23 September 2022, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan ke-5 bagi tahun 2022 yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed  Faizuddin Putra Jamalullail pada 22 September baru-baru ini telah memutuskan bahawa Sekolah Menengah Agama Almaad Arau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau diberikan kebenaran khas sementara untuk menunaikan solat Jumaat sehingga proses renovasi yang sedang dilaksanakan di Kompleks Masjid Negeri Arau berjaya disiapkan.

Tuanku Raja Muda Perlis berkenan bersolat Jumaat di Musolla Al-Irfan selepas majlis penyerahan Surat Kebenaran Menunaikan Solat Jumaat.

Pada tengah hari semalam, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan penyerahan Surat Kebenaran Menunaikan Solat Jumaat yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Tuan Haji Najmuddin Abdul Karim kepada Pengetua Sekolah, Idris Ahmad sebelum menunaikan solat Jumaat di Musolla Al-Irfan, Sekolah Menengah Agama Almaad di Bandar DiRaja Arau. Pada masa yang sama, turut surat kebenaran juga diberikan kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Tuan Haji Arfan yang diserahkan oleh Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Yang Berusaha Dr. Haji Hazman Hassan.

Dalam majlis tersebut turut diadakan sesi Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-19 bagi tahun 2022 yang melibatkan amil kariah Arau 1, Masjid Negeri Arau, iaitu Abu Bakar Mahmud yang mewakili 29 orang asnaf terpilih dalam kariah berkenaan untuk menerima RM400 setiap seorang daripada baginda. Di samping itu, ceramah bertajuk “Pengurusan Sisa Pepejal” dengan slogan “Perlis Hebat! Rakyat Hidup Bersih” disampaikan oleh Pengarah SWCorp Negeri, Shamsuharizal Basir yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.