2 September 2022, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Makanan merupakan keperluan asasi untuk membolehkan manusia terus hidup. Lazimnya manusia makan tiga kali sehari pada waktu pagi, petang dan malam bagi memenuhi keperluan jasmani. Islam menuntut umatnya agar mencari makanan yang bersih lagi halal. Perkataan “halal” berasal daripada bahasa Arab, bermaksud dibenarkan atau dibolehkan berlandaskan hukum syarak. Secara umumnya makanan halal bermaksud makanan yang dibolehkan untuk dimakan. Perintah untuk mencari makanan yang halal merupakan perintah umum kepada semua manusia kerana Allah SWT menginginkan kebaikan bagi tubuh badan manusia selaras dengan firman-Nya:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah 2:168)

Halalan tayyiban bermaksud halal lagi bersih, suci dan diyakini; bukan sekadar melihat kebersihan luaran malah kebersihan kandungan, bahan, proses penghasilan dan keselamatan menggunakannya perlu diberikan perhatian. Kini, kemudahan kaedah dan teknologi pemprosesan makanan membolehkan manusia menghasilkan pelbagai makanan, dan juga membolehkan manusia mudah mendapatkannya melalui pelbagai saluran perkhidmatan penghantaran makanan. Dalam pada itu, umat Islam diingatkan agar mencari makanan yang benar-benar halal, menjauhi makanan yang telah diharamkan, dan juga makanan yang diragui atau samar-samar status halalnya. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, dan antara kedua-duanya terdapat perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Maka itu, sesiapa yang menjauhi perkara syubhah bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah maka dibimbangkan terjerumus dalam perkara haram.”

(Hadis riwayat Muslim)

Pilih bahan bahan mentah yang dipastikan status halalnya supaya makanan yang dimasak akan menjamin kesihatan tubuh badan.

Makanan yang halal dan bersih memberikan banyak kebaikan kepada tubuh manusia. Utamakan makanan yang segar, berkualiti lagi berkhasiat dan elakkan makanan yang berkemungkinan mendatangkan risiko atau memberikan mudarat. Hadis tersebut memperingatkan agar kita menjauhi daripada makan di tempat-tempat yang meragukan, dan tidak dapat disahihkan status halalnya makanan yang dihidangkan, atau yang menyebabkan hadirnya perasaan ragu-ragu. Banyak hikmah yang terkandung melalui makanan yang bersih dan halal, antaranya termasuklah tubuh menjadi sihat dan bertenaga, menghasilkan hati nurani yang bersih, akal menjadi cerdas dan doa akan diperkenankan oleh  Allah SWT.

Hari ini, bahan mentah masakan boleh didapati dengan mudah di pasaran. Bahan mentah dan bahan masakan seperti makanan dalam tin, bebola ikan, mi, mihun, kuetiau dan lain-lain mudah dibeli di pasar raya dan kedai. Antara bahan makanan ini sebahagiannya jelas diketahui halalnya dan sebahagian yang lain tidak jelas. Umat Islam mudah mengetahui status halal bahan-bahan yang dikeluarkan dalam negara sekiranya terdapat logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jika didapati tiada logo halal, sebaik-baiknya ditinggalkan produk tersebut dan memilih produk lain. Pastikan produk yang diimport dari luar negara juga mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh JAKIM. Penggunaan logo halal menandakan bukti bahawa produk tersebut telah melalui proses penyemakan, pengauditan dan pengesahan halal oleh pihak berkuasa pensijilan halal.

Menjadi kewajipan bagi kita untuk mengambil berat tentang makanan halal. Umat Islam, sama ada pengeluar atau pengguna, tidak boleh mengabaikannya dengan anggapan bahawa produk yang dihasilkan dalam kalangan pengeluar sebangsa dan seagama terjamin halal. Sebaliknya banyak perkara perlu diambil kira untuk sesuatu produk itu mendapat pengiktirafan halal. Ketika negara luar berlumba-lumba untuk mendapatkan sijil halal Malaysia bagi produk yang mereka hasilkan bagi menembusi pasaran antarabangsa, umat Islam masih lagi tidak melihatnya sebagai perkara penting.

Umat Islam wajib mencari makanan dan barang kegunaan yang diyakini halal dan bersih serta selamat digunakan.

Menurut perangkaan daripada Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak, peratusan permohonan sijil halal melibatkan semua skim bagi tahun 2022 adalah sebanyak 72 peratus terdiri permohonan dalam kalangan bukan Bumiputera, berbanding hanya 28 peratus permohonan dalam kalangan Bumiputera. Hal ini menunjukkan bahawa kesedaran amat rendah dalam kalangan Bumiputera mengenai sijil dan logo halal.

Halal dan haram tidak boleh diambil mudah. Rasulullah SAW memperingatkan hal tersebut melalui hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Hurairah r.a. yang mafhumnya: “Seorang lelaki yang bermusafir jauh menadah tangan ke langit dan berdoa “Ya Tuhan (perkenankan doaku)” sedang makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan apa-apa yang disuapkannya haram, maka bagaimanakah doanya akan diperkenankan?” Hal ini bermakna bahawa syarat doa diterima oleh Allah SWT ialah doa yang diucap oleh Muslim yang memakan dan memakai bahan-bahan yang halal, dan memastikan wang untuk membeli makanan, pakaian, rumah, kenderaan, yuran pengajian dan sebagainya juga datang daripada sumber rezeki yang halal.

Syarat doa diterima oleh Allah SWT ialah doa yang diucap oleh Muslim yang memakan dan menggunakan bahan yang halal.

Oleh itu, umat Islam diseru kepada peringatan-peringatan berikut:

Pertama: Makanan yang baik dan halal ialah makanan yang bersih, tidak memudaratkan, serta dapat memberikan manfaat kepada tubuh badan manusia. Memilih makanan yang halal lagi bersih merupakan satu kewajipan dan memberikan kebaikan kepada tubuh badan sama ada secara fizikal mahupun mental.

Kedua: Memastikan perbelanjaan untuk membeli makanan, pakaian, rumah, kenderaan dan keperluan hidup yang lain datangnya daripada sumber rezeki yang halal kerana menjadi penentu asbab doa dimakbulkan oleh Allah SWT.

Ketiga: Pengguna wajib mencari makanan dan barang kegunaan yang diyakini halal dan bersih serta selamat digunakan.

Keempat: Para usahawan, pengeluar dan peniaga mestilah jujur dengan memastikan produk makanan atau bahan kegunaan yang dihasilkan dan dijual halal, bersih dan selamat. Digalakkan membuat permohonan pensijilan halal daripada pihak berkuasa sama ada JAKIM, Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam agar masyarakat mendapat panduan kegunaan yang betul.

Kelima: Pihak berwajib harus mempertingkatkan lagi kesedaran pengeluar dan pengguna terhadap kewajipan mencari sumber yang halal dengan melaksanakan pelbagai kempen melalui kerjasama dengan pelbagai institusi seperti badan bukan kerajaan, masjid, sekolah dan lain-lain.

Keenam: Para pengguna digalakkan menyemak status halal sesuatu produk dengan melayari laman sesawang www.myhalal.gov.my atau muat turun aplikasi “Smart Halal” di telefon bimbit.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘Alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Kurniai kami rezeki yang bersih lagi halal, agar dengannya kami dapat melakukan ibadat kepada-Mu dan doa kami dimakbulkan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 2 September 2022, “Makanan: Kewajipan Mencari yan Halal”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.