9 September 2022, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan-Mu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhan-Mu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah al-‘Alaq 96:1-5)

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa-apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Hashr  59:18).

Ilmu bermaksud pengetahuan, mengandungi fakta dan maklumat, serta bahan-bahan yang membuktikan kesahihan dan kebenaran. Ilmu itu laksana pelita hidup. Kata-kata hikmat tersebut menunjukkan ilmu menyinarkan cahaya untuk menerangi hidup kita, dan dapat menjadikan kehidupan manusia lebih sempurna.

Allah SWT mencipta manusia sebagai satu-satunya makhluk yang berupaya menimba pengetahuan melalui akal yang dianugerahkan. Setelah Adam a.s. diciptakan, Allah SWT mengajarkannya ilmu tentang nama-nama, sekali gus mengangkat martabat manusia mengatasi makhluk lain kerana manusia dikurniakan kelebihan akal yang boleh berfikir, yang dikembarkan dengan hati nurani, lalu manusia diamanahkan berperanan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini.

Sepanjang sejarah peradaban manusia, ilmu berperanan penting untuk membangunkan tamadun. Belum ada tamadun yang membangun tanpa masyarakat berilmu, atau dalam masyarakat yang mengabaikan ilmu. Jatuh bangun sesuatu tamadun dipengaruhi dan ditentukan oleh tahap penguasaan ilmu dan sejauh mana ilmu itu dibudayakan dalam kehidupan masyarakat.

Semakin bertambah ilmu, semakin dekat diri kita dengan Allah SWT.

Budaya ilmu merujuk sikap masyarakat yang melazimkan kegiatan keilmuan pada setiap masa, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam hal ini, segenap lapisan masyarakat berupaya bertindak, merancang dan melaksanakan sesuatu perkara berdasarkan ilmu pengetahuan. Semakin bertambah ilmu, semakin dekat diri kita dengan Allah SWT. Ilmu merupakan cahaya untuk kita lebih merasai keesaan Allah SWT serta kuasa dan keagungan-Nya. Para ilmuwan (ulama) itu diangkat darjat mereka kerana digolongkan oleh Allah SWT sebagai orang yang bertakwa berpandukan firman-Nya:

Maksudnya: “… Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu … .”                                                                                                                                                                       (Surah Fatir 35:28)

Berkata Ibn Abbas r.a., “Disuruh pilih pada Sulaiman bin Dawud a.s antara ilmu, harta dan kerajaan. Maka dipilihnya ilmu, lalu dianugerahkan kepadanya harta dan kerajaan bersama-sama ilmu itu.”

Diriwayatkan oleh Abu Naim daripada Anas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Bahawa ilmu pengetahuan itu menambahkan mulia orang yang mulia dan meninggikan seorang budak sampai ke tingkat raja-raja.”

Tanamkan budaya ilmu dengan mewujudkan ruang membaca yang selesa di rumah.

Warga berilmu berupaya mengadunkan cara hidup yang rukun, harmoni dan saling menghormati dalam kalangan anggota masyarakat. Warga berilmu ialah warga yang berupaya berfikir secara berhikmah; matang dan bijak ketika membuat keputusan untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Warga berilmu arif membezakan antara intan dengan kaca, kebenaran dengan kepalsuan, makruf dengan mungkar, serta kebenaran dengan penipuan. Oleh itu, masyarakat berilmu tidak mudah diperdaya, tidak mudah tertipu dan tidak mudah disogok. Masyarakat berilmu akan mempamerkan sifat bersopan santun, berhemah, tidak melakukan kerosakan dan kemusnahan kepada alam, mensyukuri nikmat Ilahi, dan lebih utama bijak memilih pemimpin atau melantik pemimpin agar tanggungjawab diserahkan  kepada orang-orang yang berilmu, amanah, ikhlas lagi jujur.

Dalam usaha membudayakan ilmu, umat Islam wajib bersungguh-sungguh. Tidak seorang pun dilahirkan berilmu. Ilmu tidak datang dengan sendiri ibarat yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek. Ilmu itu diperoleh dengan belajar, membaca, melakukan kajian, ujian serta penyelidikan, dan ilmu diperoleh melalui latihan dan pengalaman. Menuntut ilmu adalah fardu dan dipandang mulia. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari jalan untuk memperoleh ilmu nescaya Allah memudahkan jalannya menuju syurga.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Bagi memupuk generasi yang menghayati ilmu, umat Islam diseru untuk melakukan enam perkara berikut:

Pertama: Menjinakkan dan mendekatkan anak-anak kepada persekitaran dan dunia ilmu; dengan membawa anak-anak ke perpustakaan, kedai buku, muzium, pameran pendidikan, kampus maktab dan universiti, di samping menemani anak-anak menonton program di televisyen yang mengandungi ilmu seperti sains, sejarah, kehidupan haiwan, forum ilmiah dan lain-lain.

Anak-anak harus dididik untuk mencintai ilmu sejak kecil lagi.

Kedua: Menjadikan sekolah taman ilmu yang berjaya menarik minat dan menyemaikan keyakinan pada setiap anak, dengan memberikan pengiktirafan dan ruang pada setiap anak untuk berpeluang mengembangkan bakat dan minat masing-masing sehingga berjaya.

Ketiga: Mewujudkan suasana belajar berinteraksi secara dua hala antara guru dengan murid bagi memupuk daya berfikir dan rasa berani murid mengajukan pandangan.

Keempat: Menganjurkan program yang dapat memperkaya pelbagai cabang ilmu di masjid dan di surau, termasuklah menyediakan ruang bacaan dan tempat anak-anak belajar, serta menganjurkan kelas bimbingan untuk membantu keupayaan anak-anak menguasai dan memahami ilmu.

Kelima: Memberikan hadiah dan cenderamata yang mempunyai nilai ilmu berbentuk buku, majalah, bahan perisian, atau mengadakan lawatan ke tempat-tempat yang dapat menambahkan pendedahan tentang ilmu pengetahuan.

Keenam: Menyemaikan dan mengamalkan semangat belajar sepanjang hayat kerana ilmu pengetahuan itu sangat luas laksana laut yang tidak akan kering sebanyak mana ditimba dengan mengambil ingatan kata-kata Imam Ibn Abdul Bari, “Kamu sentiasa menjadi alim selagi kamu menjadi pelajar, tetapi apabila kamu berasa ilmu kamu sudah cukup, kamu sebenarnya telah menjadi jahil.”

Berdasarkan sumber maklumat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu per tiga daripada penduduk Pakistan telah ditenggelami banjir besar. Lebih 5.2 juta orang penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal. Malapetaka yang menimpa bumi Pakistan merupakan ujian Ilahi, bukan sahaja terhadap penduduk di Pakistan, tetapi juga kepada manusia di seluruh dunia.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Kurniai negara kami generasi yang bertakwa dan berilmu agar negara ini bertambah maju lagi makmur di bawah pimpinan hamba-Mu yang berilmu serta berakhlak mulia.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 9 September 2022, “Menghayati Budaya Berilmu”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.