Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – “Walau sebaris atau sepatah perkataan yang dihasilkan dalam karya, ingatlah bahawa kita sebagai hamba dan khalifah,” ujar Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin menjentik hati peserta yang mengikuti Wacana Sastera Islam “Ketika Tukang Pena Berbicara” anjuran Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut Sasterawan Negeri Sembilan ini, karya dapat disampaikan dalam pelbagai cara dan merupakan satu daripada pengisian rohani melalui nilai murni yang terdapat dalam karya tersebut. “Penulis bukan sekadar menulis semata-mata, ada amanah dalam setiap karya untuk dikongsikan dengan pembaca.”
Setiap perilaku kita akan dipertanggungjawabkan daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Penulisan secara tidak langsung dapat mengislahkan sesuatu perkara apabila Allah SWT menggerakkan hati pembaca melalui hasil karya seseorang. Penulis tidak seharusnya memandang enteng dalam penghasilan karya. Setiap patah kata mampu memberikan impak kepada pembaca dan dalam masa yang sama dapat mendidik masyarakat seterusnya membentuk pemikiran mereka. Justeru, penulis haruslah memanfaatkan kebolehannya sebagai medium untuk berdakwah.
Program yang berlangsung selama tiga jam ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada warga universiti, tetamu undangan dan pelajar. Wacana yang diadakan secara bersemuka dan siaran langsung di Facebook ini menampilkan dua lagi ahli panel yang hebat, iaitu Puan Rozninah Abd. Azib, mantan editor kanan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Puan Azian Mohamed Isa, penulis dan moderator rancangan Secangkir Kopi Jam 10.
Menurut Puan Rozninah, karya islamik tidak semestinya perlu dimasukkan dalil daripada al-Quran dan hadis, konsep atau falsafah yang mungkin sukar untuk difahami oleh orang awam. Skop dakwah itu sendiri sangat luas. Hal ini bergantung kepada penulis untuk menghuraikannya kepada pembaca. Pemasukan dalil dalam karya bukanlah syarat yang menyatakan karya tersebut islamik. Karya sastera berupaya mendidik emosi dan rohani. Imaginasi yang dikurniakan dalam menghasilkan karya perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana kita akan dipertanggungjawabkan ketika mengadap Allah SWT.
Hal ini disokong oleh Puan Mahaya yang turut berpesan supaya berhati-hati dalam penulisan agar tidak terpesong dalam menyampaikan kebaikan dan hanya mengharap keredaan daripada-Nya. Penulisan menjadi satu daripada medium dakwah untuk mendidik jiwa dan kerohanian pembaca. Pengkarya berjuang memberikan input yang bermanfaat kepada para pembaca. Sebagai pengkarya yang sedar akan hakikat itu, mereka akan memastikan setiap karya yang dihasilkan mestilah mempunyai nilai-nilai dakwah tanpa perlu dinyatakan secara langsung. Banyak teknik yang boleh diguna pakai dalam menyampaikan mesej dakwah. Hal ini dapat dilihat dalam penulisan sajak, lantunan syair, penciptaan pantun, gurindam dan cerpen.
Pada zaman yang dipacu oleh Internet dalam segala aspek kehidupan, kebanyakan golongan muda hanyut dan terpengaruh dengan pelbagai corak kehidupan yang melalaikan. Lebih parah lagi apabila kehidupan itu tidak menggambarkan nilai keagamaan yang diamalkan sebagai cara hidup. Di sinilah pengkarya berperanan dalam menyebarluaskan mesej dakwah sebagai pengisian rohani supaya hidup pembaca lebih terpandu.

Pengkarya yang ingin menyampaikan sesuatu kepada ummah haruslah memiliki jati diri yang kuat dan berpendirian teguh serta terbuka menerima kritikan yang membina. Penggunaan bahasa yang baik dan tepat akan memberikan impak yang positif terhadap para penekun karya.
“Hiduplah secara bersederhana dan gunakan banyak masa untuk berfikir.” Demikian pesanan Puan Azian ketika mengakhiri sesi wacana ini dengan penuh bermakna. Masa yang ada hendaklah digunakan untuk menghasilkan karya yang membina untuk tatapan masyarakat. Kelompongan dalam diri haruslah diisi dengan pengisian yang mendidik jiwa dan kerohanian. Dengan ini, kehidupan akan seimbang daripada segi duniawi dan ukhrawi.
Program itu dijalan secara langsung di dewan kuliah DKS 2.4 FPQS itu boleh diikuti secara dalam talian daripada Facebook pada laman khas “Nadi Sastera Islam” menerusi pautan yang berikut: https://www.facebook.com/nadisastera.islamusim.9/videos/1178479166029876/