27 Mei 2022, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan (Islam) sebagai agama kalian, dan Aku telah cukupkan nikmat Aku kepada kalian, dan Aku reda Islam itu menjadi agama kalian.”

(Surah al-Maidah 5:3).

Ajaran sesat ditakrifkan sebagai suatu ajaran dan amalan yang bertentangan dengan Islam, serta turut menghakis atau menafikan asas kebenaran akidah Islam; merangkumi antaranya, perkara berunsur syirik, mengaku menjadi Tuhan, menolak konsep kenabian, penyatuan diri dengan Tuhan, dan mengaku sebagai Imam Mahdi.

Menurut Imam Ibn Kathir, antara kesesatan terawal yang dilakukan dalam sejarah tamadun Islam termasuklah mengagungkan kubur yang dianggap keramat yang berlaku pada penghujung zaman Abbasiyah (866 Masihi). Umat Islam boleh disesatkan melalui amalan berunsur pemujaan kubur atau makam atau tugu yang dibina atau pemujian dan pendewaan terhadap orang perseorangan yang masih hidup, diiktiraf mempunyai sifat-sifat istimewa dan pengaruh serta kuasa yang luar biasa.

Di Malaysia, ajaran Taslim melalui ajaran Ahmad Matahari yang bertapak di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang merupakan ajaran sesat terawal yang dikesan pada tahun 1870. Ahmad Matahari mengaku dirinya sebagai nabi akhir zaman selain menolak solat lima waktu. Satu kajian yang dilakukan pada tahun 1990 mendapati bahawa daripada lebih 20 ajaran sesat, 17 daripadanya disenaraikan dalam kategori mengaku sebagai kumpulan tasawuf dan tarekat, tetapi mempunyai unsur penyimpangan daripada ajaran asal kumpulan tasawuf dan tarekat berkenaan. Tidak kurang juga terdapat ajaran yang pemimpinnya mendakwa dirinya ialah Imam Mahdi.

Amalan berunsur syirik seperti memuja kubur juga merupakan satu daripada ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Belakangan ini, terdapat beberapa pihak yang menjadikan Imam Mahdi sebagai sandaran ajaran sesat. Pada 28 April 2020, Polis Diraja Malaysia telah menahan sebanyak lebih daripada 200 orang yang berkhemah di dalam hutan di Ulu Rening, Selangor. Mereka disyaki menjadi pengikut ajaran yang meragukan, bersandarkan Imam Mahdi dan kepercayaan akhir zaman. Pada 29 Ogos 2021, negara digemparkan dengan kumpulan Perjalanan Mimpi yang Terakhir yang dipercayai telah mempengaruhi ratusan pengikut untuk tinggal di dalam hutan sebelum keluar dari Malaysia, rentetan mempercayai Imam Mahdi telah muncul. Tidak kurang juga dilaporkan bahawa disebabkan keyakinan, ada kalangan pengikut kumpulan yang sanggup menjual harta dan berhenti bekerja.

Ajaran sesat yang dikaitkan dengan Imam Mahdi bukanlah baharu. Bahkan ajaran ini boleh bersifat radikal dan menjadi ganas. Misalnya, pada tahun 1979, seorang yang mengaku dirinya Imam Mahdi telah mencederakan imam Masjid Rapat Setia, Ipoh. Pada tahun 1980, sebanyak lapan orang ahli kumpulan ajaran sesat Imam Mahdi telah terbunuh dalam serangan di Balai Polis Batu Pahat. Pada tahun 2012 berlaku kejadian amuk di Putrajaya yang dikaitkan dengan Imam Mahdi yang mengakibatkan seorang terbunuh. Oleh itu, sejarah membuktikan bahawa ajaran sesat boleh bertukar menjadi gerakan radikal dan ganas jika tidak dibanteras oleh masyarakat.

Dikenal pasti, antara sebab yang mendorong penglibatan anggota masyarakat dalam kegiatan ajaran sesat termasuklah sikap sebahagian daripada mereka yang tidak mempunyai asuhan dan pendidikan agama yang asas. Setelah insaf dan merasakan diri mereka perlu mendekatkan diri dengan Tuhan, mereka mahu mencari jalan pintas untuk ke syurga. Lalu mereka bertemu dengan guru-guru tertentu tanpa mengetahui, malah jauh daripada memahami bahawa amalan dan ajaran yang dibawa oleh para guru tersebut menyeleweng.

