15 Ogos 2022, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Teknologi berkembang dengan sangat pantas dan menghasilkan pelbagai perisian teknologi serta peranti pintar elektronik. Pelbagai maklumat boleh diakses dan diperoleh dengan mudah berdasarkan kebolehcapaian teknologi maklumat dan multimedia. Peluang ini haruslah dimanfaatkan oleh pencinta dan pengguna Jawi untuk berganding bahu mempopularkan Jawi dengan lebih giat dan kreatif. Perkembangan teknologi juga memberikan manfaat kepada pakar bidang teknologi maklumat mereka peranti ataupun aplikasi yang lebih mudah bagi pengguna dan pakar Jawi dan wajib menjadikan buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan sebagai pegangan agar tulisan Jawi di negara kita mempunyai mutu dan kualiti yang boleh dijadikan panduan dan seterusnya diminati oleh penyelidik atau pengkaji untuk melakukan kajian akan indah dan sistematiknya khazanah tulisan Jawi.”

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary.

Demikian pendirian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary dalam ucapan perasmian penutup bersempena dengan Seminar Jawi dan Teknologi dan Majlis Pelancaran Buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan dan Kamus Kosa Kata Tunggal Al-Quran di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP petang tadi. Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Tuan Sabri Azit.

Menurut beliau lagi, pelbagai pihak perlu berganding bahu dalam usaha mengembangkan dan memajukan tulisan Jawi agar terus dimartabatkan seiring dengan kemajuan teknologi. Hal ini bagi memastikan generasi akan datang mampu membaca dan menulis Jawi dengan baiknya. Warisan ini haruslah dipelihara dan dipugar agar tulisan Jawi tidak ditelan zaman.

Ketua Pengarah DBP, Yang Berbahagia Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Yang Berbahagia Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penghargaan beliau kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan seminar tersebut. Menurut beliau, objektif utama penganjuran seminar ini adalah untuk memartabatkan tulisan Jawi di negara kita di samping memberikan maklumat berkaitan dengan tulisan Jawi seiring dengan perkembangan teknologi kepada masyarakat. Menurut beliau:

 Tulisan Jawi merupakan platform untuk mengembalikan sejarah warisan bangsa. Kesedaran mengembalikan tulisan ini ke tahap seperti dahulu harus dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda. Semoga tulisan ini terus kekal releven dalam kalangan masyarakat dan tidak pupus ditelan zaman. Beliau juga berharap agar penganjuran Seminar Jawi dan Teknologi ini memberikan manfaat dan mencetuskan idea yang bernas kepada peserta dan dapat dipraktikkan dalam kerjaya dan organisasi masing-masing.

YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary bersama-sama Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Pengerusi Lembaga Pengarah, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Tuan Sabri Azit. dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Abang Patdeli Abang Muhi bersama-sama buku yang dilancarkan pada petang ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.