Oleh Aninah Janang
6 Ogos 2022, 13:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis bersama-sama peserta Program  Ziarah Mahabbah di Phuket, Thailand.

Phuket – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama melihat kembali akan kepentingan mengimarahkan masjid dan peranannya terhadap masyarakat Islam. Hal demikian titahnya amat penting kerana  masjid memainkan peranan yang begitu signifikan terhadap kekuatan umat Islam itu sendiri.

Maka itu, menurut Raja Muda Perlis, setiap masjid perlulah memainkan dua peranannya yang paling utama, iaitu masjid sebagai Markaz Tajammu’ (yakni Pusat Pertemuan atau Berkumpulnya Umat Islam).

Umat Islam diseru agar menghadirkan diri masing-masing dan memakmurkan semua masjid yang ada. Selain itu, bagi mereka yang telah dilantik mengurus dan mentadbir masjid juga perlulah mengambil inisiatif dan bersikap lebih kreatif serta proaktif dalam menyusun atur segala bentuk aktiviti pengimarahan masjid kepada komuniti dan masyarakat setempat bagi menarik mereka untuk terus mendekatkan diri dengan masjid.

Peranan masjid yang kedua menurut Raja Muda Perlis adalah sebagai Markaz Talluf (yakni Pusat Penyatuan Hati Umat Islam).

“Umat Islam yang hadir ke masjid perlulah mengutamakan aspek kesatuan dalam segenap tindak tanduk mereka. Perasaan saling menyayangi sesama Muslim haruslah disuburkan dan dikembangkan kepada semua generasi. Namun begitu, pada masa yang sama, hindarilah diri daripada sifat-sifat yang negatif ataupun menimbulkan sebarang bentuk perbalahan sesama masyarakat kerana masjid itu sendiri adalah tempat yang amat suci dan mulia bagi umat Islam. Masjid adalah ‘Rumah Allah’ yang harus disayangi, dijaga dan dipelihara kesuciannya,” titah Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program Ziarah Mahabbah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama Delegasi MAIPs tahun 2022, di Phuket, Thailand.

Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

Mengakhiri titahnya, Raja Muda Perlis turut menzahirkan rasa syukur dan sekali lagi berterima kasih kerana program tersebut diterima baik dan diberikan layanan yang sempurna oleh saudara-saudara Islam di negara itu, khususnya di Phuket.

Saya serta semua masyarakat Islam di Perlis, Malaysia juga, sentiasa mendoakan agar seluruh umat Islam di sini akan sentiasa dipelihara, dikurniakan kebaikan, kekuatan, kesihatan, keselamatan serta dilimpahi dengan rahmat daripada Allah SWT, Insya-Allah.

 

Antara tetamu dan peserta yang hadir ke program Ziarah Mahabbah.

Dalam majlis yang sama, Raja Muda Perlis turut berkenan berangkat menyampaikan sumbangan sebanyak RM5500 kepada masjid yang terlibat dan memberikan lima biasiswa bagi setiap wilayah di Phuket untuk pelajar melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.