5 Ogos 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah an -Nisa’ 4:100).

Tahun baharu Islam disambut bukan sekadar dengan bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun, tetapi ummah wajib mengenali dan menghayati  semangat hijrah, yang merupakan titik permulaan terbinanya ummah yang bertamadun dan berbudaya tinggi, lalu menjadi tenaga penggerak mencemerlangkan Islam di persada dunia. Peristiwa perpindahan Rasulullah SAW dari kota Makkah ke Madinah mengandungi hikmah yang sangat besar dalam membawa perubahan terhadap kehidupan manusia. Peristiwa tersebut bukan sahaja berjaya membuktikan keperibadian hebat para sahabat Ridhwanullahi alaihim, tetapi Baginda juga berjaya memperkenalkan sistem pemerintahan yang tersusun lagi progresif di Madinah, iaitu pemerintahan yang bertunjangkan hukum dan keadilan.

Hijrah tersebut menghasilkan kejayaan besar apabila terbentuknya sebuah negara dan pemerintahan yang melaksanakan syariat Allah SWT, menyerlahkan akhlak mulia masyarakat, memupuk nilai persaudaraan sejagat dalam kalangan warga, membolehkan tersemai subur pepohon ilmu serta tumbuh merendang nilai-nilai intelek, yang menjadi pemangkin terciptanya era kegemilangan Islam. Saiyidina Umar Ibn Khatab r.a. meletakkan peristiwa hijrah sebagai batu tanda yang sangat penting dalam sejarah Islam, lalu memperkenalkan takwim Islam mengambil sempena peristiwa tersebut yang dikenali sebagai Tahun Hijriah.

Rasulullah SAW telah melaksanakan sistem pemerintahan yang berjaya membina sebuah negara Islam yang rukun dan makmur. Keyakinan baharu berjaya disuntik dalam kalangan penganut Islam yang menjadi tenaga penggerak membangunkan kegemilangan Islam, meletakkan bangsa Arab sebagai bangsa yang dihormati dan digeruni oleh Roma dan Parsi.

Ummah sewajarnya mentafsir secara bijaksana untuk mengaitkan dengan kehidupan bagi perkara yang sangat bermakna yang berlaku susulan peristiwa hijrah.

Masjid membawa ummah kepada kesempurnaan hubungan dengan Tuhan dan hubungan sesama makhluk.

Pertama: Peranan penting masjid. Sebaik-baik tiba di Quba’, Rasulullah SAW mendahulukan pembinaan  masjid. Masjid mempunyai peranan yang besar. Kehadiran ke masjid membawa ummah kepada kesempurnaan hubungan dengan Tuhan dan hubungan sesama makhluk. Masjid dirujuk sebagai rumah Allah SWT, tempat paling mulia untuk melakukan ibadat. Masjid juga merupakan pusat masyarakat, iaitu tempat yang membolehkan manusia berjumpa setiap hari, menjalinkan silaturahim, dan melaksanakan pelbagai kegiatan, merangkumi penyebaran ilmu, pendidikan, ekonomi dan kemasyarakatan. Jika ummah beramai-ramai hadir memakmurkan masjid, Insya-Allah banyak urusan dan masalah harian masyarakat dapat diatasi.

Kedua: Persaudaraan mukmin. Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum muhajirin dari kota Makkah dan kaum Ansar, penduduk asal Madinah. Kesepaduan ikatan persaudaraan ialah kunci bagi melahirkan ummah bertamadun. Menjiwai hal ini, ummah yang telah bersatu atas asas satu akidah sepatutnya saling mempererat silaturahim, tidak bermusuhan, tidak bertelingkah kerana perkara remeh, tidak berpecah kerana perbezaan fahaman politik, aliran mazhab, atau perbezaan wilayah, negeri serta daerah, atau disebabkan perbezaan darjat serta darah keturunan.

Ketiga: Pemerintahan negara yang bersistematik berlandaskan hukum. Rasulullah SAW menggubal perlembagaan bertulis sebagai sumber rujukan pemerintahan. Perlembagaan Madinah ialah perlembagaan bertulis yang pertama di dunia. Baginda mentadbir urus negara berlandaskan hukum. Undang-undang tidak dipersendakan, sebaliknya  dikuatkuasakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih. Setiap orang bertaraf sama di sisi undang-undang. Baginda mempamerkan pentadbiran yang berintegriti, adil dan saksama, serta tidak melakukan penindasan terhadap penduduk yang berlainan bangsa, suku kaum dan agama.

