SAW berlumba lari dengan isterinya, Aisyah r.anha yang masih remaja ketika dinikahi oleh Baginda SAW. Kisah ini menunjukkan bahawa aktiviti fizikal yang santai seperti lumba lari boleh menimbulkan kegembiraan emosi dan kesihatan mental dan fizikal. Hal ini selari dengan kajian saintifik yang telah dijalankan oleh pakar kesihatan pada hari ini yang boleh dirujuk dalam bidang sains kesihatan.
Hari ini sebilangan remaja Muslim berhibur dengan aktiviti fizikal berbentuk tarian dan gerakan fizikal yang diperkenalkan oleh remaja antarabangsa melalui media sosial seperti TikTok, Youtube dan Instagram. Gerakan-gerakan yang dicipta oleh koreografer dengan disulami alunan irama tertentu banyak berjaya menarik minat remaja. Oleh itu, remaja Muslim perlu bijak memilih tarian dan gerakan fizikal yang tidak bercanggah dengan maqasid syariah seperti gerakan pemujaan, lucah, mengejek dan seumpamanya. Untuk menjadi remaja yang bijak memilih perlu kepada ilmu yang jelas tentang tarian dan maqasid syariah. Jadilah remaja yang celik hukum-hakam dan mengikut peredaran zaman.