Perangkaan Jabatan Agama Islam Perak menunjukkan bahawa sejak tahun 2020, sejumlah 52 aduan berkaitan dengan ajaran sesat dilaporkan di negeri ini. Daripada jumlah tersebut, 19 kes berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam pemantauan pihak berkuasa.

Umat Islam diseru agar menjadikan warisan Ahli Sunah Wal Jamaah sebagai tonggak pegangan Islam bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW. Dikisahkan bahawa Sayidina Huzaifah ibni al-Yaman r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai fitnah yang berlaku pada akhir zaman dan Baginda menjawab bahawa pada ketika itu, muncul kelompok manusia yang enggan menjadikan sunah dan ajaran tinggalan Baginda sebagai sumber beragama. Rasulullah SAW turut memberikan gambaran bahawa pada akhir zaman juga akan muncul sekelompok manusia (pendakwah) yang akan menjerumuskan ummah ke dalam api neraka, dan kelompok manusia tersebut merupakan sebahagian daripada umat Islam sendiri!

Sabda Rasulullah SAW:

أٌوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا، فَعَلَيكُم بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينْ

Maksudnya: “Aku sampaikan pesanan ini untuk kalian; bertakwalah kalian kepada Allah, dengar dan taatlah (pemerintah) walaupun kalian dipimpin oleh seorang abdi, kerana sesiapa yang hidup pada zaman tersebut (akhir zaman) akan melihat perselisihan yang banyak. Maka oleh itu, berpegang teguhlah kalian dengan sunahku (panduan) dan sunah Khulafa’ al-Rasyidin yang diberikan petunjuk.

(Hadis riwayat al-Tirmidzi, no. 2676)

Dalam hal ini, kaum Muslimin diseru kepada peringatan berikut:

Monumen dan replika yang dibina di pekarangan Kerajaan Langit, iaitu ajaran sesat yang dibawa oleh Ayah Pin sebelum dirobohkan.

Pertama: Hindari sikap taasub kepada seseorang. Sikap taasub merupakan unsur terpenting yang memunculkan dan membantu perkembangan ajaran sesat. Permulaan kepada penyembahan berhala adalah berpunca daripada sifat mendewakan dan menganggungkan manusia. Terbukti sejak permulaan penyembahan berhala sebelum zaman Nabi Nuh a.s., yang pada asalnya bermula dengan sifat ingin menghormati kematian orang soleh, tetapi akhirnya bertukar menjadi bahan pemujaan. Ketahuilah bahawa Islam mencela perbuatan taasub kepada manusia.

Kedua: Tuntutlah ilmu agama daripada guru-guru dan institusi agama yang bertauliah. Elakkan daripada terpengaruh dengan ajaran yang disampaikan melalui media sosial atau guru yang tidak bertauliah.

Ketiga: Elakkan daripada terjerumus dengan ajaran-ajaran, sama ada kumpulan tarekat atau ajaran kebatinan yang meragukan. Kenal pasti perlakuan luar biasa ahli keluarga yang terlibat dan menjadi pengikut kumpulan atau ajaran yang meragukan. Segera laporkan aktiviti keagamaan dan kebatinan yang meragukan kepada pihak berkuasa agama dan Polis Diraja Malaysia.

Keempat: Kuatkuasakan undang-undang agama, khususnya Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak 1992 bagi mengekang ajaran sesat sebaik yang mungkin.

Kelima: Jika perlu, kemas kini peruntukan undang-undang yang sedia ada, khususnya bagi menangani ajaran sesat secara lebih berkesan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Kekalkanlah persaudaraan sesama Muslimin. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Jangan palingkan hati kami setelah kami diberikan hidayah agama Islam. Tetapkanlah akidah dan agama kami. Akhiri hayat kami dalam keadaan Islam dan keimanan yang kukuh.

Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniailah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 27 Mei 2022, “Ajaran Sesat: Mengancam Keselamatan Negara”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.