17 Jun 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muamalat bermaksud perhubungan secara aktif sesama manusia dalam urusan berkaitan dengan harta. Muamalat patuh syariah pula bermaksud kegiatan ekonomi dan pengurusan harta yang selaras atau tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap hari kita menjalankan pelbagai kegiatan muamalat melibatkan jual beli, berhutang, bekerja untuk mendapat gaji, menyimpan serta melaburkan wang dan pelbagai kegiatan lagi bagi memenuhi keperluan hidup. Persoalannya, adakah kita mengambil berat tentang halal dan haram kegiatan-kegiatan muamalat yang kita lakukan? Rasulullah SAW memberikan peringatan melalui sabda Baginda:

Maksudnya:  “Akan  datang  suatu  zaman  nanti  di  mana  seseorang  sudah  tidak  lagi mengambil peduli apa-apa (pendapatan) yang diperolehnya, sama ada daripada sumber yang halal ataupun haram.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Terdapat satu kaedah yang menyatakan bahawa “hukum asal dalam bidang muamalat adalah harus”. Kaedah ini memberikan ruang yang luas kepada manusia untuk mengembangkan kegiatan muamalat dan ekonomi, selaras dengan kemajuan tamadun manusia. Contoh yang paling mudah diambil ialah keharusan jual beli secara atas talian yang berlaku secara meluas pada masa ini, sedangkan urus niaga sedemikian tidak pernah diamalkan sebelum zaman Internet.

Namun begitu, Islam juga menentukan terdapat larangan-larangan dalam bidang muamalat. Antara perkara utama yang diharamkan dalam muamalat termasuklah (i) riba, iaitu lebihan nilai yang disyaratkan dalam akad hutang, (ii) gharar, iaitu ketidakpastian yang nyata dalam akad jual beli, (iii) maysir, iaitu unsur perjudian atau pertaruhan dalam memperoleh harta yang bergantung pada nasib, dan (iv) memiliki harta secara batil meliputi penipuan, rasuah dan menzalimi hak orang lain. Pelbagai nas daripada al-Quran dan hadis menjelaskan  tentang pengharaman  perkara  tersebut.  Sebagai  contoh  dalam  perkara riba,   terdapat   ayat   yang   amat   jelas   menyatakan  tentang pengharamannya; Allah SWT mengisytiharkan peperangan terhadap golongan pemakan riba. Firman Allah SWT,

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukan demikian (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah,  bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu modal kamu dan kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Surah al-Baqarah 2:278-279).

Antara keperluan utama dalam hidup manusia termasuklah rumah dan kenderaan. Bagi mereka yang tidak mampu memilikinya secara tunai, mereka wajib melanggan pembiayaan perumahan dan kenderaan patuh syariah yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam. Begitu juga dengan perlindungan diri dan harta, kita wajib mengambil produk takaful yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat takaful, bukannya insurans konvensional yang terlibat dengan elemen riba dan gharar yang diharamkan.

Dalam bidang pelaburan, elakkan daripada menyertai skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap yang ditawarkan oleh pihak yang tidak mempunyai penasihat  syariah.  Begitu  juga  dengan  perdagangan  mata  wang  secara  atas  talian (online forex trading) yang diputuskan haram oleh sebahagian besar sarjana Islam kerana melibatkan unsur-unsur perjudian, gharar dan riba. Kini, telah ada dalam pasaran kaedah untuk membolehkan umat Islam mengembangkan harta mereka melalui pelbagai bentuk pelaburan yang patuh syariah. Umat Islam perlu berhati-hati dengan sebarang peraduan, pertandingan, cabutan bertuah dan permainan yang berkemungkinan mengandungi unsur perjudian atau pertaruhan, jika tidak mematuhi hukum-hakam muamalat.

Umat Islam yang bekerja wajib menjalankan tugas dengan penuh amanah.

Umat Islam yang bekerja baik di sektor awam, begitu juga di sektor swasta wajib menjalankan kerja dengan penuh amanah. Pastikan gaji yang diterima  halal dan suci daripada sebarang unsur penipuan seperti culas pada waktu bekerja, membuat tuntutan palsu, menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi dan melakukan rasuah. Perbuatan sedemikian merupakan contoh perolehan pendapatan secara batil yang diharamkan dalam muamalat Islam.

Umat Islam secara umumnya mengambil berat dan begitu berhati-hati mengambil makanan yang halal. Namun begitu, kesedaran tentang aktiviti halal dan haram dalam bidang muamalat masih rendah. Sebagai contoh, ramai yang dilaporkan tidak malu meminta dan menerima rasuah sedangkan rasuah tanpa ragu, hukumnya haram. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyediakan akaun yang diuruskan mengikut prinsip syariah mulai 1 Januari 2017. Namun begitu, setelah lima tahun akaun simpanan syariah diperkenalkan, hanya 15 peratus ahli KWSP beragama Islam yang memilih bertukar ke akaun patuh syariah. Di negeri Perak, hanya 13 peratus ahli KWSP beragama Islam yang telah bertukar ke akaun simpanan syariah. Hal ini bermakna dividen yang diterima setiap tahun oleh ahli KWSP beragama Islam yang belum bertukar ke simpanan patuh syariah adalah hasil daripada pelaburan bercampur antara yang halal dengan yang haram. Demi membersihkan pendapatan tersebut, mereka perlu menyalurkan peratusan dividen yang tidak patuh syariah kepada Baitulmal untuk kemaslahatan umum atau kepada golongan fakir dan miskin, seperti yang dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Perak, bertarikh 24 September 2014 yang bertajuk “Fatwa Mengenai Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal”.

Muamalat ialah sebahagian daripada komponen syariat Islam, khususnya melibatkan hubungan manusia sesama manusia.

Sehubungan dengan itu, beberapa saranan  dikemukakan seperti yang berikut:

Pertama: Setiap Muslim wajib memahami hukum-hakam muamalat berkaitan dengan kegiatan ekonomi yang melibatkan diri mereka secara langsung.

Kedua: Masyarakat Islam wajib memilih pembiayaan yang patuh syariah untuk memiliki rumah, kenderaan atau memperoleh modal perniagaan serta perlindungan takaful.

Ketiga: Pencarum KWSP Muslim wajib memilih akaun simpanan syariah yang telah ditawarkan. Jika masih menggunakan akaun konvensional, maka penyucian pendapatan perlu dilakukan.

Sehubungan dengan itu, bidang muamalat mempunyai hukum-hakam yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim. Muamalat merupakan sebahagian daripada komponen syariat Islam yang syumul, khususnya melibatkan hubungan manusia sesama manusia.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Banyakkan berselawat dan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Menjelang Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai 2022, umat Islam yang mempunyai kemampuan digalakkan untuk melaksanakan ibadat korban yang fadilat dan manfaatnya sangat besar untuk diri dan masyarakat. Semoga yang melakukan ibadat korban dilimpahkan keberkatan Allah SWT dan diterima amalannya.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Berikanlah kesedaran kepada kami untuk menjalankan segala urusan kehidupan kami yang selaras dengan syariat-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya  Dza al-Jalal  wa al-Ikram!  Jadikanlah  kami  antara  hamba-Mu  yang  memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah, serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 17 Jun 2022, “Kewajipan Bermuamalat Secara Patuh Syariah”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!