30 Ogos 2022, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya- Malaysia #QuranHour hari ini membawakan Misi Surah al-Sajdah dengan bertemakan Hari Kebangsaan 2022, “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” yang diadakan serentak di seluruh negara pada 2 Safar 1444 Hijrah bersamaan 30 Ogos 2022 pada pukul 12 hingga 1 tengah hari.

Program berkonsepkan interaksi dengan al-Quran melalui pembacaan, pemahaman dan pengamalan ini diadakan di lokasi perdana, iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan bersiaran secara langsung melalui saluran TV AlHIjrah dan Facebook Langsung Sinar Harian, QuranHour, TV AlHIjrah dan TickTalk TV.

Surah al-Sajdah diangkat sebagai surah pilihan pada kempen gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan hadis (Thematic & Reconstruct) sepanjang tahun ini kerana surah ini merupakan formula daripada Ilahi bagi meningkatkan rasa kehambaan kepada Alalh SWT dan panduan penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat dunia berbudi dan penyayang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, misi Surah al-Sajdah ini bertujuan untuk melahirkan umat yang kaya jiwa dan nampak peluang untuk melakukan kebaikan, serta membina sebuah negara Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur, iaitu negara baik yang mendapat keampunan Allah SWT.

Selari dengan tema Hari Kebangsaan 2022; Keluarga Malaysia Teguh Bersama, Surah al-Sajdah telah menyajikan formula Kerangka 5S sebagai panduan dan solusi dalam membina sebuah keluarga, organisasi dan negara yang diredai Allah SWT, Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur, (Negeri yang baik dengan Tuhan yang Maha Pengampun).

Ustaz Tirmizi Ali, memperdengarkan bacaan ayat 15, 16 dan 24 daripada Surah al-Sajdah dan menjelaskan formula kerangka 5S, iaitu Surah al-Sajdah, Sombong, Sujud, Sedekah dan Sabar). Surah al-Sajdah menjadi solusi bagi isu kesombongan dengan bersujud, bersedekah dan bersabar dalam kalangan pemimpin dan rakyat.

Hampir 2000 lokasi berdaftar menjadi titik gema program #QuranHour hari ini dan orang ramai termasuk keluarga, komuniti, agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di dalam dan luar negara bersolidariti menyertai atau menganjurkan World #QuranHour 1444H di lokasi masing-masing. Semoga Allah SWT menerima amal dan merahmati negara tercinta, Malaysia!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.