Oleh Ezura As'ad Azam
20 Ogos 2022, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Kolej Vokasional Labuan telah melaksanakan beberapa program bagi memperkasakan tulisan Jawi dalam sektor pendidikan bersempena dengan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos 2022.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 telah menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan boleh terdiri daripada tulisan rumi dan tulisan Jawi. Selain menyokong akta tersebut, penganjuran program ini juga bertepatan dengan strategi dalam pelan pemerkasaan tulisan Jawi yang sedang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara strategi yang dicadangkan ialah membudayakan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat dan memperkukuh tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pengisian program pemerkasaan ini dimulakan dengan sesi Semarak Jawi yang dikendalikan oleh Ustazah Dalilah Desa yang merupakan Munsyi Dewan (Jawi) dan jurulatih utama tulisan Jawi di Wilayah Persekutuan Labuan. Ustazah Dalilah begitu dikenali sebagai guru yang aktif mengetengahkan inovasi dalam teknik penulisan Jawi sehingga pernah menerima anugerah Guru Inovatif Kebangsaan. Sesi bimbingan yang berlangsung selama dua jam ini melibatkan penyertaan 30 orang pelajar Kolej Vokasional Labuan. Para peserta telah diberikan pendedahan terhadap tulisan Jawi melalui pelbagai kaedah yang menarik dan mudah difahami serta panduan pengejaan huruf tertentu yang sering menimbulkan kekeliruan umum seperti huruf “k”, “e” taling dan “e” pepet.

Pelancaran Kelab Pencinta Jawi peringkat Kolej Vokasional Labuan telah disempurnakan oleh Munsyi Dewan (Jawi), Ustazah Dalilah Desa.

Sesi ini kemudiannya diikuti dengan pelancaran Kelab Pencinta Jawi peringkat Kolej Vokasional Labuan yang memperlihatkan komitmen warga pendidik kolej ini bagi memupuk rasa kecintaan warganya terhadap tulisan Jawi. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Ustazah Dalilah Desa yang diiringi dengan penyerahan logo Kelab Pencinta Jawi oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Kolej Vokasional Labuan, Encik Awang Alik Saidil  kepada Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah, Encik Rusdi Awang.

DBP Cawangan Sabah turut merancang untuk memperluas penubuhan Kelab Pencinta Jawi ini di institusi pendidikan yang lain. Dalam karnival ini, turut diadakan Pertandingan Pintar Jawi yang dikendalikan oleh Pusat Dokumentasi Melayu, DBP Cawangan Sabah. Pertandingan yang bermatlamat untuk menguji pengetahuan peserta dalam tulisan Jawi ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar Kolej Vokasional Labuan. Semoga program ini menjadi perintis bagi program seumpamanya di organisasi lain di negeri Sabah dan Persekutuan Labuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.