20 September 2022, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkataan Muharam, mahram dan muhrim sering meniti di bibir kita. Ironinya, ada yang menggunakan kalimah ini tanpa menyedari perbezaan antara ketiga-tiganya yang nampak sama tetapi mempunyai perbezaan maksud yang ketara berasaskan asal-usul bahasa. Walaupun kalimah ini pada dasarnya diambil daripada bahasa Arab, namun proses asimilasi budaya telah mengekalkan penggunaannya dalam bahasa Melayu. Kekeliruan tentang bulan Muharam agak jarang didengari dalam kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, masih ada yang keliru dengan dua perkataan pinjaman daripada bahasa Arab ini, iaitu mahram dan muhrim dari sudut penggunaannya.

Menurut pakar bahasa Arab, Ibn Manzur yang mengarang kitab Lisan al-Arab, beliau mengatakan bahawa Muharam ialah awal bulan dan bulan Allah SWT. Orang Arab menamakannya dengan nama ini kerana mereka tidak dibenarkan berperang dalam bulan ini. Bulan Muharam dikatakan bulan Allah SWT untuk membesarkan dan memuliakannya sebagaimana rumah Allah SWT, Baitillah yang menyandarkan rumah kepada Allah SWT.  Oleh itu, masyarakat perlu membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Perkataan mahram merujuk orang yang mempunyai pertalian darah dan kekerabatan serta haram dinikahi.

Lembaran sejarah Islam mencatatkan peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Muharam. Hadis merupakan sumber primer sejarah Islam yang mencatatkan ketiga-tiga perkataan tersebut. Catatan Muharam lebih tertumpu pada waktu sesuatu peristiwa berlaku, manakala mahram dan muhrim lebih tertumpu pada hukum-hakam.

Catatan sejarah Islam tentang muhrim

Beberapa contoh yang dapat diperhatikan dalam bab diharamkan nikah bagi muhrim terdapat dalam hadis yang bermaksud, “…sesungguhnya Umar bin Ubaidillah hendak menikahkan Talhah bin Umar dengan anak perempuan Syaibah bin Jubair, maka dia mengutus kepada Aban bin Uthman yang hadir dan mengetuai jemaah haji (berihram), maka Aban berkata: ‘Aku mendengar Uthman bin Affan pernah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidak dibenarkan seorang muhrim bernikah atau dinikahi atau meminang.’” (Hadis riwayat Muslim, no. 3446).

Perkataan muhrim bermaksud lelaki yang berada dalam keadaan berihram haji atau umrah.

Selain daripada itu, satu lagi sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Apakah jenis pakaian yang dibenarkan ke atas muhrim (berihram)? Maka Rasulullah SAW menjawab: Jangan kamu memakai kemeja, serban, seluar … Jangan kamu memakai pakaian yang telah terkena za’faran dan kunyit.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2791).

Kelebihan Muharam

Bulan Muharam mempunyai kelebihan yang tersendiri. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, “Seseorang datang menemui Rasulullah SAW. Dia bertanya, selepas Ramadan, puasa pada bulan manakah yang lebih afdal? Lalu Baginda menjawab, puasa pada bulan Allah SWT, iaitu bulan yang kalian sebut sebagai Muharam.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Lanjutan daripada hadis ini, terdapat beberapa hadis yang menyatakan bahawa tanggal 9, 10 dan 11 Muharam dianjurkan berpuasa. Hal ini membezakan puasa Muslim dengan puasa orang-orang Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura, iaitu 10 Muharam sahaja sebagai memperingati hari Allah SWT telah menyelamatkan Bani Israel (pada zaman Nabi Musa) daripada musuh mereka.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Aisyah r.anha. berkata: Quraisy telah berpuasa asyura (pada 10 Muharam) pada zaman jahiliah dan Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari tersebut. Apabila Baginda berhijrah ke Madinah, Baginda terus berpuasa dan memerintahkan agar umatnya berpuasa pada hari tersebut. Apabila difardukan puasa pada bulan Ramadan, Baginda bersabda: ‘Barang siapa yang mahu berpuasa (asyura) dibenarkan, dan barang siapa mahu meninggalkannya juga dibenarkan.’” Hal ini bermaksud bahawa puasa asyura adalah pilihan dan tidak diwajibkan. Sesiapa yang berpuasa tetap mendapat pahala dan manfaat kesihatan tubuh badan, emosi dan spiritual. Sesiapa yang meninggalkannya tidak berdosa dan tiada mudarat baginya di dunia dan di akhirat.

Kesimpulannya, Muharam, mahram dan muhrim mempunyai pengertian yang jauh berbeza antara satu sama lain. Kesemuanya bukanlah bersinonim. Ayuh Keluarga Malaysia celik bahasa dan wariskan penggunaan perkataan yang betul kepada generasi muda pelapis bangsa dan negara. Merdekakan bangsa daripada kesamaran dan kekeliruan bahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.