13 Julai 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di ruang legar Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Korban dan Pengagihan Daging Korban DBP anjuran bersama Surau Al-Hukama’ DBP, Badan Keluarga DBP dan Koperasi DBP telah diadakan pada pagi ini. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Yang Berbahagia Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat serta Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Puan Fauzilahyatun Mustafa. Majlis ini turut disertai oleh ketua-ketua bahagian, Jawatankuasa Surau Al-Hukama’, Badan Keluarga DBP serta wakil Koperasi DBP.

Pengerusi Lembaga Pengelola, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Puan Fauzilahyatun Mustafa serta Pengerusi Surau al-Hukama’, Tuan Syed Mashor Syed Mustapha dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Encik Rusman Yaacob bergambar kenangan semasa sesi melapah daging korban.

Memetik ucapan ringkas Pengerusi Lembaga Pengelola dalam ucapan perasmian beliau pagi ini, beliau berharap agar korban yang dijalankan pada hari Tasyrik terakhir pada hari ini diterima oleh Allah SWT dan seluruh staf DBP sentiasa menjadikan peristiwa korban pada zaman nabi sebagai iktibar dan panduan hidup pada hari ini.

Lembu-lembu yang dipilih untuk dikorbankan di Amir Farm.

 

Sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan dalam majlis ini. Terdahulu lembu-lembu tersebut telah disembelih di Amir Farm, Hulu Langat yang merupakan pembekal lembu untuk tujuan korban sebelum dibawa ke lokasi majlis.

Petugas-petugas yang mengambil bahagian dalam majlis ini telah dibahagikan kepada beberapa kelompok, iaitu petugas melapah lembu, petugas yang menimbang dan membungkus daging lembu untuk tujuan agihan serta petugas untuk memasak juadah daging korban.

Majlis agihan daging korban telah berlangsung pada pukul 11.30 pagi. Agihan daging korban disampaikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan kepada asnaf terpilih di Jalan San Peng. Turut tidak terkecuali kakitangan DBP yang layak turut menerima agihan daging korban tersebut. Menjelang tengah hari, seluruh kakitangan DBP diundang untuk menjamu selera dengan menu gulai kawah dan sup tulang daging korban.

Majlis agihan daging korban kepada asnaf terpilih di Jalan San Peng.
Pengerusi Lembaga Pengelola menyampaikan daging korban kepada ibu tunggal.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.