24 Jun 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tarikh 14 Jun pada setiap tahun disambut sebagai Hari Derma Darah Sedunia bagi meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan menderma darah dan manfaatnya terutama kepada para pesakit yang memerlukan. Atas dasar itu, tema bagi tahun ini ialah “Derma Darah: Kukuhkan Perpaduan” disambut dengan harapan agar masyarakat mempunyai semangat keterbukaan menerima kempen ini, sekali gus bersedia untuk mendermakan darah mereka.

Darah ialah ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Darah ialah cecair yang mengalir dalam tubuh badan makhluk, terdiri daripada beberapa komponen yang berperanan untuk membawa oksigen dan karbon dioksida, melawan virus dan jangkitan, memberikan keseimbangan badan dan fungsi-fungsi lain yang membawa kesejahteraan tubuh badan makhluk. Allah menciptakan kehidupan manusia bergantung kepada darah, tanpanya manusia tidak boleh hidup, kekurangan darah dalam badan dan boleh menjejaskan kesihatan tubuh. Ciri mereka yang layak menderma darah adalah sihat tubuh badan, berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram, berumur antara 18 tahun hingga 60 tahun, dan tidak terlibat dengan kegiatan berisiko tinggi seperti berhubungan sesama jenis, mengambil suntikan dadah dan sebagainya.

Syariat Islam amat menjaga nyawa umatnya bertepatan dengan maqasid Syariah, iaitu Hifz al-Nafsi. Menderma darah ialah amalan terpuji. Amalan ini merupakan satu ikhtiar yang berupaya menyelamatkan nyawa manusia dan memberikan kehidupan baharu kepada mereka. Banyak pesakit yang dapat diselamatkan melalui darah yang dipindahkan ke tubuh mereka. Antaranya ialah mangsa kemalangan, wanita yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit demam denggi, pesakit talasemia (mereka yang mempunyai masalah genetik sel darah merah), pesakit anemia (mereka yang mempunyai kekurangan sel darah merah dalam badan), pesakit leukemia (mereka yang menghidapi barah dalam sel darah putih) dan banyak lagi kategori pesakit yang amat memerlukan darah untuk rawatan termasuklah bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.

Melalui darah yang didermakan, pesakit-pesakit dengan izin Allah SWT berpeluang untuk sembuh dan meneruskan kehidupan. Lazimnya mereka akan merasa terhutang budi kepada penderma, sekalipun mereka tidak mengenali pendermanya. Dengan ketentuan Ilahi, melalui darah yang didermakan, kita mungkin dapat membantu menyelamatkan seorang bapa yang menjadi tempat bergantung kepada ahli keluarganya, seorang murid yang bijak, guru yang berkemahiran tinggi dan insan baik yang menabur bakti kepada ummah. Oleh sebab nyawa begitu bermakna, al-Quran menggambarkan betapa bernilainya nyawa manusia dan mereka yang memeliharanya. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan bunuh orang itu, atau (kerana) membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya, dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.

                                                                                 (Surah al-Ma’ idah,  5:32)

Menurut fikah perubatan Islam, hukum asal darah adalah haram kerana darah merupakan najis. Namun, dalam beberapa keadaan yang memerlukan penggunaannya, sebagai contoh untuk tujuan perubatan seperti melakukan perpindahan darah kepada pesakit yang memerlukan; bertujuan untuk menyelamatkan nyawa manusia, Islam memberikan keharusan untuk diambil manfaat darah tersebut di bawah kendalian ahli dalam bidang perubatan. Hukum keharusan penggunaan darah ini adalah berdasarkan kaedah fikah yang disebut sebagai الضَّرُورات تُبِيحُ الْمَحْظُورَات, iaitu “perkara darurat dalam beberapa keadaan boleh mengharuskan apa-apa yang telah diharamkan”.

Kelebihan bagi mereka yang menderma darah, turut dijamin oleh Baginda SAW sebagai orang yang berhati mulia serta bermanfaat kepada manusia dengan menghulurkan bantuan kepada saudaranya. Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang Muslim, maka Allah melepaskan pula kesusahannya kelak pada hari kiamat.”

(Hadis riwayat Muslim)

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.”

(Hadis riwayat Al-Tabbarani dan Daruquthni)

Menderma darah memberikan banyak manfaat kepada penerimanya. Antaranya termasuklah membantu merangsang pembentukan sel-sel darah yang baharu  bagi menggantikan sel-sel darah yang lama serta berupaya membekalkan oksigen dengan lebih baik berbanding dengan sel yang lama. Seorang penderma darah diibaratkan membantu tiga nyawa kerana darah mempunyai tiga komponen utama yang boleh dimanfaatkan kepada tiga pengguna yang berbeza.  Manfaat terbesar adalah membantu memenuhi permintaan bekalan darah di hospital melalui tabung darah yang mencukupi.

Selain kebaikan dan manfaat yang diterima oleh penerima darah, dengan menderma darah juga turut memberikan banyak kelebihan kepada pendermanya dari sudut kesihatan. Antaranya termasuklah penderma merasakan badan lebih sihat dan bertenaga, serta dapat mengenal pasti masalah kesihatan ketika membuat ujian darah dan pemeriksaan fizikal sebelum menderma darah. Kajian menunjukkan bahawa dengan menderma darah dapat menurunkan tekanan darah dan penderma dapat mengetahui kadar tekanan darah serta mengawalnya agar sentiasa berada dalam keadaan normal.

Selain itu, penderma dapat mengetahui kadar degupan jantung sekali gus memberikan manfaat kepada kesihatan jantung. Kajian turut membuktikan bahawa amalan menderma darah dapat memberikan perlindungan jangka panjang kepada jantung. Hal ini menunjukkan bahawa amalan derma darah secara tidak langsung memberikan rawatan kesihatan kepada tubuh badan.

Ayuhlah kita dihayati secara bersama bahawa:

Pertama: Derma darah merupakan amalan terpuji kerana dengan izin Allah SWT amalan tersebut dapat membantu mereka yang memerlukan dan menyelamatkan nyawa manusia.

Kedua: Bagi mereka yang berupaya menderma darah, mereka boleh melakukannya secara berkala agar masalah kekurangan bekalan tabung darah di hospital dapat ditangani.

Ketiga: Amalan menderma darah memberikan dua manfaat besar, iaitu kepada jasmani dan rohani. Pendermanya insya-Allah mendapat ganjaran dan rahmat Allah SWT kerana telah memberikan bantuan serta bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Banyakkan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al ’alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Berkatilah mereka yang telah mendermakan darah kepada mereka yang memerlukan serta berilah kesihatan yang baik kepada kami agar kami dapat lakukan amal soleh dan memberikan manfaat kepada manusia.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniailah mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dzal Jalaal li wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalik al-Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 24 Jun 2022, “Derma Darah: Kukuhkan Perpaduan”, Jabatan Agama Islam Perak)

(Sumber gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!