18 Jun 2022, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2022/144H, yang diadakan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor telah melabuhkan tirainya selepas 10 hari majlis berlangsung, iaitu bermula sejak 9 Jun hingga 18 Jun 2022. Negeri Johor Darul Takzim terpilih sebagai tuan rumah dalam penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada kali ini. Seramai 42 qari dan 42 qariah telah mengambil bahagian pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 kali ke-64.

Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam. Turut hadir bersama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Datuk Idris Ahmad dan Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan pembukaan MTHQK pada tanggal 12 Jun 2022. Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 ini juga dapat ditonton secara langsung melalui siaran TV Al-Hijrah bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan bersambung pada jam 2:30 petang hingga 4:30 petang. Kemudian, disambung lagi pada jam 8:30 malam hingga 11:00 malam.

Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah dari Selangor, Sofizah Mousin telah dinobatkan sebagai juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M. Kejayaan itu telah melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15 000, selain piala iringan, sijil penyertaan dan tambahan wang tunai RM10 000 bagi menunaikan ibadah haji. Melalui kejayaan itu juga secara langsung telah melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di ibu negara pada 17 hingga 22 Oktober kelak.

Tempat kedua dimenangi oleh qari dari Pulau Pinang, Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir dan qariah dari Melaka, Sarrul-Munirah Haris. Mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10 000 dan tambahan wang tunai sebanyak RM10 000 untuk menunaikan ibadah haji, selain cenderamata dan sijil penyertaan sementara qari dari Melaka, Azraie Abdul Hak dan qariah dari Perak, Nurul Syafiqah Nardi telah memenangi tempat ketiga.

Bagi kategori hafazan, peserta dari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail diumumkan sebagai  hafiz bagi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir, manakala peserta dari Johor, Nurjahidah Hadirah [email protected] dinobatkan sebagai juara hafizah. Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM15 000, selain tambahan wang tunai RM10 000 untuk menunaikan ibadah haji dan piala iringan.

Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, hafiz dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dan hafizah dari Kedah, Nurul Husna Abdul Aziz masing-masing berjaya dinobat sebagai juara. Akhir sekali, bagi kategori 1 hingga 10 juzuk berserta taranum pula diungguli oleh hafiz Muhammad Jibril Mohd Hanafiah dari Pahang dan hafizah Fatimah Azzahra Mohd Shahrol dari Johor.

Semua peserta telah diadili oleh 12 hakim tilawah dan 14 hakim hafazan dan negeri Johor telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Tilawah dan Menghafaz Al-Quran pada kali ini.

(Sumber gambar: Facebook rasmi JAKIM)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!