8 Julai 2022, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian yang elok setiap kali kamu ke masjid (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A‘raf  7:31)

Obesiti bermaksud seseorang yang memiliki berat badan berlebihan daripada sepatutnya sehingga menjadi terlalu gemuk disebabkan memiliki lemak berlebihan dalam tubuh. Obesiti atau kegemukan yang berlebihan menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit kronik yang boleh membawa maut seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, strok dan masalah buah pinggang. Obesiti berpunca daripada ketidakseimbangan antara kalori atau bahan makanan yang diambil, dengan kalori atau bahan makanan yang digunakan sebagai tenaga. Obesiti ialah pembunuh senyap yang menyebabkan perubahan metabolik, atau dalam bahasa mudahnya berlaku gangguan terhadap tugas memproses makanan untuk menghasilkan tenaga dalam tubuh manusia.

Malaysia mencatatkan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Daripada 50 peratus penduduk dewasa di negara ini, 30.4 peratus dilaporkan berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan, manakala 19.7 peratus dikategorikan sebagai obes. Hal ini bermakna bahawa satu dalam setiap dua orang dewasa di Malaysia mengalami kegemukan. Malaysia juga menduduki tangga kedua dalam senarai kanak-kanak obes di ASEAN yang berusia antara usia lima hingga 19 tahun. Berdasarkan Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2019, tujuh peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun turut mengalami masalah berat badan berlebihan. Pada peringkat global, dijangkakan hampir satu pertiga daripada orang dewasa di seluruh dunia akan mengalami berat badan berlebihan dan lebih satu bilion menjadi obes menjelang tahun 2025.

Kajian pada tahun 2019 mencatatkan bahawa lapan juta orang rakyat Malaysia memiliki kolesterol yang tinggi, 3.9 juta menghidap penyakit kencing manis, 6.4 juta orang menghadapi darah tinggi, sementara 3.7 juta orang berada dalam kategori obes. Jumlah peratusan tinggi penduduk berpenyakit menjadi beban berat yang perlu ditanggung oleh negara.  Bilangan pesakit yang tinggi bermakna hospital perlu dibesarkan atau lebih banyak hospital perlu dibina, dan lebih banyak kakitangan hospital diperlukan, di samping keperluan ubat turut meningkat. Oleh sebab kerajaan memberikan subsidi yang tinggi untuk membiayai belanja rawatan dan perubatan di negara ini, hal ini bermakna lebih banyak dana kerajaan perlu dibelanjakan untuk membiayai rawatan dan perubatan pesakit.  Sekiranya dana kerajaan tidak terlalu banyak digunakan untuk belanja perubatan, dana tersebut tentunya dapat disalurkan untuk perbelanjaan yang lebih bermanfaat seperti membina sekolah, pusat pengajian, menyediakan dana pendidikan dan menambah pembinaan prasarana.

Pengambilan makanan yang tidak berkhasiat perlu dikawal untuk mengelakkan obesiti.

Kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan merupakan penyebab utama masalah kegemukan di negara ini. Keghairahan menikmati makanan secara keterlaluan dan makan makanan tidak berkhasiat bermula dari usia kanak-kanak tanpa kawalan oleh ibu bapa menjadi titik mula membina budaya makan yang tidak mengenal batasan. Pengambilan gula dan lemak yang berlebihan antara penyebab yang meningkatkan bilangan orang gemuk dalam kalangan rakyat Malaysia. Permintaan gula di Malaysia meningkat saban tahun dan penggunaan gula yang tinggi terkandung dalam banyak juadah dan minuman yang digemari oleh rakyat Malaysia. Minuman bersoda merupakan antara minuman kegemaran kanak-kanak, sementara teh atau kopi tarik sangat digemari oleh orang dewasa, sedangkan minuman tersebut mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Kegemukan mudah berlaku dalam kalangan orang yang banyak makan, tetapi kurang melakukan pergerakan fizikal. Akibatnya, kalori yang terhasil daripada makanan yang berlebihan tidak dibakar untuk digunakan sebagai tenaga, sebaliknya tersimpan sebagai lemak dalam tubuh manusia, dan sedikit demi sedikit menyebabkan kegemukan.

Didikan dan kefahaman tentang kegemukan ini wajar dimulakan dari rumah, malah wajib dididik sejak usia kanak-kanak. Ibu bapa hendaklah menyediakan makanan yang seimbang dan berkhasiat, mengawal anak-anak untuk tidak mengambil makanan yang mengandungi lemak, gula dan garam yang tinggi, dan menjauhi anak-anak daripada budaya mengambil makanan segera. Didik anak-anak untuk lebih meminati makanan yang disediakan di rumah dan lebih baik jika turut dibekalkan makanan dari rumah untuk anak-anak semasa pergi ke sekolah. Didik ahli keluarga agar bersifat sederhana semasa mengambil makanan dan minuman seperti yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah SAW berpandukan sabda Baginda:

Maksudnya: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang salbinya (tulang belakang) melainkan jika dia tidak dapat mengelak. Maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya dan 1/3 untuk nafasnya.(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Sehubungan dengan itu, umat Islam diingatkan dengan perkara berikut:

Pertama: Memastikan berat badan sihat berpandukan Indeks Jisim Badan (BMI).  Jadikan amalan untuk menimbang berat badan secara mingguan, dan mengambil langkah-langkah segera untuk menurunkan berat badan jika berlebihan BMI. Setiap jabatan, pejabat dan sekolah digalakkan untuk menetapkan BMI setiap warganya, dan menetapkan indeks pencapaian kepada setiap anggotanya serta dilakukan pemantauan pada setiap tiga bulan sekali.

Kedua: Mengambil pemakanan secara sihat dan sederhana dengan membanyakkan pengambilan sayuran dan buahan serta mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi gula dan lemak.

Melakukan aktiviti fizikal seperti berbasikal dapat mengurangkan berat badan secara sihat.

Ketiga: Melakukan banyak pergerakan fizikal untuk membakar kalori, seperti lebih banyak berjalan kaki, berbasikal, menggunakan tangga daripada lif, dan beriadah secara kerap dengan intensif sederhana selama 30 minit setiap hari.

Keempat: Membanyakkan minum air kosong antara enam hingga lapan gelas setiap hari.

Kelima: Mengamalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.

Keenam: Menganjurkan siri ceramah pendidikan kesihatan oleh pakar perubatan dan pakar pemakanan (seperti penganjuran oleh pihak masjid) sebagai ikhtiar untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kepentingan kesihatan. Misalnya, pendidikan tentang kaedah pengiraan BMI bagi seseorang yang ingin mengetahui tentang berat badan yang sihat untuk tubuhnya.

Umat Islam juga diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Sihatkanlah tubuh badan kami, sihatkanlah fikiran, pendengaran dan penglihatan kami agar membolehkan kami menyempurnakan ibadat fardu ain dan fardu kifayah dengan sebaik-baiknya.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 8 Julai 2022, “Tangani Obesiti: Mulakan Cara Hidup Sihat”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.