Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSering kali kita mendengar masyarakat awam mempersoalkan tentang hukuman Allah terhadap orang bukan Islam. Adakah semua orang bukan Islam akan masuk neraka? Persoalan ini sebenarnya boleh mengundang salah faham dan prasangka buruk terhadap Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Jika jawapannya ya, maka akan timbul persepsi pada orang bukan Islam bahawa Tuhan tidak pernah adil kerana terdapat juga orang bukan Islam yang lebih baik akhlak dan peribadinya berbanding dengan orang Islam.
Sebaliknya, jika jawapannya tidak, maka akan timbul pula persepsi pada orang Islam bahawa apalah gunanya menjadi seorang Muslim jika orang bukan Islam pun dapat memasuki syurga. Tidak ada makna jika orang bukan Islam pun boleh memasuki syurga walhal mereka itu telah melakukan sebesar-besar dosa, iaitu mensyirikkan Allah SWT.
Pada hakikatnya, kita mendapati kehidupan peribadi orang bukan Islam kadangkala lebih baik jika dibandingkan dengan orang Islam. Misalnya, di kebanyakan negara Barat, ramai dalam kalangan orang Barat yang menepati janji, jujur dalam pekerjaan, telus dalam urusan jual beli, malah mereka juga ada ketikanya mendahului orang Islam dalam usaha kempen kemanusiaan yang juga menjadi tuntutan dalam agama Islam. Sebaliknya pula, kebanyakan orang Islam lebih gemar berebut kuasa politik, menjadi perasuah, hidup dalam persekitaran yang kotor, menipu dalam urusan perniagaan dan lain-lain lagi.
Melihat realiti ini, barang kali kita juga terfikir adakah orang bukan Islam yang baik akhlaknya, yang jujur dan amanah, juga akan dihumban ke dalam neraka ? Logik akal akan menyatakan bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka ini sedangkan kehidupan mereka lebih baik berbanding dengan orang Islam sendiri. Suatu perkara yang perlu difahami bahawa selagi seseorang itu meninggal dalam keadaan kafir, iaitu tidak menganut Islam, maka hukuman asal baginya adalah kekal di dalam neraka. Walau bagaimanapun, dengan keadilan Allah SWT yang tidak bersifat zalim terhadap hamba-Nya, maka azab terhadap dosa-dosa yang lain diringankan sebagai balasan jika dia pernah melakukan amal kebajikan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Fussilat ayat 46 yang bermaksud, “Tidaklah Tuhanmu itu zalim terhadap hamba-Nya.” Ayat ini menafikan sama sekali Allah SWT bersifat zalim terhadap para hamba-Nya, baik Muslim ataupun bukan Muslim. Keadilan Allah SWT merentasi segala ilmu dan pengetahuan kita. Dialah yang menentukan takdir hidup para hamba-Nya. Maka itu, kita perlu jelas bahawa Allah tidak pernah bersikap zalim terhadap sesiapa pun hamba-Nya. Bahkan sifat rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya lebih luas berbanding dengan kemurkaan-Nya. Hal ini sebagaimana firman Allah dalam Surah al-An‘am ayat 147 yang bermaksud, “Maka jika mereka mendustakan kamu, katakanlah: Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas; dan seksa-Nya tidak dapat ditolak daripada kaum yang berdosa.”
Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang disebutkan dalam al-Quran bahawasanya Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutus rasul kepada mereka. Hal ini bermakna bahawa sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar daripada seorang rasul, tidak ditegakkan hujah kukuh sehingga tiada alasan untuk meragui ajaran Allah, maka dirinya tidak akan diazab dan dihukum oleh Allah SWT. Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 15 yang bermaksud, “Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutus seorang rasul.”
Inilah dalil yang boleh menyelamatkan orang bukan Islam yang tidak sampai hujah hidayah kebenaran Islam kepada mereka. Begitu juga bagi orang Islam yang jahil dalam beramal, sekiranya tidak sampai kepada mereka hujah kebenaran amalan dan kepercayaan yang benar dalam sesuatu perkara, maka mereka juga tidak akan dihukum oleh Allah SWT.
Syeikh al-Sa‘di dalam kitab tafsirnya menyebut, “Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tetapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab.”
Kata Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Tariq al-Hijratain, beliau menyebut, “Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab yang berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala (degil). Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, maka jenis inilah yang tidak akan diazab oleh Allah sehingga tertegaknya hujah rasul.”
Dapatlah difahami bahawa Allah SWT dengan penuh rahmat dan kasih sayang-Nya, tidak akan menzalimi hamba-Nya dan tidak akan menghukum hamba-Nya tanpa ditegakkan hujah kebenaran Islam pada-Nya. Sebaliknya, setelah ditegakkan hujah kebenaran Islam padanya, tetapi tetap enggan beriman pada Allah juga, maka selayaknyalah mereka dihukum oleh Allah kerana hujah kebenaran telah sampai kepada mereka.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap orang Islam agar menyampaikan Islam kepada mereka yang bukan Islam agar hujah dapat ditegakkan kepada mereka. Selebihnya terserah kepada urusan mereka dengan Allah, sama ada untuk menerima Islam ataupun sebaliknya menolak Islam. Orang Islam harus memikirkan pula apakah pendekatan yang realistik untuk menyampaikan ajaran Islam yang sebenar. Perlu diingat bahawa dakwah bukan hak eksklusif para agamawan, bahkan menjadi hak setiap yang bergelar Muslim bagi menyampaikan Islam kepada mereka yang bukan Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua.