Oleh Rosmani Omar
27 September 2022, 23:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada 5 Julai 2022 di KUIPs dan disaksikan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Bertitik tolak daripada MoU tersebut, pada hari ini, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melihat aspek kerjasama yang boleh dijalinkan antara DBP dengan KUIPs dalam konteks bahasa, sastera dan penerbitan. Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh YBhg. Prof. Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs dan dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIPs, Pengurusan Eksekutif (Exco) KUIPs dan Sekretariat KUIPs.

YBhg. Prof. Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs.

Delegasi yang terdiri daripada Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIPs, Pengurusan Eksekutif (Exco) KUIPs dan Sekretariat KUIPs sebanyak 22 orang yang hadir pada pagi tadi itu disambut oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP; Encik Azhar Mohamad Dora, Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik dan beberapa ketua bahagian dan staf DBP.

Dalam kunjungan tersebut, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyambut baik usaha KUIPs untuk meningkatkan tahap pendidikan ke tahap lebih tinggi. DBP juga bersedia untuk bekerjasama dengan KUIPs dalam ruang lingkup fungsi DBP terutama dalam usaha mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mempengerusikan majlis kunjungan hormat Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs.

YBrs. Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle selaku Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs dan juga merangkap Rektor KUIPs dalam kunjungan tersebut turut berpeluang membentangkan hala tuju KUIPs dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan dan melahirkan modan insan yang berpegang teguh pada al-Quran dan al-Sunnah.

Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Encik Abdul Ghani Abu sedang memberikan penerangan tentang buku teks.

Semasa kunjungan tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs dan barisan Pengurusan Eksekutif (Exco) KUIPs dan Sekretariat KUIPs berkesempatan melawat Bahagian Buku Sekolah, iaitu bahagian yang menangani penerbitan buku teks. Semasa lawatan, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Encik Abdul Ghani Abu memberikan penerangan tentang evolusi penerbitan buku yang ditangani oleh DBP sejak tahun 1970-an hingga kini mengikut kohort penerbitan dan jenis buku yang ditangani. Menurut Encik Abdul Ghani, selain buku teks aliran perdana, DBP juga menangani penerbitan mata pelajaran aliran khas sebagai satu tanggungjawab sosial DBP.

Editor Kanan Bahagian Buku Sekolah, Encik Muhammad Faiz Mohamad Ali sedang memberikan penerangan tentang buku teks digital.

Editor Kanan dan Editor Bahagian Buku Sekolah, Encik Muhammad Faiz Mohamad Ali dan Encik Mohamad Arshad Sulaiman turut mendemontrasikan penggunaan elemen digital dalam buku teks seperti penggunaan kod QR dan realiti terimbuh dan buku teks digital interaktif. Semasa lawatan tersebut pada petang tadi, Bahagian Buku Sekolah juga turut menjelaskan proses penerbitan buku teks bermula dari perolehan dan pembinaan manuskrip, penilaian, penyuntingan, penyediaan reka bentuk buku, penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera sehingga buku terbit.

YBrs. Dr. Rosmani Omar memberikan taklimat tentang JendelaDBP.

Semasa taklimat yang berlangsung dalam tempoh masa hampir sejam itu tadi di Bahagian Buku Sekolah, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar turut mengetengahkan JendelaDBP, iaitu portal produk penerbitan digital DBP sebagai bahan taklimat kepada delegasi dari Perlis tersebut. Jelas Dr. Rosmani, JendelaDBP menampilkan lapan majalah yang diterbitkan dalam kandungan baharu yang mempunyai ruangannya yang tersendiri seperti artikel dan berita. Di samping itu, JendelaDBP juga menyiarkan rancangan TV dan radio penstriman, jualan produk penerbitan seperti buku dan majalah serta ruangan peka bahasa.

Ujar YBhg. Datuk Abang Sallehuddin, “DBP mengundang KUIPs untuk bersama-sama memanfaatkan medium digital tersebut bagi menyalurkan berita atau artikel untuk diterbitkan demi kepentingan ilmu dan manfaat masyarakat.” Hal ini demikian kerana portal jendeladbp.my mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana sejak pembangunannya hingga kini, pelayar yang mengaksesnya sudah melebihi 1.5 juta.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP bersama-sama delegasi dari Perlis mendengar taklimat daripada Bahagian Buku Sekolah.

Hasil kunjungan tersebut, pihak Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIPs akan mengambil peluang yang diberikan oleh DBP untuk bekerjasama terutamanya dalam aspek penerbitan dan aktiviti lain yang sesuai. KUIPs juga berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Akademi DBP dalam aspek pembinaan modul, khasnya pengajian yang melibatkan pelajar antarabangsa dengan menjadikan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) sebagai panduan dan rujukan.

Ketua Pengarah DBP, Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIPs, Pengurusan Eksekutif (Exco) KUIPs dan Sekretariat KUIPs bergambar bersama-sama staf Bahagian Buku Sekolah dan beberapa staf bahagian lain DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.