Pemerintahan negara yang bersistematik berlandaskan hukum amat penting dalam memastikan kemakmuran dan kestabilan negara.

Keempat: Mentadbir urus harta dan perbendaharaan negara dengan cekap, telus dan amanah tanpa ada perlakuan menipu, menyeleweng, pecah amanah, rasuah, menyalahgunakan kuasa, atau membina kekayaan diri, keluarga dan kroni sehingga berlakunya ketirisan khazanah negara yang mengakibatkan rakyat menanggung derita kesusahan.

Kelima: Rasulullah SAW berjaya meruntuhkan sistem ekonomi Yahudi ketika itu yang berasaskan riba, monopoli, penindasan, gharar atau tipu daya.

Ummah perlu melihat peristiwa hijrah melalui lensa yang lebih luas, dihubungkaitkan dengan keadaan dunia semasa. Maal Hijrah hendaklah disambut sebagai detik kita bersedia meninggalkan fahaman lama dan budaya usang, menerima pakai kaedah baharu, melakukan perubahan minda, menyahut idea yang lebih rasional, dan melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran pada masa ini. Semangat  hijrah  hendaklah  disuntik  untuk  berani  melakukan  pengorbanan  dan perubahan, membangunkan minda dan jiwa yang lebih berkualiti, dan beralih daripada fasa yang kelam kepada fasa yang lebih cerah. Nabi Muhammad SAW bersabda menerusi hadis, iaitu:

Maksudnya: Tidak terhenti hijrah selagi tidak terhenti (kesempatan) bertaubat dan tidak terhenti taubat sehinggalah matahari terbit dari barat. (Hadis riwayat Abu Dawud).

Jadikanlah peristiwa hijrah sebagai iktibar dan panduan serta bersedia melakukan pengorbanan, dikembarkan dengan niat, yang disusuli dengan azam dan tekad mahu mencapai wawasan dan matlamat baharu yang lebih cemerlang. Insya-Allah selagi kita berniat baik, ikhlas, serta mahu melakukan yang lebih baik atas nama Allah Yang Maha Pencipta, Allah SWT akan mempermudah apa-apa juga usaha yang dirintis.

Peristiwa hijrah menjadi iktibar dan panduan kepada umat Islam hari ini untuk bersedia melakukan pengorbanan, dengan niat, azam dan tekad demi mencapai wawasan dan matlamat baharu yang lebih cemerlang.

Ketika melangkah dalam tahun baru 1444 Hijrah, ummah diseru agar mula melakukan beberapa perubahan asas dalam kehidupan harian. Antaranya termasuklah:

Pertama: Gunakan masa dengan sebaik-baiknya, iaitu menepati masa dan mengisinya untuk melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat, seperti menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran diri, membaca al-Quran, melakukan amal dan kerja-kerja kebajikan.

Kedua: Jadilah insan yang optimis, berkeyakinan tinggi dan tidak mudah berputus asa dalam apa-apa juga bidang yang diceburi.

Ketiga: Tinggalkan dosa dan maksiat yang biasa dilakukan, iaitu dosa menghitamkan hati, memburukkan kelakuan serta menjadikan diri malas dan tidak proaktif.

Keempat: Amalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin seperti pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Pastikan tubuh badan mempunyai waktu rehat dan waktu tidur yang diperlukan, serta melakukan riadah  pada setiap hari.

Kelima: Makmurkan rumah-rumah Allah SWT. Di samping berperanan sebagai tempat berhimpun dan bersolat jemaah, imarahkan masjid dengan penganjuran pelbagai program pendidikan, ekonomi, kemasyarakatan dan riadah.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-’alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bimbing kami pada tahun 1444 Hijrah dengan semangat dan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, kehidupan lebih bermakna untuk diri, agama, bangsa dan negara.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; serta jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya  Dzal  Jalaali  wa al -Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya  Maalik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 5 Ogos 2022, “Hijrah Membawa Perubahan Ummah”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.