26 Ogos 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Ingatlah nikmat Allah ke atasmu ketika Dia menyelamatkan kamu daripada pengikut-pengikut Firaun; mereka menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih, dan menyembelih anak-anakmu yang lelaki, dan membiarkan hidup anak-anak yang perempuanmu; pada yang demikian itu suatu ujian yang besar daripada Tuhanmu.” (Surah Ibrahim 14:6)

Jika kita menyelak lembaran sejarah, Melaka pada satu masa dahulu merupakan sebuah kerajaan yang hebat, melaksanakan pemerintahan yang adil berlandaskan adat setempat dan syariat Islam, serta berperanan sebagai pusat perdagangan yang menjadi tumpuan pedagang dari timur dan barat. Melaka berupaya mengalahkan angkatan laut Siam yang cuba menyerang dan pernah menaungi Kerajaan Patani di selatan Siam. Melaka jatuh ke tangan Portugis bukan kerana kekuatan angkatan laut Portugis sebaliknya disebabkan oleh krisis dalaman apabila sebahagian pembesar serta pembelot memilih untuk menyokong Portugis.

Bermula dari penjajahan Portugis yang bertapak di Melaka pada 24 Ogos 1511, kemudian bertukar tangan oleh Belanda, dan disambut pula oleh Inggeris, dengan segala tipu muslihat berjaya meletakkan seluruh Tanah Melayu di bawah kuasa penjajah. Tanah Melayu kemudian dirampas seketika oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua, sebelum kembali berada di bawah jajahan Inggeris. Tanah Melayu melalui zaman penjajahan selama 446 tahun sebelum diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka bernama Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Raja-raja Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan kemerdekaan negara.

Jika disoroti dokumen perundangan, didapati faktor penentu kepada kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan sebenarnya berpaksikan persetujuan Raja-raja Melayu dengan persefahaman mahu mempersekutukan kuasa Kerajaan Negeri Melayu dengan dua buah Negeri Selat bagi maksud membentuk sebuah kerajaan pusat yang kuat. Proses rundingan kemerdekaan bermula apabila rancangan Malayan Union dibatalkan. Asas pembinaan negara bangsa Tanah Melayu berlandaskan pada Perjanjian Negeri yang ditandatangani oleh sembilan orang Raja Melayu dengan Kerajaan British pada 21 Januari 1948. Perjanjian yang dipersetujui oleh Raja-raja Melayu membuktikan jiwa besar Raja-raja Melayu menyerahkan kedaulatan kuasa negeri kepada Persekutuan agar terbina sebuah negara bangsa yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu yang menggabungkan sembilan buah Negeri Melayu bersama dua Negeri Selat.

Suara yang digemakan, gerakan yang dilaksanakan, hajat dan doa yang dipohonkan oleh rakyat di bumi ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Pada pagi 31 Ogos 1957, di hadapan sembilan Raja Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), diikuti dengan tujuh kali laungan “merdeka”, disusuli pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam. Kelahiran sebuah negara baharu dilengkapi dengan laungan azan, kemudiannya doa yang dipimpin oleh Syeikh Haji Ahmad Muhammad Said, Mufti Negeri Sembilan. Doa yang dibaca pada pagi pengisytiharan kemerdekaan mengandungi empat perkara utama, iaitu:

Pertama: Pemimpin yang adil serta memelihara agama dan rakyat berteraskan undang-undang. “Ya Allah! Anugerahkan taufik kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang pada keindahan Islam.”

Kedua: Bangsa Melayu yang maju dan tidak sesat. “Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubahan hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan ke hadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan orang yang sesat.”

Ketiga: Kesejahteraan hidup, keharmonian kaum. “Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala hal yang boleh memudaratkan, peliharalah kami daripada segala hal yang buruk lagi keji dan tunaikanlah segala hal yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami sehingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmat-Mu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.”

Keempat: Keselamatan negara serta peringatan tidak bersifat melampau dan melakukan kerosakan. Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakan.

Dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan dan memperingati ulang tahun kemerdekaan, generasi hari ini wajar menghayati doa yang dipohon kepada Allah SWT, sebaik-baik sahaja negara diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka 65 tahun yang lalu. Peringatan berikut hendaklah dihayati:

Pertama: Rakyat menghargai dan menghayati erti kemerdekaan dan bersungguh-sungguh berusaha mempertahankannya; bertindak segera dan tegas bagi membanteras sebarang perbuatan khianat agar peristiwa sedih kejatuhan Kerajaan Melaka tidak berulang.

Kemajuan merupakan antara nikmat terbesar yang dikecapi hasil daripada kemerdekaan negara.

Kedua: Kemerdekaan merupakan antara nikmat terbesar kerana kemerdekaan membolehkan kita sendiri mentadbir urus negara untuk mencipta kejayaan dan mencapai kegemilangan.

Ketiga: Mengambil tanggungjawab secara bersama bagi memperkukuhkan kesatuan ummah, dan menjalinkan kerjasama antara seluruh warga Malaysia dengan menghayati semangat “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

Keempat: Menghargai dan tidak melupakan jasa para pejuang kemerdekaan sama ada yang berjuang menentang penjajahan secara keras berkonfrontasi sehingga dipenjarakan dan ada yang terkorban nyawa, begitu juga yang gigih memikirkan strategi dan mengusahakan perundingan sehingga tercapainya kemerdekaan.

Setiap rakyat Malaysia harus menghargai dan menghayati detik bersejarah apabila negara bebas daripada belenggu penjajahan.

Kelima: Mengisi kemerdekaan berlandaskan syariat dan nilai-nilai Islam agar terbina sebuah negara yang mendapat keredaan dan rahmat Ilahi.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan para tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan berselawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Lindungi negara kami sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, dilimpahi rahmat kemakmuran dan warganya hidup dalam suasana persaudaraan, serta saling menghormati kekal harmoni.

Ya Ghaffar! Ya Wahhab! Limpahkan ihsan-Mu kepada para pejuang yang terkorban mempertahankan kedaulatan tanah air; tempatkan roh mereka bersama-sama para syuhada yang dianugerahkan kemuliaan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 26 Ogos 2022, “Kemerdekaan: Nikmat yang Wajib Disyukuri”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.