19 Ogos 2022, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Tawbah 9:103)

Marilah kita tingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan semua larangan-Nya serta mengikhlaskan setiap amalan, semoga kita sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta diperkukuh iman dan mengabdikan diri semata-mata kepada Allah Yang Maha Esa.

 

Mengeluarkan zakat merupakan satu daripada tuntutan dalam Islam.

Zakat bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada harta apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak, untuk diberikan kepada pihak (asnaf) yang berhak menerimanya. Menunaikan zakat merupakan satu daripada lima rukun Islam. Kewajipan berzakat digandingkan dengan fardu bersolat, sebagai isyarat tuntutan menjaga hubungan dengan Allah melalui solat, dan menjaga hubungan sesama manusia melalui zakat.

Manusia dikurniakan rezeki secara berbeza dan tidak sama. Ada yang diberikan kemewahan dan keselesaan hidup, ada pula yang hidup dalam kemiskinan dan penderitaan. Oleh sebab itu, terdapat insan yang berada dalam kesusahan yang wajib diberikan bantuan. Wabak COVID-19 yang melanda dunia telah menjejaskan kehidupan pelbagai pihak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan. Banyak orang yang terjejas rezeki kerana kehilangan sumber pendapatan dan sumber pencarian.

Institusi zakat di negara ini telah mengambil langkah membantu rakyat yang terjejas.  Institusi zakat menjadi antara badan yang berada di barisan hadapan, bergerak membantu dan menyantuni rakyat yang terjejas ketika rakyat perlu mematuhi PKP. Institusi zakat di seluruh negara telah menyalurkan hampir RM200 juta bantuan kepada asnaf dan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berperanan aktif mengagihkan zakat mencecah RM20 juta khusus kepada mereka yang terdesak dan sangat memerlukan bantuan.

Ketika ini MAIPk telah mewujudkan pelbagai jenis bantuan, merangkumi bantuan bulanan untuk menampung kehidupan, bantuan kecemasan, serta bantuan-bantuan rumah, persekolahan, pendidikan, dan rawatan perubatan.

Pada hakikatnya, wang zakat yang diagihkan oleh MAIPk kepada asnaf yang berhak adalah daripada kutipan zakat harta, iaitu zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat tanaman, zakat pelaburan, zakat KWSP dan lain-lain lagi. Pada tahun 2021, sebanyak 95 peratus atau RM187 juta kutipan zakat di negeri Perak adalah daripada zakat harta, dan hanya 5 peratus atau RM10 juta hasil kutipan daripada zakat fitrah.

Pada masa ini, daripada 400 ribu orang Islam di negeri Perak yang berada dalam kategori yang berkeupayaan membayar zakat harta, hanya 80 ribu orang atau 20 peratus sahaja yang membayar zakat harta mereka di MAIPk. Keadaan ini menunjukkan kesedaran dan pengetahuan tentang kewajipan membayar zakat harta masih rendah dalam kalangan rakyat.

Angka kutipan dan bayaran zakat boleh dianggap sebagai petunjuk pencapaian ekonomi umat Islam. Semakin tinggi tahap pendapatan masyarakat Muslim dalam sesebuah negara, sepatutnya semakin banyak hasil kutipan zakat diperoleh untuk diagih dan dimanfaatkan kepada ahli masyarakat yang memerlukan. Namun begitu, keseimbangan agihan nikmat sukar dicapai, semata-mata dengan berlakunya peningkatan pendapatan, jika tidak adanya kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk mahu menunaikan zakat harta. Jika bilangan pembayar zakat berjaya ditambah, dan jumlah kutipan berjaya ditingkatkan, lebih banyak agihan kepada asnaf akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, usaha perlu ditingkatkan untuk menyedarkan lebih ramai ummah bersedia beramal menginfakkan kepada golongan yang memerlukan, bertepatan dengan peringatan Allah SWT melalui firman-Nya;

Maksudnya: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya. Dalam pada itu, orang yang diberikan kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya mereka dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu?”

(Surah al-Nahl 16:71)

Oleh itu, umat Islam harus mengambil perhatian tentang perkara yang berikut:

Pertama: Jadikan amalan berzakat sebagai budaya hidup. Zakat merupakan rukun Islam yang bermatlamat mewujudkan keseimbangan sosial, melalui kutipan sebahagian harta daripada golongan yang berkemampuan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Sesiapa yang yang mengeluarkan zakat dijanjikan Allah SWT rezeki yang berlipat ganda dan berkat.

Kedua: Allah menjanjikan kepada hamba-Nya yang menunaikan zakat dan membelanjakan harta untuk tujuan kemaslahatan akan digantikan dengan nikmat yang lebih baik di dunia dan di akhirat. Firman Nya:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa-apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.’”

(Surah Saba’ 34:39)

Ketiga: Al-Quran mengingatkan golongan yang menyimpan hartanya dan tidak mahu membelanjakannya pada jalan Allah dengan seksaan yang amat pedih di akhirat kelak.

Keempat: Umat Islam yang layak membayar cukai pendapatan amat dituntut menunaikan zakat pendapatan. Dalam kalangan yang berpendapatan tetap, gunakan kemudahan menunaikan zakat melalui potongan gaji berjadual.

Kelima: Jumlah zakat yang dibayar layak mendapat rebat (atau potongan) penuh atas cukai pendapatan yang dikenakan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim! Bukakan pintu hati ummah akan keinsafan untuk mahu menunaikan zakat yang merupakan satu daripada rukun Islam yang diwajibkan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 Ogos 2022, “Zakat dan Tuntutannya”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.