22 Julai 2022, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam) kerana jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-An‘am 6:153).

Perpaduan dan kesatuan ummah merupakan perkara asas dalam Islam. Islam mencela perpecahan dan pertelingkahan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan. Jika tidak, nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati) sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal 8:46).

Dari sudut akidah dan aliran pemikiran, umat Islam telah berjaya membina perpaduan dengan berpegang kepada akidah Ahli Sunah Wal Jamaah. Ahli Sunnah Wal Jamaah bererti mereka yang berpegang kepada sunah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah memutuskan bahawa umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam berpaksikan Ahli Sunah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Alhamdulillah, berpaksikan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah yang berpegang pada mazhab Asya‘irah dan Maturidiyah dari sudut akidah, mazhab Syafii dari sudut fikah dan mazhab al-Junaid dan al-Ghazali dari sudut akhlak, umat Islam di Malaysia telah berjaya disatukan. Jasa Imam Syafii, Imam Asya‘ari dan Imam Ghazali begitu bermakna kepada ummah. Mereka telah memudahkan ummah untuk memahami ilmu akidah, fikah dan akhlak. Sentuhan mereka telah diteruskan oleh para ulama Nusantara sehingga terzahir kesatuan pemikiran dalam kalangan umat Islam di rantau ini, dan berupaya menepis isu khilafiah yang boleh membawa perpecahan ummah.

Pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah dikenal pasti bersumberkan al-Quran dan sunah, teradun dan terbina daripada nas dan dalil syarak yang sahih tanpa mengabaikan kebijaksanaan akal fikiran insani. Pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah juga terbukti sebagai dasar dan pegangan beragama yang berjaya menyatukan ummah, sekali gus membantu menyejahterakan kehidupan bernegara. Antara ciri-ciri utama Ahli Sunah Wal Jamaah termasuklah:

Kitab hadis merupakan sumber perudangan utama dalam Islam selepas al-Quran.

Pertama, berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berlandaskan sumber perundangan utama, iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

Kedua, berpegang pada ajaran Islam yang meliputi perkara tentang iman, iaitu akidah; Islam, iaitu syarak; dan ihsan, iaitu akhlak.

Ketiga, percaya bahawa kesemua para sahabat bersikap benar dan adil.

Keempat, percaya dan beriman kepada perkara ghaib melalui al-Quran dan hadis.

Kelima, tidak mengkufurkan sesama Muslim dengan begitu mudah kecuali atas pertimbangan ilmu atau hujah yang kukuh dan adil.

Keenam, sederhana dalam kepercayaan dan amalan, bersifat tidak terlalu melampau dan tidak juga terlalu meringankan.

Aliran pemikiran yang bercanggah dengan Ahli Sunah Wal Jamaah hendaklah dielakkan dan dijauhi. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pernah menzahirkan peringatan yang berikut:

“Penularan pelbagai aliran pemikiran lama dan baharu yang menongkah arus pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah merupakan satu cabaran yang bakal merungkaikan pegangan akidah dan boleh memporak-perandakan ummah. Ulama dan cendekiawan Islam hendaklah mencari titik pertemuan dan kata sepakat menangani isu berkaitan daripada berlarutan. Dalam matlamat mahu mencari titik pertemuan, perbincangan yang dirintis hendaklah lebih bijaksana dan dilakukan dalam semangat permuafakatan secara halus dan di belakang tabir, daripada digembar-gemburkan di khalayak ramai, disebabkan masing-masing mahu menegakkan kebenaran sehingga mengakibatkan umat keliru.”

Di samping itu, umat Islam juga tidak sepatutnya dihimpit dengan isu khilafiah yang membebankan; sedangkan isu tersebut telah berjaya dirungkaikan dengan bijaksana oleh ulama terdahulu. Jika perkara khilafiah terus berlarutan, dikhuatiri akan terjejas tumpuan umat Islam untuk menangani pelbagai isu yang lebih besar seperti kepimpinan, kenegaraan, keamanan, gejala sosial, rasuah, kemiskinan, pendidikan, pemantapan institusi keluarga, pemupukan nilai murni, dan memelihara alam sekitar.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu membanteras ajaran dan fahaman yang menyalahi akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dengan tidak mensia-siakan masa menyibukkan diri dengan perkara yang boleh mendatangkan mudarat atau yang berkemungkinan mengakibatkan umat berselisih faham sehingga menjejaskan perpaduan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan engkau daripada jalan Allah; tidaklah apa-apa yang mereka ikuti itu melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka itu tidak lain hanyalah berdusta.” (Surah al-An‘am 6:116).

Oleh itu, Muslimin diseru kepada peringatan yang berikut:

Pertama: Pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah adalah satu-satunya akidah dan pegangan yang diyakini, serta dijamin selamat daripada azab api neraka oleh Rasulullah SAW.

Kedua: Ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah terus dihayati dan diamalkan, dan sama-sama membanteras dengan melaporkan kepada pihak berkuasa mana-mana ajaran yang bertentangan dengannya.

Ketiga: Perkukuhkan ilmu agama dengan mempelajarinya daripada agamawan yang berkelayakan serta memiliki tauliah mengajar daripada pihak berkuasa.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Janganlah Engkau palingkan hati kami setelah kami diberikan hidayah agama Islam. Tetapkanlah aqidah dan agama kami, akhiri hayat kami dalam keadaan Islam dan iman.

Ya Mannan! Ya Razzaq! berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 22 Julai 2022, “Pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah: Mengukuhkan Perpaduan Ummah”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.